Wednesday, July 18, 2012

KRISIS AIR SELANGOR - 'TUNJUK ASAS JIKA MAHU AMBIL ALIH SYABAS'

Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR) perlu mengemukakan rancangan dan pelan mereka untuk menguruskan bekalan air di negeri itu, jika berhasrat mahu mengambil alih peranan itu daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Dipetik Bernama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengambilalihan tanggungjawab itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya dan perlu dimaklumkan kepada kerajaan pusat berdasarkan peruntukan dalam perjanjian konsesi sedia ada.

“Jadi kalau mereka ingin buat keputusan begitu mereka kena maklumkan. Sama ada, ada asas atau pun tidak itu kita tidak tahu lagi dan kita juga mahu tahu apa perancangan kerajaan negeri dalam nak menyelesaikan krisis air di Selangor.

“Sebagaimana pelan pembangunan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 yang belum diputuskan lagi.

"Jadi kalau itu mereka sampaikan kepada kerajaan pusat dan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui (selaku menteri bertanggungjawab) boleh menilai adakah asas itu asas yang kukuh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Indah, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa Syabas tidak menjalankan tugasnya mengikut perjanjian konsesi dan kerajaan negeri mahu mengambil alih tanggungjawab itu daripada syarikat tersebut.

KD: Memang langsung tak faham dengan kontroversi SYABAS vs Kerajaan Negeri Selangor ni. Kedua-dua pihak berbalah dan menyalahkan pihak lain. Ironinya, krisis air di Selangor masih juga tiada penyudahnya. Entah siapa benar atau tidak, KD kurang pasti kerana kurang arif mengenai pengendalian atau pengurusan air. Jadi, perlukah pihak ketiga dalam hal ini? Cepatlah bertindak, kerana KD adalah antara berjuta pengguna di Lembah Klang!!

CAKAP-CAKAP PERIHAL TARIKH PRU13

‘Cakap-cakap’ @ reaksi berhubung cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar PM Datuk Seri Najib Tun Razak memanggil Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun ini terus mendapat liputan akhbar.

Pihak pembangkang iaitu Pakatan Rakyat (PR) menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu memperlihatkan wujud keadaan tidak menentu dalam Umno sekali gus menyebabkan Umno tidak yakin menghadapi PRU13.

Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, jelas keadaan dalam Umno sedang berkecamuk apabila pemimpin tertinggi sendiri (seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) sudah tidak sependapat. Tiga pemimpin utama parti melahirkan pendapat agar PRU tidak harus diadakan pada musim haji dan Muhyiddin pula mempunyai pendapat tersendiri. Manakala, Najib terus diam seribu bahasa. Sehubungan itu, beliau yakin yang PRU akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang dan meletakkan sepenuh kepercayaan ke atas jentera pilihan raya PKR yang sudah bersiap sedia.

Pas turut melahirkan pandangan senada dengan PKR apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali melahirkan pendapat yang sama dan merasakan yang pemimpin utama Barisan Nasional (BN) tidak sepakat dalam memilih tarikh PRU. Beliau juga berkata yang saranan Muhyiddin ini merupakan satu mesej kepada parti supaya mereka bersiap sedia untuk menghadapi PRU yang akan datang.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw pula berkata, Muhyiddin hanya mengeluarkan pendapatnya sendiri dan menunjukkan keselesaannya mengadakan PRU13 tahun ini. Malah, kenyataan Muhyiddin merupakan buah fikiran beliau dan ia harus dihormati. Bagi beliau, sebelum mengumumkan pilihan raya, Perdana Menteri perlu ambil kira semua aspek termasuk aspek ekonomi. Ini kerana, jika jejaskan ekonomi, ia turut akan jejaskan perasaan rakyat sebab itu PM tidak bersuara berhubung tarikh PRU. Walau bagaimanapun, DAP sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi PRU13, sambil mengharapkan agar perjalanan PRU13 nanti biarlah adil dan saksama serta jangan ada sebarang penyelewengan.

Ahmad MaslanSementara itu, bagi Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, beliau menolak tanggapan pembangkang bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) takut untuk memanggil Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sekarang. Ini kerana, ramalan dan spekulasi sesetengah pihak kononnya pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat adalah meleset dan  tidak betul. Lagi pula Najib belum genap empat tahun menjadi Perdana Menteri.  Pastinya banyak lagi perkara yang PM nak lakukan dan laksanakan lagi. Ahmad juga berpandangan bahawa kemungkinan Najib, yang juga Presiden Umno, masih belum berpuas lagi untuk memberikan dasar-dasar dan juga perkara yang diperlukan oleh rakyat.

KD: Pemimpin-pemimpin yang terpelajar dan arif perihal politik telah memberikan reaksi mereka, pastinya rakyat juga mempunyai reaksi @ pendapat masing-masing. Begitulah keadaannya selagi tarikh pilihan raya tidak diumumkan. Terserah kepada diri masing-masing menilai setiap tindakan atau keputusan. Namun perlu diingat, tidak salah memberi pendapat, namun janganlah sampai menjadi fitnah/ tohmahan.
PM: JANGAN NODAI KEMERDEKAAN NEGARA


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya berjuang habis-habisan untuk memastikan kemerdekaan yang dinikmati negara selama 55 tahun tidak dinodai oleh sesiapapun.

