Wednesday, February 6, 2013

DAP GUNA ISU ALLAH UNTUK UNDI BUKAN ISLAM - ZAHID

KUALA LUMPUR — DAP menggunakan isu kalimah Allah bagi mendapatkan undi bukan Islam untuk Pakatan Rakyat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib presiden Umno itu berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mahu Putrajaya membenarkan penggunaan “Allah” untuk kitab Injil bahasa Melayu hanyalah bersifat politik dan tidak memahami mengenai kesucian kalimah tersebut.

“Semasa saya jadi Menteri Di JPM, kita mengatakan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan penggunaan perkataan Allah hanya untuk kitab-kitab agama Islam.

“Bagi saya, Lim Guan Eng sedang melakukan political diversion, untuk menarik orang bukan Islam mengundi Pakatan Rakyat,” kata Ahmad Zahid selepas merasmikan portal kerjaya veteran tentera selepas bersara, KerjayaVeteran.my di sini hari ini.

Beliau juga membidas kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang kecewa dengan keputusan Majlis Syura PAS mangatakan kalimah Arab itu hanya boleh digunakan oleh penganut beragama Islam.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mengikut garis politik mengenai isu ini apabila menyokong keputusan Majlis Syura PAS.

“Saya tidak mengikut garis politik, apa yang dikatakan Majlis Syura itu benar. Dan Karpal Singh tidak seharusnya memberi komen ke atas Majlis Syura. Ini bukan kepakarannya,” kata Ahmad Zahid lagi.

Sabtu lalu, Karpal berkata adalah salah untuk menyatakan keputusan Majlis Syura Ulama PAS berhubung isu kalimah Allah diterima baik oleh orang bukan Islam termasuk pemimpin DAP.

Dalam hal ini, beliau kecewa dengan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik Abdul Hadi sebagai berkata larangan ke atas orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu telah selesai dan bahawa pimpinan atasan DAP juga menerima penjelasan berhubung perkara itu yang dibuat Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu pertemuan ringkas dengannya di Pulau Pinang minggu lalu.

Beliau menegaskan tiada sebarang perkara dibincangkan berhubung isu berkenaan apabila beliau bertemu Nik Abdul Aziz pada pertemuan tidak rasmi itu.

Katanya Majlis Syura Ulama PAS tidak sepatutnya berpegang teguh dengan pendiriannya kerana ia bercanggah dengan pendirian pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). -Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment