Tuesday, August 28, 2012

RAIS: SAMBUTAN MERDEKA UNTUK SEMUA, BUKAN VIP SAJA

Post Pic
KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim Rais mengajak rakyat dari segala lapisan tanpa mengira fahaman politik untuk bersama memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada 31 Ogos ini.

Katanya, jemputan untuk menyertai sambutan di Dataran Merdeka pada sebelah pagi dan berhimpun di Stadium Nasional Bukit Jalil pada sebelah malam adalah bagi menyatakan penyatuan rakyat.

 "Walau apapun perbezaan politik atau pendapat, Hari Kemerdekaan itu harus kita ambil sebagai pancang kenegaraan kita.

"Mari kita sama-sama tunjukkan kepada dunia bahawa tanpa mengira perbezaan politik, kita bersatu pada hari Merdeka," katanya  kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Celcom Axiata Berhad di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, perayaan sambutan Hari Merdeka pada Jumaat ini sebenarnya terbuka kepada orang ramai dan bukan hanya untuk orang kenamaan dan mereka yang terpilih sahaja.

Semalam, Ketua Setiausaha kementeriannya Datuk Kamaruddin Siaraf berkata, orang ramai boleh menonton sambutan kemerdekaan daripada layar di luar stadium kerana tempat duduk dikhaskan untuk orang kenamaan, anggota parti komponen BN, penjawat awam, pelajar sekolah dan kumpulan khas yang terpilih.

Rais, yang menyalahkan "pemimpin pembangkang tertentu", berkata beliau kesal apabila ada usaha menggagalkan hak rakyat untuk memperingati ulang tahun kemerdekaan ke-55 negara.

Beliau pada sidang akhbar hari ini juga memberitahu, persiapan akhir giat dijalankan di Dataran Merdeka.

Rais juga meminta rakyat Malaysia untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang sehingga Hari Malaysia pada 16 Sept ini. -AntaraPos
TWEET MERDEKA

Apa Itu Tweet Merdeka?

Tweet Merdeka adalah satu program anjuran JASA di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sempena dengan Sambutan Hari Merdeka Ke-55 yang bakal dianjurkan pada 31 Ogos 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Apakah Matlamat Tweet Merdeka?

Tweet Merdeka bertujuan untuk memecahkan rekod dunia dan menempa rekod baru di dalam Malaysia Book of Records berdasarkan kepada 2 kategori yang berikut:

A. Perhimpunan Pengguna Twitter Terbesar di Dunia

B. Jumlah Tweet Terbanyak dalam Tempoh 1 Jam Dengan Menggunakan Hashtag


Apakah Sasaran Tweet Merdeka Untuk Memecahkan Rekod Tersebut?

Untuk melayakkan Tweet Merdeka untuk menempa rekod baru di Malaysia Book of Records, Tweet Merdeka perlu mendapatkan sekurang-kurangnya:

A. 10,000 pengguna Twitter

B. 20,000 tweets dalam masa 1 jam menggunakan hashtag #Merdeka55


Siapa Boleh Sertai?

Sesiapa sahaja yang mempunyai akaun Twitter. Sekiranya anda belum lagi mempunyai akaun Twitter, masih sempat lagi untuk anda mendaftar di Twitter.com


Bagaimana Untuk Sertai?

Untuk kategori A:

1. Daftarkan diri anda di www.twtupmerdeka.blogspot.com

2. Hadir pada hari kejadian dan sahkan pendaftaran anda di kaunter pendaftaran. (Seperti rajah A)


 

3. Pastikan anda menerima tag peserta beserta nombor siri, t-shirt Tweet Merdeka (selagi stok masih ada), topi Tweet Merdeka (selagi stok masih ada) dan lain-lain yang ada di dalam beg goodies.
4. Masuk ke dalam Stadium dan duduk di kawasan yang telah ditetapkan untuk program Tweet Merdeka. (Seperti rajah A)
5. Pengiraan peserta akan dibuat berdasarkan pengesahan yang dibuat di kaunter pendaftaran sehingga jam 8.00 malam.
6. Peserta akan turut serta menulis tweet untuk kategori B.

Nota tambahan: Peserta dinasihatkan hadir sebelum jam 6.00 ptg bagi mengelakkan kesesakan di pendaftaran.

Untuk kategori B:
1. Pada hari kejadian, tepat jam 8.15 malam, kesemua pengguna Twitter tidak kira di stadium ataupun di mana sahaja akan memulakan Tweet Merdeka dengan menulis tweet.
2. Perkara yang perlu ada di dalam tweet anda untuk melayakkan kiraan untuk kategori B adalah #Merdeka55 dan @NajibRazak. cth:   “Bersama kita jayakan #Merdeka55 bersama @NajibRazak”
3. Tweet Merdeka akan berlangsung selama 1 jam sehingga jam 9.15 malam.
4. Pengumuman akan dibuat setelah 1 jam.

Apakah Tarikan Lain Yang Ada Semasa Program Tweet Merdeka?

