Monday, June 24, 2013

'RAWAT' PUNCA JEREBU

KUALA LUMPUR - Semua pihak perlu mengambil pendekatan 'merawat' punca jerebu yang mengancam kesihatan supaya tidak berulang, bukan menghabiskan masa dan tenaga merawat penyakit akibat bencana itu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
  
Beliau berkata bencana jerebu berpunca daripada buatan manusia yang boleh dibendung dengan tindakan tegas.
  
Katanya jerebu memberi kesan amat buruk kepada orang ramai terutama mereka yang mempunyai penyakit seperti bronkitis, jantung serta kanak-kanak dan wanita mengandung.
  
"Debu jerebu amat kecil dan ia boleh masuk ke dalam paru-paru. Seorang yang sihat mungkin menghadapi masalah minimal tetapi mereka yang mempunyai masalah kesihatan mungkin berdepan isu serius," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara angkat sumpah jawatan anggota Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini hari ini semasa diminta mengulas keadaan jerebu teruk melanda negara berikutan pembakaran terbuka di Indonesia.

Sehingga 11 pagi ini, Indeks Pencemaran Udara (IPU) untuk tiga kawasan di negara ini mencatatkan bacaan yang dikategorikan 'sangat tidak sihat' iaitu Port Dickson, Negeri Sembilan (292); Pelabuhan Klang, Selangor (288) dan Kemaman, Terangganu (253).
  
Dr Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan telah bersedia sepenuhnya untuk menerima serta merawat pesakit yang menghadapi masalah kesihatan akibat jerebu di seluruh negara.
  
"Kita sudah bersedia daripada awal untuk menghadapi peningkatan kes penyakit akibat jerebu ini, namun saya nasihat langkah untuk mencegah penyakit ini perlu kita utamakan dulu seperti memakai topeng dan mengurangkan aktiviti luar," katanya.
  
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia akan menyokong tindakan tegas Indonesia terhadap syarikat yang terlibat melakukan aktiviti pembakaran terbuka termasuk syarikat dari Malaysia.
  
"Sama ada (ia melibatkan) syarikat Malaysia, Singapura atau Indonesia, sila ambil tindakan mengikut undang-undang Indonesia. Ambil tindakan, kami rakyat Malaysia akan sokong," katanya dan menurutnya syarikat berkenaan tidak berhak melanggar undang-undang di negara yang mereka beroperasi.  – Bernama


Sumber: Sinar Harian

PERHIMPUNAN BLACK505 GAGAL CAPAI SASARAN

KUALA LUMPUR - Perhimpunan haram anjuran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diuar-uarkan sebagai kebangkitan rakyat bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PR-13) ternyata gagal apabila dihadiri hanya kira-kira 20,000 orang.

Jumlah kehadiran peserta yang berhimpun di tujuh lokasi sebelum berarak ke Padang Merbok ternyata jauh daripada sasaran pemimpin pembangkang iaitu 500,000 orang.

Berikutan keadaan itu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa memberi alasan bahawa ia berlaku kerana masalah jerebu yang melanda ibu negara.

Bagaimanapun alasan Anwar itu ternyata sekadar untuk menutupi kegagalan pakatan pembangkang semata-mata kerana sebahagian besar peserta mula meninggalkan lokasi utama di Padang Merbok seawal pukul 4 petang iaitu sebelum beliau berucap.

Kegagalan untuk menarik lebih ramai peserta menyertai perhimpunan itu dikatakan berlaku berikutan perasaan kecewa penyokong-penyokong pembangkang yang berasa dipermainkan apabila pemimpin-pemimpin mereka membuat keputusan untuk menghadiri majlis angkat sumpah anggota Parlimen.

Tindakan itu dilihat bertentangan dengan kenyataan mereka sebelum ini bahawa PRU-13 dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) melalui penipuan.

Kekecewaan itu diluahkan oleh sesetengah peserta yang berkhemah di padang berkenaan apabila mereka memaparkan tulis mengkritik sikap hipokrit pemimpin-pemimpin pembangkang.

Berikutan itu juga ia memungkinkan jumlah kehadiran peserta di tujuh lokasi yang ditetapkan oleh penganjur mengecewakan mereka.

Sebagai contoh, tinjauan Mingguan Malaysia di pekarangan Universiti Malaya (UM) yang tersenarai sebagai salah satu lokasi berhimpun peserta hanya disertai kurang daripada 300 penyokong mahasiswa dan golongan muda.

