Monday, February 4, 2013


NIK AZIZ ANGGAP ISU KALIMAH ALLAH ‘CERITA LAMA’

BACHOK: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mahu pihak tertentu tidak lagi membangkitkan isu kalimah Allah kerana dianggap sebagai ‘cerita lama’ dan tidak perlu dibincangkan lagi.

Beliau menegaskan isu itu tidak perlu terus diperbesarkan kerana Majlis Syura Ulama PAS sudah membuat keputusan muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah sebelum ini.

“Tidak mahu yang sama saja (isu kalimah Allah), habis cerita lama. Apa tujuan dibesar-besarkan? Sudah diputuskan (keputusan Majlis Syura), sudahlah,” katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Jambatan Pengkalan Cina di sini, semalam.- HMetro
GANGNAM TARIK PELANCONG KE P. PINANG - GUAN ENG

GEORGE TOWN, 4 Feb - Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional (BN) minggu depan di Pulau Pinang, yang akan menampilkan bintang “Oppa Gangnam Style” Psy, akan menarik pelancong daripada Thailand dan negeri lain, kata ketua menteri Pulau Pinang.

“Dia pasti akan menarik banyak pelancong dari Thailand dan negeri lain, Pulau Pinang akan jadi terkenal,” kata Lim Guan Eng.

Add caption
Beliau menambah dengan mengatakan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini di negeri tersebut akan menjadi lebih meriah dengan persembahan Psy.

“Kali pertama Psy datang ke Malaysia dan dia datang ke Pulau Pinang, jadi sekali lagi Pulau Pinang mendahului,” kata beliau.

Lim sekali lagi mengulangi pendirian mengalu-alukan rakyat Pulau Pinang untuk menghadiri sambutan tersebut tetapi dengan memakai pakaian warna kuning melambangkan Bersih, merah untuk Pulau Pinang dan hijau untuk alam sekitar.

“Semua orang patut menghadiiri sambutan tersebut memandangkan terdapat makanan percuma dan persembahan percuma untuk semua orag,” tambah beliau lagi.

Sambutan anjuran BN tersebut dijangkakan menarik hampir 60 ribu penonton.

Penyanyi sensasi berasal dari Korea Selatan yang nama sebenar Park Jae-Sang bakal membuat persembahan pada 11 Februari ini di padang sekolah Han Chiang, lokasi yang menjadi simbolik kepada kemenangan DAP pada Pilihan Raya 2008 lalu.

Padang sekolah Han Chiang adalah tempat perhimpunan terbesar DAP dan sekutunya semasa kempen Pilihan Raya 2008 dan dilihat sebagai tanah keramat tetapi sumber BN mengatakan telah berlaku “angin perubahan untuk pengundi Cina” sejak dua tahun lalu.

Sambutan Tahun Baru BN Pulau Pinang dilihat sebagai dorongan utama untuk undi menjelang Pilihan Raya 2013. –Malaysian Insider
PAS MENGGUNAKAN KALIMAH ‘ALLAH’ SEBAGAI UMPAN DAPATKAN UNDI - DR M

KUALA LUMPUR, 3 Feb — PAS mempolitikkan agama dan menggunakan kalimah “Allah” sebagai umpan mendapatkan undi dalam  pilihan raya tahun ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini  serta memberi amaran ketegangan antara agama walaupun penganut Islam di Malaysia majoritinya bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mantan perdana menteri itu berkata, tidak seperti penganut Islam lain di dunia yang terpecah kepada dua mahzab, umat Islam di Malaysia hanya mengikut doktrin Sunni, pada masa sama menekankan terdapat parti-parti politik tertentu mengeksploitasi agama demi kepentingan sekular.

“Kalimah ‘Allah’ sudah digunakan untuk pancing undi,” tulis Dr Mahathir dalam kolum di akhbar Mingguan Malaysia.

“Kerana ingin dapat undi pihak tertentu dalam pilihan raya, dinyatakan kalimah Allah boleh digunakan oleh siapa sahaja.

“Kemudian apabila takut tak dapat undi pihak yang lain, dengan mudah dinyatakan kalimah Allah tidak boleh diguna selain dalam agama Islam. Bila ditanya kenapa dahulu kata boleh, jawabnya itu karut. Mursyidul Am Pas mengaku ia mengarut,” kata beliau lagi.

