Monday, January 21, 2013

KALIMAH ALLAH: TIDAK SEPAKAT TANDA PAKATAN RAPUH

KUALA LUMPUR - Kata sepakat yang masih belum dicapai antara Pas dan DAP berkenaan isu kalimah Allah memperlihatkan kerapuhan ikatan dalam Pakatan Rakyat.

Exco Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata ini terbukti apabila keputusan Majlis Syura Pas Ahad lalu memutuskan kalimah ALLAH hanya khusus untuk umat Islam.

Katanya, ini sekali gus bertentangan kesepakatan yang dipersetujui pada 8 Jan dan bercanggah dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang bersetuju kalimah ALLAH diguna oleh bukan Islam.

Sohaimi yang juga Ketua Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan Pemuda Umno berkata, desakan Pengerusi DAP Karpal Singh agar Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang memastikan keputusan Majlis Syura PAS seiring dengan pendirian PR membayangkan pakatan sebagai parti yang 'tidur sebantal tapi
mimpi lain-lain.'

"Pakatan pembangkang merupakan parti yang bergabung lepas pilihan raya umum dan kerjasama yang dibuat semata-mata untuk memerintah sesebuah negeri.

"Setiap mereka ada dasar yang berbeza-beza dan bila buat sesuatu keputusan mereka tidak konsisten. Itu membuktikan betapa berkecamuknya parti-parti ini," katanya pada majlis Jom Lelong untuk Gaza di Kompleks Kraf Malaysia di sini.

Datuk Sohaimi Shahadan Sohaimi berkata keputusan beberapa pimpinan Pas dan PKR yang bersetuju kalimah Allah diguna pakai oleh bukan Islam menunjukkan mereka sangat takut kehilangan undi kaum Cina dan India sehingga sanggup mengorbankan prinsip mempertahan serta memperjuang hak orang Islam.

"Sedangkan sebelum ini Pas merupakan satu parti yang sangat tegas dalam perjuangkan Islam tapi sejak bergabung dengan DAP dan PKR mereka terpaksa mengikut rentak sekutu yang sekular ini," katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu membuka mata dengan memilih Barisan Nasional yang sentiasa konsisten dengan setiap keputusan walaupun dianggotai berbelas-belas parti.

"Rakyat juga perlu fikir, jika isu kalimah ALLAH pun sukar diselesaikan, inikan pula nak mentadbir negara lebih-lebih lagi jika berdepan masalah yang melibatkan kepentingan kaum Melayu dan kaum lain di negara ini," katanya.

Di JASIN, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan sikap gopoh pemimpin Pas dalam membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah ALLAH sebelum ini menyebabkan mereka kini terperangkap dengan persetujuan dibuat bersama pakatan pembangkang pada 8 Janauri lepas.

Sebaliknya, kata beliau, pemimpin Pas perlu merujuk kepada al-Quran dan hadis dan mencapai kata sepakat dalam mesyuarat Majlis Syura Pas sebelum menyatakan pendirian mereka berhubung isu itu.

"Majlis Syura Pas telah sebut dengan jelas dan memutuskan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu dan perkara ini tidak boleh dipermainkan kerana ia melibatkan agama dan akidah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Ponggal di Dataran Jasin di sini hari ini.

Katanya, isu itu seharusnya ditangani dengan bijak dan tidak terus dipolitikkan kerana akan menggugat kestabilan dan keamanan di negara ini.

Isu kalimah ALLAH dibangkit semula Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa berucap sempena sambutan Krismas lepas, menggesa kerajaan persekutuan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu. – Bernama/Sinar Harian

No comments:

Post a Comment