Monday, January 21, 2013

ISU EDAR BIBLE: ORANG RAMAI PERLU TAMPIL DENGAN BUKTI

GEORGETOWN - Orang ramai atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai bukti serta maklumat mengenai pengedaran Bible di negeri ini perlu tampil membuat laporan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaannya, Khairul Azman Azizan berkata, mereka masih tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak atau individu.

“Kita minta pihak yang ada maklumat sama ada pernah terserempak dengan kegiatan yang didakwa mengedarkan Bible kepada pelajar Melayu di hadapan sekolah menyerahkan kepada JHEAIPP.

“Bagaimanapun, kita akan siasat sama ada perkara itu benar berlaku atau tidak. Setakat ini, kita hanya tahu menerusi laporan akhbar,” katanya.

Menurutnya, kes ini akan disiasat di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1996 (mengembang doktrin agama lain di kalangan orang Islam).

“Kita dalam proses memanggil beberapa individu termasuk media untuk mengambil keterangan dan  Persatuan Mukabuku Pulau Pinang yang mendedahkan isu ini.

“Sesiapa yang ada maklumat, boleh hubungi JHEAIPP menerusi talian 013-419300 atau 019-4256917,” katanya.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaannya, Khairul Azman AzizanSementara itu, Exco Agama Islam Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, setakat ini beliau juga tidak menerima sebarang laporan untuk diambil tindakan.

Menurutnya, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan hanya menerusi laporan media tanpa menerima laporan.

“Sehingga kini, saya masih belum menerima sebarang laporan. Kita tidak boleh ambil tindakan semata-mata merujuk kepada laporan di media. Sebaiknya, individu atau pihak yang nampak atau terima Bible seperti yang didakwa, tampil dan buat laporan.

“Sekiranya selepas ini JHEAIPP ada terima laporan dengan bukti sahih, kita akan bertindak mengikut undang-undang bagi membendungnya,” katanya.

Abdul Malik turut memuji tindakan individu membuat laporan polis setelah melihat dua lelaki berkelakuan mencurigakan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong  mengedar buku kecil kepada pelajar dua hari lalu.

“Mereka bijak kerana melaporkannya kepada polis. Kita harap, polis dapat menyiasat kes ini. Kita tidak boleh jalankan siasatan kerana masih belum terima laporan.

“Sekiranya ada pihak yang ada maklumat, segera ke bahagian penguatkuasaan  JHEAIPP untuk buat laporan berserta bukti kukuh,” katanya. – Sinar Harian

No comments:

Post a Comment