Keadaan itu jelas menunjukkan mahasiswa tidak termakan pujuk rayu dan provokasi pembangkang diketuai Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mat Akin supaya mereka menyertai perhimpunan berkenaan.

Di enam lagi lokasi, situasi juga sama biar pun ia dimulai dengan ucapan oleh beberapa pemimpin pembangkang termasuk Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Selain itu, kebijaksanaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal keadaan dengan menempatkan jumlah minimum anggotanya memungkinkan hasrat sesetengah peserta untuk melakukan provokasi dengan tujuan mencetuskan huru-hara terbantut.

Bagaimanapun perhimpunan itu tetap menyaksikan sikap biadab sesetengah peserta apabila mereka bukan sahaja membawa sepanduk memaki hamun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi juga pemimpin negara dan media arus perdana. – Utusan Online


KD: Orang yang waras tidak akan membuang masa melibatkan diri dengan perhimpunan yang tidak mendatangkan apa-apa faedah ini.
BLACK505: KIBAR BENDERA MERAH PUTIH, PIHAK BERKUASA PERLU BERTINDAK TEGAS

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertindak mengibarkan bendera merah putih sewaktu perhimpunan haram di Padang Merbok di sini semalam.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, tindakan biadab itu memperlihatkan mereka seolah-olah tiada semangat jati diri sebagai rakyat Malaysia.

"Perbuatan mereka amat memalukan kerana telah mencapai tahap mencabar kedaulatan negara dan martabat rakyat.

"Mereka sepatutnya mengenang jasa pejuang terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air sebelum bertindak mengikut perasaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhbar melaporkan perhimpunan haram tajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Merbok di sini sekali lagi menyaksikan kebiadapan beberapa penyokong pembangkang mengarak bendera merah putih yang dikaitkan dengan usaha menukar Jalur Gemilang.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom beranggapan perbuatan tidak bermoral tersebut semakin menjadi-jadi berpunca daripada undang-undang yang tidak tegas.

"Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan dan segera menahan individu yang terlibat. Mereka harus bertanggungjawab terhadap apa yang telah dilakukan," katanya. – Utusan Online

KD: Siapa sebenarnya mereka ini? Sehingga sanggup mengagungkan bendera negara lain..
PEMBANGKANG DIALU-ALU TEGUR KEPINCANGAN NEGERI KEDAH

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang teguran daripada barisan pembangkang atas pengalaman mentadbir negeri Kedah, sebelum ini.
  
Bagaimanapun, Mukhriz berkata teguran tersebut perlu berasaskan fakta dan berharap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang sepatutnya lebih memahami kesukaran mentadbir sesebuah negeri, walaupun pernah mentadbir Kedah hanya lima tahun.
  
Beliau turut berharap agar pihak pembangkang akan lebih bersifat empati terhadap kerajaan sedia ada.
  
"Tegurlah kerajaan negeri kalau ada kepincangan, sebab pihak kami tak fikir kerajaan negeri betul 100 peratus sebab mungkin ada yang terlepas pandang atau maklumat tidak sempurna.
  
"...Pengalaman ini (mentadbir negeri) sangat penting untuk meningkatkan kefahaman dua-dua pihak, dalam demokrasi penting wujud peranan semak dan imbang," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Adun Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sebagai 'orang baharu' dalam Dun Kedah, Mukhriz berkata beliau belum dapat membuat perbandingan mengenai perjalanan sidang DUN, namun berharap ia tidak berlaku seperti dalam Dewan Rakyat.
  
"Kalau banding dengan Dewan Rakyat, harap tak berlaku (dalam Dun). Polemik politik terlampau dalam Dewan Rakyat, suasana agak tegang dan peraturan mesyuarat dilanggar sewenang-wenangnya," kata Mukhriz.
  
"Saya lihat nama-nama (Adun) ramai yang baru, ada juga orang lama dan rasa sidang dewan akan meriah dengan pandangan dan idea baharu. - Bernama/Sinar Harian

KD: Inilah contoh kerajaan negeri yang baik.. menitikberatkan keseimbangan dan sedia menerima pandangan orang lain.

BLACK505: TIADA LAGI DEMO BUAT MASA INI - ANWAR

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat tidak merancang untuk mengadakan lebih banyak perhimpunan Black505 bagi membantah keputusan pilihan raya umum yang lalu pada masa ini.

