Wednesday, July 18, 2012

CAKAP-CAKAP PERIHAL TARIKH PRU13

‘Cakap-cakap’ @ reaksi berhubung cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar PM Datuk Seri Najib Tun Razak memanggil Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun ini terus mendapat liputan akhbar.

Pihak pembangkang iaitu Pakatan Rakyat (PR) menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu memperlihatkan wujud keadaan tidak menentu dalam Umno sekali gus menyebabkan Umno tidak yakin menghadapi PRU13.

Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, jelas keadaan dalam Umno sedang berkecamuk apabila pemimpin tertinggi sendiri (seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) sudah tidak sependapat. Tiga pemimpin utama parti melahirkan pendapat agar PRU tidak harus diadakan pada musim haji dan Muhyiddin pula mempunyai pendapat tersendiri. Manakala, Najib terus diam seribu bahasa. Sehubungan itu, beliau yakin yang PRU akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang dan meletakkan sepenuh kepercayaan ke atas jentera pilihan raya PKR yang sudah bersiap sedia.

Pas turut melahirkan pandangan senada dengan PKR apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali melahirkan pendapat yang sama dan merasakan yang pemimpin utama Barisan Nasional (BN) tidak sepakat dalam memilih tarikh PRU. Beliau juga berkata yang saranan Muhyiddin ini merupakan satu mesej kepada parti supaya mereka bersiap sedia untuk menghadapi PRU yang akan datang.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw pula berkata, Muhyiddin hanya mengeluarkan pendapatnya sendiri dan menunjukkan keselesaannya mengadakan PRU13 tahun ini. Malah, kenyataan Muhyiddin merupakan buah fikiran beliau dan ia harus dihormati. Bagi beliau, sebelum mengumumkan pilihan raya, Perdana Menteri perlu ambil kira semua aspek termasuk aspek ekonomi. Ini kerana, jika jejaskan ekonomi, ia turut akan jejaskan perasaan rakyat sebab itu PM tidak bersuara berhubung tarikh PRU. Walau bagaimanapun, DAP sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi PRU13, sambil mengharapkan agar perjalanan PRU13 nanti biarlah adil dan saksama serta jangan ada sebarang penyelewengan.

Ahmad MaslanSementara itu, bagi Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, beliau menolak tanggapan pembangkang bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) takut untuk memanggil Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sekarang. Ini kerana, ramalan dan spekulasi sesetengah pihak kononnya pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat adalah meleset dan  tidak betul. Lagi pula Najib belum genap empat tahun menjadi Perdana Menteri.  Pastinya banyak lagi perkara yang PM nak lakukan dan laksanakan lagi. Ahmad juga berpandangan bahawa kemungkinan Najib, yang juga Presiden Umno, masih belum berpuas lagi untuk memberikan dasar-dasar dan juga perkara yang diperlukan oleh rakyat.

KD: Pemimpin-pemimpin yang terpelajar dan arif perihal politik telah memberikan reaksi mereka, pastinya rakyat juga mempunyai reaksi @ pendapat masing-masing. Begitulah keadaannya selagi tarikh pilihan raya tidak diumumkan. Terserah kepada diri masing-masing menilai setiap tindakan atau keputusan. Namun perlu diingat, tidak salah memberi pendapat, namun janganlah sampai menjadi fitnah/ tohmahan.

No comments:

Post a Comment