Showing posts with label Allah. Show all posts
Showing posts with label Allah. Show all posts

Tuesday, November 19, 2013

KERAJAAN PERLU PEJUANG HUDUD SEPERTI KALIMAH ALLAH

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud sama seperti isu kalimah ALLAH yang mencerminkan pegagangan akidah umat Islam.
 
Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Ahmad Zamri As'ad Khuzaim berkata, dalam pelaksanaan hukum hudud, sepatutnya ia disokong dan tidak wajar dihalang sama sekali.

Beliau juga berkata, semua pihak perlu yakin, optimis dan bekerja secara professional di dalam penguatkuasaan perlaksanaan undang-undang hudud khususnya di negeri Kelantan.

"Sewajarnya, tiada dolak dalih lagi perlu diberikan oleh ahli-ahli Parlimen Islam di dalam hal ini.

“Sokongan terhadap perlaksanaan undang-undang ini adalah cerminan pegangan akidah Islamiah yang sering dilaung-laungkan oleh majoriti ahli Parlimen di pihak kerajaan, sepertimana di dalam isu kalimah ALLAH.

"Juham menggesa supaya perkara ini dapat dibentangkan segera di Parlimen serta mendapat sokongan ahli Parlimen yang majoritinya beragama Islam agar undang-undang ini dapat dipinda bagi membolehkan negeri Kelantan melaksanakan hudud," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Kerajaan Kelantan akan memperuntukan RM 1 juta untuk melaksanakan hukum tersebut.

Susulan itu, ahli  Majlis Tertinggi Umno yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa turut menyambut baik perkara tersebut dan menegaskan parti bukan Islam lain tidak perlu masuk campur dalam perkara tersebut.

Terbaru, Pas juga menyatakan akan membahaskan usul hukum hudud pada Muktamar Pas yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 November ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zamri menambah, Juham akan sedia mengembeling usaha dan kepakaran guaman untuk merelisasikan pelaksanaan undang-undang Islam itu di Kelantan.

"Juham telah memperhalusi perkara ini dari sudut undang-undang sedia ada dan melihat halangan ke arah perlaksanaan undang-undang hudud ini dapat di atasi dengan penuh berhemah dan profesional.

"Atas rasa tanggungjawab dan penuh iltizam, Juham bersedia memberikan bantuan khidmat guaman kepada Kerajaan Kelantan bagi membantu penguatkuasaan perlaksanaan undang-undang tersebut di  Kelantan," ujarnya lagi.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, July 18, 2013

KALIMAH ALLAH: MAIS KESAL KELANCANGAN DUTA VATICAN CITY 
 
SHAH ALAM - Tindakan Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino menyuarakan pendapat berhubung penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini bukan sahaja mencampuri urusan dalam negara malah menghina kedaulatan undang-undang yang telah diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu.

Malah, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, perbuatan Marino telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa Ramadan.

Mais berasa amat kesal kerana insiden seperti itu masih dianggap ringan oleh sesetengah pihak sehingga isu sama berbangkit semula setiap tahun, katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah beberapa kali pada 2009, 2010 dan terakhir pada 6 Jan lepas menitahkan dengan tegas bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan di negeri ini oleh mana-mana agama bukan Islam.

"Malah, baginda turut menyatakan kekesalan terhadap tindakan segelintir individu bukan Islam yang bertindak menghina kesucian agama Islam di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Adzib menggesa pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas dengan menghukum mana-mana individu Islam atau bukan Islam yang sengaja menghina kesucian agama Islam yang merupakan agama Persekutuan menurut Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana, katanya, tindakan menggunakan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam dengan menyekutukan Allah dengan sesuatu entiti lain jelas bertentangan dengan hukum syarak.

Menurutnya, fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Feb 2010 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 telah berkuatkuasa sekian lama.

