Wednesday, June 6, 2012

DESMA GESA KERAJAAN TUBUH BADAN PANTAU HARGA RUMAH

KUALA LUMPUR 5 Jun - Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desma) menggesa kerajaan menubuhkan satu badan khas untuk mengawal dan memantau harga rumah bagi membendung kenaikan mendadak sejak kebelakangan ini.

Presidennya, Mohd. Fazil Abdullah berkata, badan khas itu akan bertindak menyelia harga rumah yang dibuat oleh syarikat perumahan sebelum ia diumumkan kepada pembeli.

''Wakil-wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan dicadang menganggotai badan itu untuk duduk berbincang terhadap kesesuaian harga rumah.

''Cara ini merupakan jalan terbaik bagi membantu penjawat awam dan pekerja swasta yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah tanpa membebankan mereka,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kesangsian Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Ir. Idris Haron berhubung dakwaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tentang kemampuan kakitangan kerajaan memiliki rumah sendiri.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

KD: Gesaan REHDA ini memerlukan kajian dan perancangan yang teliti, telus serta konsisten dari semua pihak khususnya pihak pelaksana. Setiap pembangunan pastinya mempunyai pro dan kontranya. Yang penting, keselamatan dan kebajikan penghuni terjamin.
RUMAH MAMPU MILIK: BENARKAN PROJEK KEPADATAN TINGGI - REHDA




KUALA LUMPUR 5 Jun - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) meminta kerajaan membenarkan tanah dibangunkan dengan kepadatan tinggi bagi menampung permintaan terhadap rumah yang semakin meningkat.

Pengerusi REHDA Wilayah Persekutuan, NK Tong berkata, ia juga bagi mengatasi masalah kenaikan harga rumah yang semakin ketara berikutan penawarannya yang kurang serta persaingan untuk memiliki rumah terutamanya di kawasan bandar.

"Permintaan yang tinggi terutama terhadap rumah kos rendah berpunca daripada bilangan penduduk di bandar yang sentiasa meningkat saban tahun.

"Justeru, REHDA berharap kerajaan membantu menyelesaikan masalah ini dengan membenarkan mana-mana tanah dimajukan dengan kepadatan tinggi selain akses kepada kemudahan pengangkutan awam," katanya selepas sidang akhbar mengenai Persidangan Antarabangsa Keempat Bandar Raya Mapan Bertaraf Dunia 2012 di sini hari ini.

95 PERATUS MAHU MAHASISWA URUS PILIHAN RAYA KAMPUS


KUALA LUMPUR: Majoriti mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) mahu proses pilihan raya kampus diurus mahasiswa sendiri, kata Pengarah Strategik Pro Mahasiswa UPM (Pro M), Muhammad Azril Alias.

“Berdasarkan kepada 724 orang respondan yang ditemu bual, sebanyak 94.61 peratus ataupun 685 responden bersetuju dengan cadangan bagi membenarkan mahasiswa menguruskan pilihan raya sendiri.

“Hanya 5.39 peratus atau 39 responden menolak,kerana tidak yakin mahasiswa berkemampuan untuk menguruskan pilihan raya,” kata Azril pada satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata,  kebanyakan respondan yang bersetuju dengan idea itu,  menganggap sudah tiba masanya untuk mahasiswa diberi kebebasan menguruskan pemilihan wakil mereka.

Selain itu, katanya, mereka turut mempertikai kredibiliti pengurusan pilihan raya kampus yang dikatakan tidak telus, selain memperkenal pelbagai peraturan kempen yang tidak munasabah.

MYTEKSI DI LEMBAH KLANG

KUALA LUMPUR 5 Jun - Perkhidmatan teksi di Lembah Klang kini dipertingkat menerusi MyTeksi, yang membolehkan pengguna mendapat perkhidmatan itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi telefon pintar.

