Monday, January 21, 2013

7 JANJI NAJIB BUKTI BN TIDAK PINGGIR KELANTAN

KOTA BAHRU - Tujuh projek besar yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatan ke Kelantan semalam adalah bukti jelas kerajaan pusat tidak pernah meminggirkan Kelantan.

Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata janji itu yang bakal dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, menunjukkan Perdana Menteri prihatin akan nasib penduduk Kelantan yang masih ketinggalan pada pelbagai aspek pembangunan.

"Ini juga jawapan tepat kepada tohmahan dan juga tuduhan-tuduhan yang kata kita diskriminasikan Kelantan. Ini terbukti bahawa apa yang difitnahkan pembangkang itu tidak benar," katanya kepada Bernama, di sini malam tadi.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata kesemua perkara yang dijanjikan Perdana Menteri itu adalah suatu yang sangat dinantikan masyarakat Kelantan selama ini.

Tujuh projek tersebut merangkumi pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Baharu, pembinaan stadium baharu, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit.

Projek lain ialah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Baharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 pelajar dan projek menyelesaikan masalah air. – Bernama/Sinar Harian

KD: Ke arah negeri Kelantan yang maju..
KALIMAH ALLAH: TIDAK SEPAKAT TANDA PAKATAN RAPUH

KUALA LUMPUR - Kata sepakat yang masih belum dicapai antara Pas dan DAP berkenaan isu kalimah Allah memperlihatkan kerapuhan ikatan dalam Pakatan Rakyat.

Exco Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata ini terbukti apabila keputusan Majlis Syura Pas Ahad lalu memutuskan kalimah ALLAH hanya khusus untuk umat Islam.

Katanya, ini sekali gus bertentangan kesepakatan yang dipersetujui pada 8 Jan dan bercanggah dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang bersetuju kalimah ALLAH diguna oleh bukan Islam.

Sohaimi yang juga Ketua Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan Pemuda Umno berkata, desakan Pengerusi DAP Karpal Singh agar Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang memastikan keputusan Majlis Syura PAS seiring dengan pendirian PR membayangkan pakatan sebagai parti yang 'tidur sebantal tapi
mimpi lain-lain.'

"Pakatan pembangkang merupakan parti yang bergabung lepas pilihan raya umum dan kerjasama yang dibuat semata-mata untuk memerintah sesebuah negeri.

"Setiap mereka ada dasar yang berbeza-beza dan bila buat sesuatu keputusan mereka tidak konsisten. Itu membuktikan betapa berkecamuknya parti-parti ini," katanya pada majlis Jom Lelong untuk Gaza di Kompleks Kraf Malaysia di sini.

Datuk Sohaimi Shahadan Sohaimi berkata keputusan beberapa pimpinan Pas dan PKR yang bersetuju kalimah Allah diguna pakai oleh bukan Islam menunjukkan mereka sangat takut kehilangan undi kaum Cina dan India sehingga sanggup mengorbankan prinsip mempertahan serta memperjuang hak orang Islam.

"Sedangkan sebelum ini Pas merupakan satu parti yang sangat tegas dalam perjuangkan Islam tapi sejak bergabung dengan DAP dan PKR mereka terpaksa mengikut rentak sekutu yang sekular ini," katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu membuka mata dengan memilih Barisan Nasional yang sentiasa konsisten dengan setiap keputusan walaupun dianggotai berbelas-belas parti.

"Rakyat juga perlu fikir, jika isu kalimah ALLAH pun sukar diselesaikan, inikan pula nak mentadbir negara lebih-lebih lagi jika berdepan masalah yang melibatkan kepentingan kaum Melayu dan kaum lain di negara ini," katanya.

Di JASIN, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan sikap gopoh pemimpin Pas dalam membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah ALLAH sebelum ini menyebabkan mereka kini terperangkap dengan persetujuan dibuat bersama pakatan pembangkang pada 8 Janauri lepas.

Sebaliknya, kata beliau, pemimpin Pas perlu merujuk kepada al-Quran dan hadis dan mencapai kata sepakat dalam mesyuarat Majlis Syura Pas sebelum menyatakan pendirian mereka berhubung isu itu.

"Majlis Syura Pas telah sebut dengan jelas dan memutuskan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu dan perkara ini tidak boleh dipermainkan kerana ia melibatkan agama dan akidah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Ponggal di Dataran Jasin di sini hari ini.

Katanya, isu itu seharusnya ditangani dengan bijak dan tidak terus dipolitikkan kerana akan menggugat kestabilan dan keamanan di negara ini.

Isu kalimah ALLAH dibangkit semula Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa berucap sempena sambutan Krismas lepas, menggesa kerajaan persekutuan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu. – Bernama/Sinar Harian
ISU EDAR BIBLE: ORANG RAMAI PERLU TAMPIL DENGAN BUKTI

GEORGETOWN - Orang ramai atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai bukti serta maklumat mengenai pengedaran Bible di negeri ini perlu tampil membuat laporan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaannya, Khairul Azman Azizan berkata, mereka masih tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak atau individu.