Namun, katanya ia dilihat seperti tidak membawa apa-apa makna dalam kalangan segelintir orang bukan Islam terhadap sensitiviti umat Islam di negara ini walaupun undang-undang itu berkuatkuasa hampir di semua negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

"Mais menyokong sepenuhnya kenyataan dan ulasan tokoh agama serta ulama yang disiarkan di media seperti Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij) Datuk Noh Gadut, Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Kebangsaan (Perkim) Datuk Nakhaie Ahmad dan Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad serta beberapa lagi yang mengecam tindakan berkaitan penyalahgunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam.

"Mais juga menyeru agar lebih ramai tokoh agama dan ulama tanpa mengambil kira latar belakang politik untuk tampil menyuarakan bantahan dan mengecam penyalahgunaan kalimah suci ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata Mais turut menyokong desakan gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam kepada Kementerian Luar supaya mengusir keluar Duta Vatican City ke Malaysia atas kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu. - BERNAMA.COM

Monday, April 15, 2013

PRU13: PAS TERUS BERCELARU ISU KALIMAH ALLAH

KOTA BHARU - Walaupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengumumkan pendirian dengan membenarkan pengunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain namun Pas terus berdolak-dalih dengan menyalahkan Barisan Nasional (BN) yang kononnya tidak mempertahakan kalimah suci itu.

Terdesak dengan bantahan orang ramai terutama dari akar umbi Pas sendiri mengenai pengunaan kalimah Allah yang gagal dipertahankan parti itu, Pas seolah-olah 'lepas tangan' menuding jari dengan mendakwa UMNO sebenarnya yang membenarkan pengunaan kalimah Allah di dalam bible bahasa Melayu.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Nasuruddin Daud berkata, Pas melalui Majlis Syura Ulama parti itu dengan jelas telah membuat keputusan tidak membenarkan orang kafir mengunakan kalimah Allah.

Beliau berkata, orang kafir tidak boleh mengunakan kalimah Allah di dalam Bible kerana Allah dengan Tuhan ini lain. Allah tidak beranak, tidak anak kepada sesiapa, tidak serupa dengan sesiapa dan tidak menyerupai sesuatu.

"Begitu juga Allah dengan makhluk tidak serupa. Ada orang Kristian dia kata Tuhan ada anak iaitu Nabi Isa, orang Musyrikin dia kata Malaikat itu anak Tuhan, ini semua tidak betul. Telah kafir orang yang kata Tuhan itu salah satu daripada tiga.

"Sebab itu kita tidak membenarkan orang bukan Islam menterjemahkan God kepada Allah dan ini jelas, tetapi kerajaan Malaysia membenarkan tiba-tiba dia salahkan kita tidak mempertahankan kalimah Allah.

"Kita bukan setakat kalimah Allah kita pertahankan, yang paling penting syariat Allah pun kita pertahankan. Dia (UMNO) kalimah Allah tidak pertahan, syariat Allah pun dia tolak," katanya semasa menyampaikan ceramah pada program Ijtimak Ulama dan Guru-guru Pondok di sini malam tadi.

Pada 8 Januari lalu, Abdul Hadi mengumumkan pendirian pakatan pembangkang yang menyatakan Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

Pendirian bersama pakatan pembangkang itu turut dipersetujui Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Bagaimanapun, selepas itu Majlis Syura Ulama Pas memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan penganut agama lain berikutan bantahan banyak pihak termasuk golongan alim ulama.

Keputusan Majlis Syura itu bagaimanapun tidak diterima oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyifatkannya tidak mewakili suara majoriti dalam Pas serta menggesa Abdul Hadi meminta badan tertinggi Pas itu mengkaji semula keputusan tersebut.

Gesaan Karpal itu bagaimanapun dibantah oleh beberapa pemimpin Pas termasuk Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib dan Timbalan Mursyidul Am parti tersebut, Datuk Haron Din yang menyatakan akan mempertahankan kalimah suci itu sehingga akhir hayat beliau.

Isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain dicetuskan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 25 Disember tahun lalu yang membuat gesaan supaya Kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada penganut Kristian menggunakan kalimah itu. - Utusan Online