"Buat masa ini tidak, tetapi saya tidak boleh bercakap bagi pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Bagi Pakatan Rakyat, kita perlu bergerak ke hadapan," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Pakatan Rakyat di sini pada Ahad.

Bagaimanapun beliau berkata bantahan pembangkang masih akan diteruskan melalui petisyen pilihan raya.

Menurut Anwar, pihaknya akan terus bekerjasama dengan negara-negara asing bagi mendedahkan kejadian penipuan dalam pilihan raya baru-baru ini.. - Bernama/mStar

KD: Eloklah dihentikan apa jua bentuk perhimpunan haram.. bukan sahaja menyusahkan orang ramai, malah turut menjejaskan reputasi negara.
JEREBU: SEKOLAH KL, SELANGOR DIARAH TUTUP

SHAH ALAM - Semua sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur ditutup pada Isnin esok berikutan kualiti udara yang semakin buruk akibat jerebu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel.

"Semua sekolah di Selangor dan KL ditutup esok seperti dinasihatkan PM Najib Razak," katanya.

Palanivel berkata beliau akan meminta Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh mengambil tindakan sewajarnya.

"Situasi jerebu semakin teruk pada 5 petang dan sekolah diarah tutup sebagai langkah berjaga-jaga kerana kualiti udara yang buruk akan memberi kesan terhadap kesihatan pelajar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka berada dalam rumah dan memakai topeng jika mereka perlu keluar.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar, yang diisytihar sebagai kawasan darurat, mencatat sedikit penurunan dengan bacaan 690 pada 11 pagi tadi berbanding 746 empat jam sebelumnya.

IPU bagi Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai di Melaka, yang sebelum ini masing-masing mencatat bacaan di tahap bahaya 357 dan 334, meningkat ke 415 dan 428.

Negeri lain yang mempunyai IPU tidak sihat termasuk ibu negara, Putrajaya, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor manakala dua kawasan yang dikategori sebagai mempunyai kualiti udara sihat ialah Sandakan dan Tawau di Sabah. - Bernama/Sinar Harian
JEREBU: TITIK PANAS MENINGKAT KEPADA 118

KUALA LUMPUR: Bilangan titik panas yang dikesan melalui imej satelit NOAA-18 di Sumatera, Indonesia semalam meningkat hampir dua kali ganda daripada 64 pada Jumaat lepas kepada 118 pada Ahad.

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS), laporan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) di Singapura menunjukkan asap jerebu bertambah tebal dari kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia.

Katanya, tiupan angin dari arah barat daya telah membawa asap jerebu dari Riau ke kawasan tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

"Peningkatan bacaan IPU pada tahap tidak sihat dan berbahaya masih dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan berikutan musim Monsun Barat Daya yang sedang dialami negara dan dijangka berterusan sehingga September ini," menurut jabatan itu.

Menurut JAS, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkod pada 11 pagi ini mendapati Muar, Johor dan dua kawasan di Melaka iaitu Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai berada pada tahap berbahaya, dengan Muar mencatat IPU 690, manakala Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka, masing-masing dengan bacaan 428 dan 415.

Sebanyak 17 stesen di negara ini mencatat IPU tidak sihat, 30 sederhana dan dua lagi dikategorikan baik.

Stesen yang berada pada tahap tidak sihat ialah:

Selangor: Pelabuhan Klang dengan bacaan 192, Petaling Jaya (125), Banting (115), Shah Alam (112)dan Kuala Selangor (104).

Kuala Lumpur: Cheras (111) dan Batu Muda (108)

Negeri Sembilan: Nilai (106), Seremban (104) dan Port Dickson (184)

Johor: Pasir Gudang (110), Larkin (117) dan Kota Tinggi (124)

Pahang: Indera Mahkota (107) dan Balok Baru (149)

Terengganu: Paka (105) dan Kemaman (153).

Berdasarkan IPU, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengisytiharkan darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang di Johor sehingga ke suatu masa berikutan bacaan IPU melebihi 500.

Menurut JAS, larangan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 yang dikeluarkan Ketua Pengarah Alam Sekitar Rabu lepas di Selangor, Melaka dan Johor masih berkuat kuasa kecuali beberapa aktiviti seperti pembakaran mayat dan pembakaran bagi tujuan keagamaan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel dijadual menemui rakan sejawatannya di Jakarta, Indonesia pada Rabu ini bagi membincangkan bentuk kerjasama dalam usaha menangani masalah jerebu merentas sempadan. -Bernama/mStar