Wednesday, February 27, 2013

ANWAR TIDAK LAGI RELEVAN – HASAN ALI

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi relevan dalam konteks kepimpinan politik negara termasuk dilantik sebagai Perdana Menteri berikutan masalah moralnya yang tidak berkesudahan.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, dalam soal agama juga Anwar tidak mampu menghujah balas kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadapnya terutama berhubung isu pluralisme dan liberalisme.

"Rakyat sebenarnya sudah muak dengan apa yang berlaku dan tidak mampu lagi menanggung aib disebabkan masalah moral yang bertimpa-timpa tanpa berkesudahan.

"Apa yang berlaku kepada Anwar akan dipalitkan kepada majoriti penduduk negara ini yang terdiri daripada penduduk Melayu Islam,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas ketiadaan kata sepakat dan ketetapan bagi melantik Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Dalam pada itu, Hasan berkata, petunjuk kepada penolakan kepimpinan Anwar menjadi semakin menyeluruh berdasarkan kepada ulasan, pandangan, pemerhatian dan kajian yang dilakukan para intelektual.

Beliau berkata, penemuan itu berjaya meyakinkan rakyat bahawa tidak ada gunanya mana-mana pihak termasuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membazirkan masa memberikan pelbagai alasan untuk terus menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Mengenai Pas pula, beliau berkata, parti itu kini kelihatan seolah-olah baru sedar daripada lamunan iaitu majoriti orang Melayu yang bakal menjadi pengundi mereka telah menolak Anwar.

"Seingat saya, sewaktu masih di dalam Pas, saya adalah di antara pimpinan Pas yang daripada awal-awal lagi mencadangkan supaya Perdana Menteri Malaysia mesti datang daripada jalur kepimpinan Pas.

"Bahkan saya telah menamakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon yang paling layak jika dibandingkan dengan Anwar,'' katanya lagi.

Sementara itu, Hasan mahu rakyat bangkit menolak pakatan pembangkang kerana jelas terbukti gabungan tiga parti pembangkang itu tidak boleh bersatu.

"Bukti pakatan pembangkang tidak boleh bersatu adalah begitu terang dan jelas terutama isu siapa bakal menjadi Perdana Menteri.

"Rakyat tidak sepatutnya memperjudikan masa depan negara dengan mengizinkan pembangkang menguasai Putrajaya kerana ia juga bererti kita reda melihat anak bangsa menerima bahana daripada ketidakprihatinan kita itu,'' ujarnya. –UtusanOnline
FITNAH SAMAKAN BR1M BANTUAN FIRAUN

KOTA BHARU 26 Feb. - Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat oleh kerajaan tidak sepatutnya dijadikan modal politik apatah lagi mengaitkannya dengan zaman Firaun.

Ahli Jawatankuasa Ikatan Cendekiawan Ilmuwan Kelantan (ICIK), Drs. Mohd. Zawawi Awang berkata, bantuan tersebut dilaksanakan berlandaskan dasar transformasi negara yang melibatkan rakyat secara menyeluruh.

Beliau berkata, kerajaan lakukan segala-galanya untuk rakyat mengikut kemampuan berdasarkan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

"Dari sudut ilmiah tidak nampak justifikasi boleh dikaitkan pemberian BR1M oleh Kerajaan Pusat dengan BR1M Firaun yang dikatakan menggunakan kekayaan untuk menyesatkan rakyat malah satu fitnah besar melemparkan tuduhan tanpa asas.

“Apa yang jelas kepada kita hari ini ialah bantuan tersebut diagih sama rata tanpa mengira fahaman politik dan diterima baik oleh segenap masyarakat yang berpendapatan rendah,” katanya.

Mohd Zawawi juga berkata, pas tidak sepatutnya menjadikan bantuan BR1M sebagai modal politik untuk menyerang lawan kerana tidak melibatkan keistimewaan satu pihak. –UtusanOnline
PR ANJUR PERSIDANGAN ANTARABANGSA PRU13

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 3 hingga 5 Mac ini di Bangunan Parlimen.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tujuan penganjuran persidangan tersebut adalah bagi membincangkan soal integriti proses pilihan raya seperti dalam Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Reformasi Pilihan Raya dan Misi Pencarian Fakta Antarabangsa mengenai pilihan raya di Malaysia.

"Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang akan merasmikan pembukaan persidangan. Mereka yang dijangka hadir ialah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan pula akan bertindak selaku ahli panel.

"Kita juga sedang mendapatkan pengesahan kehadiran daripada Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Norhayati Ismail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa beberapa panelis antarabangsa akan turut hadir pada persidangan berkenaan antaranya ialah Hakim Marlon Reis (Brazil), Prof Dr Gothom Arya (Thailand), Dr Mohamed Nasir Tamara (Indonesia), Damaso G. Magbual (Filipina), Mobashar Jawed Akbar (India) dan Prof Dr Clinton Fernandes (Australia).

Ditanya sama persidangan akan terganggu sekiranya Parlimen dibubarkan lebih awal, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata ia tidak menjadi masalah kerana tujuan persidangan diadakan adalah bagi mencari jalan penyelesaian dalam pelaksanaan pilihan raya di negara ini. -mStar