Monday, August 19, 2013

KES JENAYAH JALANAN: PDRM PERLU TINGKAT RISIKAN - MUSA HASSAN

Musa Hassan KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu meningkatkan tindakan risikan untuk mengekang kes jenayah jalanan terutama membabitkan senjata api yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini, kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Katanya semua jabatan dan peringkat dalam PDRM perlu mengukuhkan tenaga untuk meningkatkan risikan terutama di kawasan yang disyaki menjalankan kegiatan haram selain tegas dalam sebarang tindakan.

Beliau berkata keselamatan negara ketika ini agak mencabar kerana hampir setiap hari terdapat kes pembunuhan menggunakan senjata api dilaporkan dan jika tidak diatasi, boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara.

"Orang awam sekarang berasa tak selamat sebab hari-hari dengar berita orang kena tembak..kena bunuh, jadi ini akan jadi satu dilema kepada masyarakat," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Musa berkata jenayah jalanan meningkat kebelakangan ini perlu dibendung segera bagi mengembalikan semula keyakinan orang ramai terhadap kemampuan pihak berkuasa menjaga keamanan negara. – Bernama


Sumber: Sinar Harian
KRISIS MESIR: TIBA MASA MALAYSIA NYATAKAN PANDANGAN

SHAH ALAM –  Keganasan tentera Mesir terhadap rakyatnya perlu dibincangkan secara serius melalui sidang khas Parlimen, kata Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bong Mokhtar Radin.

Beliau meminta ia segera diadakan, bersesuaian dengan tuntutan semasa.

“Parlimen hanya akan bersidang pada 23 September depan. Agak terlambat membincangkan isu ini jika menunggu persidangan Parlimen akan datang,” katanya.

Oleh itu, beliau melihat keperluan untuk sidang khas Parlimen itu diadakan segera.

"Sehari suntuk memadai bagi membincangkan perkara ini," katanya.
 
Menurut Bong Mokhtar, Malaysia perlu menyatakan pandangan lebih tegas, meskipun sebelum ini telah menyatakan pendirian menolak keganasan oleh kerajaan sementara Mesir.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga perlu digesa bertindak dalam menamatkan segera konflik yang berlaku di Mesir, katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru pihak berkuasa Mesir menjalankan sekatan dengan serta-merta bagi menghentikan keganasan di negara itu.

Melalui laman sosial Twetter, Najib berkata: "Kami terganggu denganlaporan keganasan terhadap penunjuk perasaan di Mesir dan menyeru pihak berkuasa untuk menjalankan sekatan.

"Mana-mana korban awam adalah amat dikesali. Justeru, kami menggesa semua pihak menghentikan permusuhan dengan serta-merta dan bekerja ke arah penyelesaian yang aman,” katanya.

Malaysia, melalui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah melahirkan kebimbangan terhadap keadaan di Mesir itu.

Anifah dilaporkan berkata, Kuala Lumpur berharap Kaherah dapat menyelesaikan ketidakstabilan politik itu secara aman, sekali gus membolehkan proses demokrasi dikembalikan semula.

Berbeza pula dengan Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri yang berpendapat pendirian Malaysia sebelum ini sudah memadai, tanpa perlu diadakan sidang khas Parlimen.


Ini, kerana katanya, pendirian Malaysia dalam isu ini telah dinyatakan dengan tegas oleh perdana menteri yang mengutuk sebarang keganasan. – Sinar Harian
PEMBUNUHAN DI MESIR SEJARAH HITAM UMAT ISLAM

KOTA BHARU - Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menyertai masyarakat antarabangsa membidas kekejaman pasukan keselamatan Mesir terhadap penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi.

Lima NGO terbabit ialah Persatuan Kebajikan Alumni Timur Tengah, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan Nilam Puri dan Kolej Islam Sultan Ismail Petra (ATTYKK), Alumni Keluarga Pelajar Kelantan Mesir, Majlis Pengetua SMU (A) Bantuan Kerajaan Kelantan, Persidangan Pengetua Maahad Kerajaan Negeri Kelantan dan Persatuan Guru-Guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Kelantan.

