Monday, January 21, 2013

KALIMAH ALLAH: MAHFUZ MAHU KOMPONEN BN JELAS PENDIRIAN

SHAH ALAM – Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mendesak parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya menyatakan pendirian masing-masing berhubung permintaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tentang penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Bahasa Melayu sebelum mendakwa keputusan Majlis Syura Pas sebagai ‘helah politik’.

mahfuz omar"Sehingga sekarang, tiada satu keputusan rasmi daripada kerajaan terhadap permintaan Lim Guan Eng.

"Parti-parti seperti PBS, PDRS, MCA, Gerakan, semua ini kena nyatakan pendirian mereka kerana mereka ini mewakili bukan Islam.

"Bila mereka nyatakan pendirian, kita nak tahu apa pendirian Umno pula,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ketika dihubungi Sinar Harian Online sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, yang menuduh keputusan Majlis Syura berhubung isu itu sebagai helah politik.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib ketika dihubungi menyifatkan tuduhan yang dilemparkan Abdullah terhadap majlis itu sudah diduga.

“Saya sudah buat telahan apa yang ada dalam benak mindanya (Pak Lah),” katanya secara ringkas.

Abdullah menyifatkan keputusan Majlis Syura Pas berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu sebagai helah politik.

Dalam kenyataan itu, Abdullah menuduh Pas terpaksa mengikut telunjuk PKR dan DAP semata-mata demi menjaga keharmonian Pakatan Rakyat dan khuatir jika Pas terus bertegas dengan pendirian Majlis Syura dikhuatiri akan kehilangan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).. – Sinar Harian

No comments:

Post a Comment