 Najib: Jangan nodai kemerdekaan negaraDengan nada penuh bersemangat, Perdana Menteri juga berharap generasi sekarang tidak mensia-siakan perjuangan pemimpin terdahulu, yang dengan jerih payah dan darah mereka, berkorban memerdekakan negara ini.

"Saya mengajak semua rakyat Malaysia supaya merapatkan barisan kita, supaya kita dengan suara 1Malaysia, dengan satu suara, satu impian, satu harapan, 1Malaysia jadikan sambutan 55 tahun ini sebagai satu sambutan yang cukup meriah," katanya ketika melancarkan program Kibar Jalur Gemilang di Little India, Brickfields di sini malam tadi.

Beliau berkata, dalam tempoh 55 tahun kemerdekaan negara, banyak janji yang telah kerajaan tepati.

"Kita maju dan kita berjaya kerana selama 55 tahun kerajaan telah menepati janji kepada rakyat, kita janjikan sebuah negara yang bersatu padu dan kita telah dapat menjamin keadaan sedemikian.

"Kita menjanjikan sebuah negara yang akan melalui proses transformasi daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah negara industri dan kini kita bercita-cita melonjakkan negara kita sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi," katanya di hadapan lebih 15,000 pengunjung yang tidak berganjak walaupun hujan renyai-renyai turun membasahi bumi.

Najib mengajak rakyat negara ini mengibarkan Jalur Gemilang untuk menunjukkan kepada seluruh dunia rasa cinta terhadap negara dan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang berjaya dalam erti kata sebenarnya.

"Saya berbangga bahawa sambutan Hari Kemerdekaan kita bermula dengan kibaran Jalur Gemilang. Ini bererti bahawa dalam tempoh (malam ini) hinggalah kepada 31 Ogos dan seterusnya pada 16 Sept, kita akan menyemarakkan semangat cinta kepada negara kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang di mana saja yang boleh kita lakukan.

"Kibarkan Jalur Gemilang di mana saja, di bumbung rumah kita, di luar pagar rumah kita, di bangunan pencakar langit, di rumah kedai, pada kereta kita, teksi-teksi atau apa jua jenis kenderaan, kibarkan bendera Jalur Gemilang kita," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa melancarkan kempen Jalur Gemilang di Kampung Baru meminta semua pihak mengibar bendera negara sebagai satu lambang kesetiaan, kesatuan, keberanian, kegigihan dan patriotisme bagi mencapai wawasan kegemilangan.

Beliau berkata, Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai bendera tetapi lambang dan simbol kedaulatan negara yang mempunyai makna besar dan mendalam ertinya.

"Lambang Jalur menggambarkan hala tuju dan arah yang sama dan gemilang itu melambangkan kecemerlangan yang dicapai di mana setiap lambang dan warna yang terdapat pada Jalur Gemilang mencerminkan masyarakat Malaysia serta cita-cita negara yang meliputi konsep gagasan 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata tema '55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati' pada tahun ini jelas menggambarkan dasar kerajaan yang sentiasa prihatin kepada keperluan dan hasrat rakyat dengan menjaga kebajikan serta melonjakkan mereka dalam arus pembangunan negara.

Muhyiddin berkata, semua pihak hendaklah memelihara perpaduan kerana ia adalah satu nikmat yang tidak ternilai harganya dan tunjang kepada kestabilan politik, keharmonian dan keutuhan daya saing ekonomi negara.

Katanya, rakyat yang bersatu padu dan bekerjasama mampu menjadi benteng kukuh untuk menghadapi sebarang ancaman sama ada dari dalam mahupun luar.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Kemerdekaan, berkata semangat mengibarkan Jalur Gemilang perlu dizahirkan semua kaum di negara ini.

Beliau berkata, semangat cintakan negara perlu dipertahan bagi menjamin masa depan yang lebih aman dan rakyatnya dapat hidup bersatu padu.
Di Jalan Petaling, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berharap setiap rakyat dapat menjiwai semangat kemerdekaan ini dengan mengibar Jalur Gemilang secara sukarela tanpa mengharapkan bendera percuma daripada kerajaan.

Beliau berkata, pengibaran Jalur Gemilang menjadi simbol perpaduan rakyat berbilang kaum negara ini dan pembakar semangat rakyat untuk menghayati erti kemerdekaan dan mensyukuri nikmat keharmonian yang dikecapi Malaysia.

"Sikap toleransi yang diamal selama ini menjadi benteng yang mengukuhkan perpaduan antara kita semua," katanya. – Bernama 


KD: Bersemangat sungguh pemimpin2 kita berkempen menyambut kemerdekaan. Semangat ini perlu dicontohi malah turut dirasai oleh setiap pelusuk warga Malaysia. Jangan hanya duduk menunggu bantuan atau sumbangan kerajaan, namun warga Malaysia perlu menjadi warga yang proaktif dan berjaya