1. Selebriti tempatan seperti Fizo Omar, Lisa Surihani, Elfira Loy, Mia Sara Nasuha, Remy Ishak, Iqram Dinzly, Kamal Adli, Intan Ladyana, Adi Putra, Scha Al Yahya, Awal Ashaari, Kenchana Devi, Yana Samsudin, Amber Chia, Shaheizy Sam, Johan Asari dan ramai lagi akan turut serta bersama peserta di Stadium dan juga menulis tweet pada hari kejadian.

2. ****Cabutan bertuah yang sangat lumayan seperti Iphone 4s, New Ipad, Macbook, Blackberry Curve, dan banyak lagi termasuk sebuah kereta Proton Preve.

3. Sijil Pencapaian sebagai Penempa Rekod Dunia bagi kategori A.

4. Pada masa yang sama, terdapat juga sambutan hari raya peringkat kebangsaan yang diadakan di perkarangan stadium itu sendiri!

5. PM DS Najib Razak akan memilih 3 tweet bertuah pada hari tersebut untuk diberikan hadiah istimewa. (Mungkin makan malam bersama PM) 

Bagaimana Untuk Mendapatkan Maklumat Terkini?
Pastikan anda follow @TwtUpMerdeka di Twitter dan Like FanPage 55 Merdeka, Janji Ditepati di Facebook.

Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan, bolehlah e-mail kepada twtupmerdeka@gmail.com ataupun terus bertanyakan di twitter ataupun Facebook seperti link di atas.
PERHIMPUNAN JANJI DITEPATI SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-55

KUALA LUMPUR: Hampir 200,000 orang dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memeriahkan Perhimpunan Janji Ditepati sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, Jumaat ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk SeriKamaruddin Siaraf berkata, khalayak adalah daripada agensi dan jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan, badan beruniform,parti komponen Barisan Nasional, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi,komuniti 1Malaysia serta belia pelbagai kaum.

"Kesemua pihak yang terlibat menunjukkan minat yang amat menggalakkan dalam penyertaan 'Perhimpunan Janji Ditepati' berdasarkan kepada penambahan jangkaan kehadiran pada hari itu," katanya kepada pemberita selepas taklimat akhir jawatankuasa khalayak persembahan khas sempena perhimpunan itu, Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sudah memohon untuk mendapatkan perkhidmatan sistem aliran ringan (LRT) secara percuma bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Jalil.

"Kita sedang usahakan sesuatu yang melibatkan pihak awam untuk menggalakkanorang ramai turun beramai-ramai bukan sahaja untuk mengisi ruang di dalam malahdi luar stadium yang dihias bertemakan Merdeka Raya.

"Dan yang paling penting adalah untuk mendengar perutusan sambutan kemerdekaan ke-55 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam itu nanti," katanya.

Persembahan untuk khalayak adalah berunsur patriotik dan bercirikan perpaduan yang dibahagi kepada tiga segmen melibatkan 16,000 peserta.

Antara acara pada malam itu ialah persembahan artis remaja tanah air, senimempertahankan diri, penganugerahan sijil Pencapaian Cemerlang kepada 10 ikon generasi muda, flashmob, cabutan bertuah dan pertunjukan bunga api.

Selain menyampaikan amanat, Perdana Menteri dijangka menyertai Tweet Up Merdeka dan meluangkan masa beramah mesra dengan Gen Y di luar Stadium Nasional.- BERNAMA

KARPAL BOLEH BUAT PAS HILANG UNDI
Tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan cadangan pelaksanaan Hukum Hudud diperjuangkan PAS boleh menjejaskan undi Melayu kepada parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nik Mohamad Abduh, berkata tindakan Karpal itu memberi gambaran kepada orang ramai terutama umat Islam bahawa DAP tidak mesra Islam serta orang Melayu. 

Nik Mohamad, yang juga anak kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, tindakan pemimpin DAP itu yang mempertikaikan keupayaan syariat Islam (Hukum Hudud) untuk menjamin keselamatan dan keadilan rakyat adalah bercanggah dengan pendirian dipersetujui dalam pakatan pembangkang.


Menjejaskan undi


Dari sudut sentimen, kelihatan Karpal Singh, melalui beberapa kenyataan terakhirnya, terlalu yakin DAP tidak memerlukan undi Melayu untuk menang selesa. Sama ada itu satu risiko yang boleh diserap oleh DAP atau tidak, tapi bagi saya hampir pasti boleh menjejaskan undi rakannya dalam Pakatan terutama PAS.


Walaupun berhak atas nama hak bersuara untuk bercakap dan mengkritik, tetapi atas nama hak kesepakatan bersama pakatan juga perlu untuk tidak memanaskan isu yang 'setuju untuk tidak bersetuju', termasuk perihal dasar perjuangan setiap parti.


Sama ada kritikan beliau itu atas premis mempertahan sekularisme negara ataupun jahil mahupun keras pedal atau anti Islam, semua itu mendorong kepada andaian bahawa DAP tidak mesra agama Islam dan undi Melayu, katanya dalam laman sosial facebooknya, di sini, semalam.


Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa mempertahankan pendiriannya bahawa Karpal adalah pemimpin DAP yang anti Islam dan sedia berdepan pemimpin veteran pembangkang di mahkamah.


Menjawab kritikan Nasharuddin, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang, menyifatkan Hukum Hudud sukar untuk dilaksanakan di negara ini terutama dalam menjamin keselamatan dan keadilan rakyat. -BHarian