Wakil NGO terbabit, Safei @ Suhaimi Sulaiman berkata, kekejaman yang berlaku di Mesir merupakan sejarah hitam umat Islam di negara itu.

"Peristiwa pembunuhan kejam terhadap umat Islam Mesir yang tidak berdosa oleh saudara-saudara mereka sendiri adalah amat dikesali dan amat memalukan bukan sahaja umat Islam tetapi seluruh umat manusia.

"Pihak kami memandang serius peristiwa malang ini dan mengutuk serta mengecam mereka yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya pembunuhan beramai-ramai ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Safei berkata, masyarakat dunia khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab segera bertindak mengelak pertubuhan darah lebih besar berlaku di Mesir.

Beliau berkata, pihaknya turut mendoakan agar rakyat Mesir memperoleh jalan keluar ke arah kedamaian dengan sebaik mungkin.


"Kita juga berdoa semoga pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Mesir sentiasa dalam keadaan selamat dan berharap kerajaan sentiasa mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjamin keselamatan pelajar kita di sana," katanya. – BERNAMA/Utusan Online
LAGU NEGARAKU SEBELUM TAYANGAN FILEM DI PAWAGAM 

KUALA LUMPUR - Lagu Negaraku dicadang untuk dimainkan di pawagam di seluruh negara sebelum tayangan sesuatu filem sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 negara.
 
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu akan dibincangkan bersama pengusaha pawagam minggu hadapan.

"Saya akan berbincang dengan pengusaha-pengusaha mungkin pada Rabu depan untuk nyanyian Negaraku dimainkan sama ada dua atau tiga hari sebelum dan selepas 31 Ogos atau diteruskan hingga Hari Malaysia pada 16 Sept.

"Bagi saya ini (nyanyian Negaraku) hanya satu pengorbanan yang sedikit dan kecil untuk kita semua sebagai rakyat dalam menghargai kemerdekaan dan mengingati mereka yang terkorban dalam mempertahankan kedaulatan negara," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata bagi tujuan itu, kementerian boleh membekalkan klip video lagu Negaraku kepada pawagam di seluruh negara.

Katanya, pengusaha panggung juga digalak mencari inisiatif untuk memastikan penonton berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan seperti mencerahkan lampu pawagam.

"Tetapi bagi kami, sebaiknya tiada paksaan kerana ini sememangnya menjadi tanggungjawab dan kesedaran kita untuk berdiri bagi menghormati lagu Negaraku dan ia seharusnya dijadikan amalan.

"Kalau di padang bola, pada setiap perlawanan kita boleh berdiri apabila lagu kebangsaan dimainkan, kenapa tidak di panggung wayang hanya beberapa hari sempena Hari Kemerdekaan?" katanya.

Shabery berkata banyak negara luar termasuk Thailand dan India masih meneruskan tradisi nyanyian lagu kebangsaan negara mereka di kawasan-kawasan awam serta pawagam pada setiap hari.

"Thailand contohnya, rakyatnya akan berdiri apabila lagu kebangsaan mereka dimainkan di pawagam hinggakan ia turut dimainkan setiap pagi di stesen kereta api di mana rakyatnya juga akan berdiri sebagai tanda penghormatan.

"Kita belum sampai ke tahap itu, tetapi saya rasa tidak salah kalau ia dikaji sejauh mana yang kita boleh buat, tetapi kita tidak mahu juga jika semangat itu tidak dipupuk dan rakyat menganggap ia perkara biasa dan tidak perlu diberi penghormatan," katanya.


Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan syarikat-syarikat swasta memainkan lagu Negaraku pada acara yang dianjur mereka dalam usaha pembudayaan dan penghayatan lagu kebangsaan itu.- BERNAMA