Serangan Dr Mahathir tersebut dilihat terarah kepada pemimpin PAS Pusat, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang merupakan Mursyidul Am parti  Islam tersebut, yang mana beliau menuduh menteri besar Kelantan itu pada awal artikelnya sebagai seorang yang sekular daripada mementingkan hal agama.–Malaysian Insider
NAJIB ADALAH PEMIMPIN YANG BOLEH MEMBAWA MALAYSIA KE ERA KECEMERLANGAN - DOMPOK

KOTA KINABALU— Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan arkitek gagasan 1Malaysia, adalah pemimpin yang boleh membawa negara ini ke arah masa depan yang lebih baik, kata Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok.

Oleh itu, beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, mengajak rakyat memberikan mandat yang besar kepada Najib pada pilihan raya umum akan datang, sekali gus memastikan kesinambungan agenda pembangunan negara.

“Selama bekerja dengan tiga Perdana Menteri, saya lihat Najib, sebagai Perdana Menteri, sentiasa inginkan pembaharuan, dan Najib adalah pemimpin yang dapat membawa kita ke arah yang lebih baik,” katanya.

Antara pembaharuan yang dilakukan Najib ialah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, pindaan terhadap Akta Polis, rayuan terhadap Akta Buang Daerah 1959, dan Akta Kediaman Terhad 1933, pemansuhan tiga Deklarasi Darurat, dan pembentangan Rang undang-undang Ikatan Relawan Malaysia (RELA) 2012 yang menghadkan kuasa mereka terhadap penggunaan senjata api dan kuasa untuk menahan.

Dompok turut menghargai inisiatif para guru, lembaga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) KK High School yang melukis 15,000 logo 1Malaysia yang diharap mendapat pengiktirafan dalam The Malaysian Book of Records.

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau menyambut baik jaminan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kebajikan sekolah-sekolah mubaligh di negara ini tidak akan diabaikan dan dikekalkan dalam sistem pendidikan nasional.

Sementara itu, mengenai permohonan sekolah-sekolah mubaligh agar diberikan “bantuan khas kewangan” daripada kerajaan, Dompok berkata dalam pertemuannya dengan Muhyiddin bersama sekumpulan wakil sekolah mubaligh baru-baru ini, mereka dimaklumkan bahawa isu itu akan diambil perhatian, dan kini dalam pertimbangan Kementerian Pelajaran. — Bernama/Malaysian Insider
PRU13: PAS BERPANTANG 90 HARI

SERI KEMBANGAN: PAS berada dalam tempoh berpantang selama 90 hari sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kata Naib Presidennya,  Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, dalam tempoh berpantang ini, PAS tidak boleh melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat untuk memilih PAS pada PRU13.

"Kalau orang perempuan berpantang selepas bersalin, kita berpantang sebelum bersalin. Kandungan kita ialah harapan perubahan rakyat Malaysia.

"Jadi sewaktu berpantang ini, kita tidak boleh melakukan satu pun kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan di Konvensyen Mara Bersama Keberkatan Menuju Putrajaya di sebuah hotel dekat sini hari ini.

Husam juga berkata, PAS tidak boleh mengabaikan pengundi-pengundi yang sangat penting untuk membantu kemenangan parti.

Undi yang dimaksudkan ialah undi tentera dan peneroka Felda  yang sebelum ini berpihak kepada BN.

"Kali ini kita mensasarkan 45 peratus undi tentera. Kita tak boleh abaikan undi tentera.

"Begitu juga undi Felda. Sebab itu kita memberikan fokus khas kepada Felda dengan program-program yang diatur," katanya di hadapan kira-kira 1,000 jentera dari setiap negeri yang hadir.

Jentera yang hadir merupakan wakil dari 60 Parlimen yang disasarkan bertanding pada PRU13.

Tambah Husam juga, ahli khususnya jentera harus mendekati pengundi dengan komunikasi yang paling baik selain menjaga hubungan dengan Allah.

"Dalam tempoh ini kita mesti berhubung dengan manusia lain dengan komunikasi paling baik.

"Hubungan kita dengan Allah juga harus diperbaiki dengan memperbanyak doa dan munajat kepada Allah," katanya. -Harakahdaily