Aplikasi yang dibangunkan oleh MyTeksi Sdn. Bhd. dengan kerjasama Comfort Communication Sdn. Bhd. (Comfort Taxi) dan syarikat telekomunikasi Maxis itu menggunakan teknologi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang terdapat pada kebanyakan telefon pintar sekarang.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi itu di sini hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, MyTeksi membabitkan 20 syarikat teksi dengan hampir 8,000 pemandu.

"MyTeksi dilihat dapat memulihkan kembali industri itu yang dipandang negatif sebelum ini," katanya.

PENDATANG ASING PUNCA TIBI SUKAR DIKAWAL


Jumlah pendatang asing tanpa izin (Pati) di negara ini dilihat sebagai salah satu faktor mengapa penyakit Tuberkulosis (Tibi) sukar dikawal dan dicegah, kata Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datuk Dr Abdul Razak Muttalif.

Beliau berkata kebanjiran Pati yang tidak melakukan pemeriksaan kesihatan yang diselia oleh Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) menjadi pembawa utama penyakit itu TURUT merebak di kalangan penduduk negara ini.

“Melalui pemerhatian IPR, kami lihat faktor Pati yang tidak melakukan pemeriksaan kesihatan setelah tiba di Malaysia berpotensi menjadi pencetus merebaknya penyakit ini.

“Selain itu, faktor kurangnya kesedaran umum pesakit juga merupakan mengapa penyakit ini yang boleh dirawat menjadi sukar untuk dicegah. Katanya kebanyakan pesakit Tibi tempatan yang tidak dapat dirawat adalah disebabkan mentaliti pesakit yang menganggap bahawa simptom batuk kering adalah batuk biasa.

“Saya hairan dengan pemikiran masyarakat kita terutamanya orang Melayu yang sering menyalah tafsir batuk kering yang dihadapi dengan merujuk dengan ahli perubatan tradisional.

“Mereka (pesakit) lebih cenderung untuk mendapatkan rawatan tradisional walhal simptom batuk kering tesebut berpunca daripada Tibi,” katanya.

Antara simptom Tibi adalah batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu, hilang selera makan, demam, berpeluh waktu makan, susut berat badan dan batuk berdarah.

Dr Abdul Razak turut menegur mentaliti pesakit tibi yang beranggap simptom batuk kering yang dihadapi berpunca daripada ilmu hitam.

Katanya tempoh lama yang diambil untuk merujuk dengan doktor menyebabkan masalah Tibi yang dialami makin merebak ke paru-paru.

Beliau juga memaklumkan pembawa Human Immunodeficiency Virus (HIV) merupakan individu yang 20 kali ganda berisiko untuk terkena jangkitan Tibi.

“Pesakit HIV lebih terancam mendapat Tibi disebabkan sistem pertahanan badan mereka yang tidak kuat,” katanya.

Katanya sebanyak 20,666 kes Tibi telah dilaporkan di Malaysia tahun lepas, manakala tahap pencegahannya masih tidak mencapai 85 peratus seperti yang ditetapkan oleh IPR pada tahun lalu. – BERNAMA



KD: Agak menakutkan apabila penyebaran penyakit serius berlaku tanpa disedari, ditambah pula dengan sikap sambil lewa dan tidak peduli tentang kesihatan. Bak kata pepatah, ‘sudah terhantuk baru terngadah’. Itulah masyarakat kita jika dikaitkan dengan perihal kesihatan. 
AGENSI AWAM PERLU PENUHI HARAPAN RAKYAT


BAGAN DATOH 5 Jun - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu semua agensi 
awam memantapkan perkhidmatan masing-masing bagi memenuhi harapan tinggi segenap lapisan rakyat yang sentiasa memerlukan sistem penyampaian kerajaan yang cekap.

Titah baginda, dalam mendepani harapan rakyat yang semakin bijak membuat penilaian, adalah menjadi cabaran besar kepada seluruh kakitangan awam untuk sentiasa meningkatkan tahap perkhidmatan mereka.