“Kita minta pihak yang ada maklumat sama ada pernah terserempak dengan kegiatan yang didakwa mengedarkan Bible kepada pelajar Melayu di hadapan sekolah menyerahkan kepada JHEAIPP.

“Bagaimanapun, kita akan siasat sama ada perkara itu benar berlaku atau tidak. Setakat ini, kita hanya tahu menerusi laporan akhbar,” katanya.

Menurutnya, kes ini akan disiasat di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1996 (mengembang doktrin agama lain di kalangan orang Islam).

“Kita dalam proses memanggil beberapa individu termasuk media untuk mengambil keterangan dan  Persatuan Mukabuku Pulau Pinang yang mendedahkan isu ini.

“Sesiapa yang ada maklumat, boleh hubungi JHEAIPP menerusi talian 013-419300 atau 019-4256917,” katanya.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaannya, Khairul Azman AzizanSementara itu, Exco Agama Islam Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, setakat ini beliau juga tidak menerima sebarang laporan untuk diambil tindakan.

Menurutnya, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan hanya menerusi laporan media tanpa menerima laporan.

“Sehingga kini, saya masih belum menerima sebarang laporan. Kita tidak boleh ambil tindakan semata-mata merujuk kepada laporan di media. Sebaiknya, individu atau pihak yang nampak atau terima Bible seperti yang didakwa, tampil dan buat laporan.

“Sekiranya selepas ini JHEAIPP ada terima laporan dengan bukti sahih, kita akan bertindak mengikut undang-undang bagi membendungnya,” katanya.

Abdul Malik turut memuji tindakan individu membuat laporan polis setelah melihat dua lelaki berkelakuan mencurigakan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong  mengedar buku kecil kepada pelajar dua hari lalu.

“Mereka bijak kerana melaporkannya kepada polis. Kita harap, polis dapat menyiasat kes ini. Kita tidak boleh jalankan siasatan kerana masih belum terima laporan.

“Sekiranya ada pihak yang ada maklumat, segera ke bahagian penguatkuasaan  JHEAIPP untuk buat laporan berserta bukti kukuh,” katanya. – Sinar Harian
KALIMAH ALLAH: MAHFUZ MAHU KOMPONEN BN JELAS PENDIRIAN

SHAH ALAM – Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mendesak parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya menyatakan pendirian masing-masing berhubung permintaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tentang penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Bahasa Melayu sebelum mendakwa keputusan Majlis Syura Pas sebagai ‘helah politik’.

mahfuz omar"Sehingga sekarang, tiada satu keputusan rasmi daripada kerajaan terhadap permintaan Lim Guan Eng.

"Parti-parti seperti PBS, PDRS, MCA, Gerakan, semua ini kena nyatakan pendirian mereka kerana mereka ini mewakili bukan Islam.

"Bila mereka nyatakan pendirian, kita nak tahu apa pendirian Umno pula,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ketika dihubungi Sinar Harian Online sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, yang menuduh keputusan Majlis Syura berhubung isu itu sebagai helah politik.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib ketika dihubungi menyifatkan tuduhan yang dilemparkan Abdullah terhadap majlis itu sudah diduga.

“Saya sudah buat telahan apa yang ada dalam benak mindanya (Pak Lah),” katanya secara ringkas.

Abdullah menyifatkan keputusan Majlis Syura Pas berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu sebagai helah politik.

Dalam kenyataan itu, Abdullah menuduh Pas terpaksa mengikut telunjuk PKR dan DAP semata-mata demi menjaga keharmonian Pakatan Rakyat dan khuatir jika Pas terus bertegas dengan pendirian Majlis Syura dikhuatiri akan kehilangan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).. – Sinar Harian
AKIDAH DAN PRINSIP ISLAM TIDAK BOLEH DIPOLITIKKAN

Najib Tun RazakKOTA BHARU - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata soal akidah dan prinsip agama Islam tidak boleh dikompromi dan dipolitikkan.
  
Beliau berkata umat Islam di negara ini perlu menolak dan tidak memberi sokongan langsung kepada sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba memesong akidah atau mengelirukan fahaman mereka.
  
"Bila Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) buat sesuatu, buat apa sokong. Ini boleh buat umat Islam sakit hati.
  
"Ini soal agama, soal akidah, ini soal prinsip yang tidak boleh dikompromi. Ini bukan soal politik," katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Janji Ditepati di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjung di sini hari ini.
  
Beliau membidas sikap PAS yang menyokong tindakan DAP dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu.
  
Najib menjelaskan umat Islam langsung tidak mahu menyakiti orang bukan Islam begitu juga sebaliknya dan situasi inilah yang menjamin keamanan dan keharmonian negara. – Sinar Harian