Thursday, November 22, 2012

PRU-13 BEBERAPA MINGGU LAGI?

BEAUFORT 21 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini terus memberi gambaran bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) terlalu hampir.

Justeru, beliau menyeru seluruh ahli komponen parti Barisan Nasional (BN) supaya terus menggiatkan usaha bagi memastikan kemenangan besar BN.

"Orang kata PRU-13 tidak lama lagi mungkin dalam beberapa minggu lagi? Tetapi bila Perdana Menteri dapat ilham bubar Parlimen barulah pilihan raya.

"Jadi saya mahu tahu di Kuala Penyu kalau esok pilihan raya apakah kita akan terus menang?" katanya ketika berucap dalam majlis bersama rakyat Kuala Penyu di Padang Pekan Kuala Penyu, Sabah hari ini. - UtusanOnline
CALON HADI SEBAGAI PM, BUKTI PAS SANGSI ANWAR

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Keputusan Pas untuk mencadangkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Perdana Menteri membuktikan parti itu sudah mula sangsi dengan kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memegang jawatan tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keputusan itu merupakan satu bentuk protes secara senyap kerana ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi tidak mahu seorang pemimpin yang sudah terpalit dengan masalah moral dan berfahaman pluralisme itu memimpin negara.

Kata beliau, tindakan tersebut sekali gus membuktikan wujudnya kecelaruan perpaduan dalam pakatan pembangkang.

"Saya yakin ramai ahli Pas mula percaya Anwar ada masalah moral dan tidak boleh jadi Perdana Menteri.

"Ini hanya lakonan politik semata-mata untuk menunjukkan mereka berpadu walaupun pada hakikatnya perpaduan mereka tidak seperti digambarkan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kemelut pelantikan Perdana Menteri itu mula timbul apabila akar umbi Pas dalam muktamar tahunannya baru-baru ini mendesak Abdul Hadi dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan jelas menolak cadangan yang mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri.

Mohd. Puad berkata, pakatan pembangkang turut mengalami kecelaruan pemimpin apabila tidak ada gambaran siapa menjadi ketua mereka apatah lagi untuk mencari kesepakatan dalam pelantikan Perdana Menteri.

"Kalau dalam sistem parti pun tidak demokratik, macam mana mahu pilih Perdana Menteri secara demokratik dalam kalangan mereka.

"Saya yakin apa yang berlaku dalam Muktamar Pas baru-baru ini kerana ada tanda-tanda tidak wujud persefahaman dan saling percaya.

"Mereka boleh diumpamakan seperti perkahwinan gay sebab kita tidak tahu siapa 'ibu' atau 'bapa' mereka," katanya. –UtusanOnline  
CAMPURI PRU MALAYSIA: AUSTRALIA TOLAK RAYUAN ANWAR
MELBOURNE: Australia tidak akan mempengaruhi cara pilihan raya umum dilaksanakan di Malaysia walaupun menerima rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Luar Australia Senator Bob Carr, berkata pilihan raya di Malaysia adalah urusan rakyat Malaysia sendiri.

“Amat sukar bagi Australia berbuat sesuatu mengenai cara ia dilaksanakan, sama sukarnya bagi Malaysia atau kerajaan lain untuk menganjurkan bagaimana pilihan raya di Australia perlu diadakan.

“Kami bukan pihak berkuasa pilihan raya bagi Malaysia,” katanya kepada ABC Radio di sini.

Carr bagaimanapun berkata, Australia ingin melihat pilihan raya diadakan secara bebas dan adil di semua negara.

Anwar dilaporkan menulis kepada Carr, meminta Australia membantu dalam memastikan pilihan raya umum akan datang di Malaysia, yang berkemungkinan diadakan awal tahun depan, bebas daripada penipuan dan rasuah.

Carr berkata, Anwar secara peribadi menimbulkan kebimbangan itu dalam pertemuan mereka ketika beliau melawat Malaysia baru-baru ini.

Beliau juga menolak andaian bahawa Australia akan menghantar pemantau pilihan raya ke Malaysia dan menegaskan perkara itu perlu dipohon oleh Malaysia.

Carr turut menangkis andaian Canberra enggan bertindak kerana ingin memelihara hubungan baik dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang pihaknya sedang mengadakan rundingan berkaitan perjanjian pertukaran pencari suaka. BERNAMA/BHarian

KERAJAAN SEDIA KAJI DISKAUN SAMAN AES
    
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mengkaji menawarkan diskaun kepada pesalah lalu lintas yang dirakam Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), bagaimanapun tidak berhasrat memansuhkannya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata ketika ini semua pesalah AES dikenakan kadar kompaun sama, tanpa membezakan sama ada jumlah had laju dilanggar besar atau kecil.

Katanya, ketika ini belum ada keputusan untuk memberi diskaun.

Namun, selepas diasak Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang berpendapat wajar diberi diskaun bagi pesalah yang membayar dalam tempoh cepat, Cho Ha berkata: “Cadangan itu (diskaun) akan diambil kira,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, semalam.

Cho Ha bagaimanapun bersetuju dengan Bung Moktar supaya kaedah pembayaran saman itu dipermudahkan berbanding di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika ini.

Selain itu, katanya, usaha juga dibuat untuk membangunkan sistem mengesan kenderaan luar negara bagi memastikan mereka membayar saman di Malaysia.

Beliau berkata, AES dilaksanakan untuk menyelamatkan nyawa pengguna di jalan raya.
Katanya, purata 19 kematian dicatat setiap hari di jalan raya dan di antara 2002 hingga tahun lalu, 64,195 kematian direkodkan.

“Analisa MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) mendapati menjelang 2020 jumlah kematian di jalan raya boleh mencecah 10,000 orang setahun.

“Negara mengalami kerugian RM8.3 bilion tahun lalu dan RM6.2 bilion sehingga September lalu, akibat kematian serta kecederaan di jalan raya,” katanya.

Cho Ha juga menegaskan penguatkuasaan dan saman AES dibuat pegawai JPJ serta menafikan dakwaan ia turut dilakukan petugas dua syarikat penyedia perkhidmatan sistem itu.

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang itu selepas dua kali undi belah bahagian.

Bercakap pada sidang media kemudian, Cho Ha berkata, sejak AES dikuatkuasakan September lalu, kesalahan had laju dan langgar lampu isyarat menurun hingga 70 peratus.

Beliau bagaimanapun mengaku kecewa dengan tindakan segelintir Ahli Parlimen pembangkang yang didakwa memutarbelitkan fakta mengenai AES dengan mendakwa dua syarikat yang terbabit mengaut keuntungan berlebihan.