Tuesday, July 30, 2013

SELESAIKAN SEGERA KRISIS DIESEL -PAS

SHAH ALAM - Pemuda Pas mendesak kerajaan supaya menyelesaikan segera krisis kekurangan bekalan minyak diesel yang berlaku di beberapa buah negeri di Malaysia segera.

Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna jalan raya yang mengatakan bahawa bekalan minyak diesel sering kehabisan di stesyen-stesyen minyak.

“Keadaan ini sudah berlarutan beberapa hari lamanya.

 “Ianya, telah menimbulkan kekalutan bagi pengguna jalan raya, khususnya pemandu-pemandu lori, kerajaan perlu ambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambahnya lagi, krisis bekalan ini bukan hanya berlaku di Semenanjung Malaysia, malah turut berlaku di Sabah dan Sarawak.

“Jika ini berlarutan, ia boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara namun apa yang dibimbangkan adalah harga-harga barang terutama makanan akan meningkat mendadak atas faktor tersebut,” katanya.

Menyentuh hal yang sama, Raja Ahmad turut menegaskan, apa yang diketahui krisis diesel tidak meruncing di peringkat antarabangsa.

Justeru tambahnya, sepatutnya ia tidak menjadi suatu masalah kepada negara untuk membekalkannya mengikut keperluan pasaran semasa. jadi timbul persoalan adakah harga diesel akan dinaikkan.

“Apakah krisis ini dicipta dengan usaha terancang bagi memberi laluan agar harga diesel dinaikkan terutama di musim-musim perayaan seperti ini?kerana pasaran antarabangsa tidak menghadapi masalah.

“Mungkinkah harga diesel akan dinaikkan dalam masa terdekat?" katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjelaskan berhubung isu ini.

“Kerajaan perlu proaktif dengan melihat senario yang berlaku dan sebelum krisis ini menjadi parah, seharusnya kerajaan bertindak cepat bagi menyelesaikannya," ujarnya. –Sinar Online

KRISIS BEKALAN DIESEL: LEWAT HANTAR PUNCA GANGGUAN DIESEL

IPOH – Kelewatan penghantaran diesel kepada stesen oleh syarikat minyak dikesan antara faktor utama berlakunya kekurangan bekalan bahan bakar itu di negeri ini.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK)Perak, Mohd Hilmi Mohd Noor berkata, perkara itu dikesan berlaku sejak seminggu lalu, situasi sama seperti itu dialami beberapa negeri lain.

Menurutnya, PPDNKK telah pun meluluskan kuota diesel seperti yang ditetapkan kementerian.

“Cuma penghantaran ke stesen minyak yang mengambil masa, bagaimanapun kita sudah mendesak syarikat minyak agar menyelesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehingga jam 3 petang, semalam sebanyak 17 stesen minyak di seluruh negeri ini dilaporkan mengalami kehabisan bekalan minyak diesel.

Daripada jumlah itu, tiga di Parit Buntar; Taiping (4); Kuala kangsar (3); Ipoh (3); Tapah (1); masing-masing satu di Teluk Intan dan Bagan Datoh.

Ia membabitkan stesen minyak Chevron; Shell; Petronas; BHP; Petron dan stesen minyak Petro teguh di Bagan Datoh.–Utusan Online


KERAJAAN DIMINTA SEGERA SELESAI KRISIS BEKALAN DIESEL

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan digesa menyelesaikan segera krisis kekurangan bekalan diesel di seluruh negara yang berlarutan sejak tiga bulan lalu.

Seorang pemandu bas persiaran, Norhafiz Khan Abu Bakar, 29, berkata, situasi menjadi lebih teruk apabila bekalan diesel sejak akhir-akhir ini bukan sahaja berkurangan, malah kehabisan stok di hampir setiap stesen minyak yang dikunjunginya.

Katanya, masalah itu jika tidak diatasi segera akan menyebabkan industri berkaitan mengalami kerugian, sekali gus ekonomi negara lumpuh.

"Jumaat lalu semasa saya berada di Kluang, Johor, ketujuh-tujuh stesen minyak yang saya pergi memberitahu bekalan diesel telah habis. Di tempat-tempat lain juga begitu.

"Masalah ini akan menyebabkan operasi syarikat perkhidmatan bas persiaran seperti kami lumpuh dan pendapatan terjejas," katanya ketika ditemui dalam tinjauan Utusan Malaysia tentang masalah itu di sebuah stesen minyak di sini hari ini.

Seorang kontraktor, Tan Yoon Chong, 45, berkata, kenderaan pacuan empat roda yang digunakannya seharian untuk melakukan kerja-kerja pembinaan tidak dapat bergerak selama tiga hari, gara-gara kehabisan diesel.

Katanya, mujur stesen minyak terakhir yang dikunjunginya di sini masih mempunyai bekalan diesel kerana sebelum itu, di lima buah stesen, situasinya sama iaitu kehabisan stok.

"Kerajaan tolong pantau situasi ini. Kalau boleh beri lebih banyak kuota diesel kepada stesen minyak supaya pengguna tidak mengalami masalah. Mungkin juga ada berlaku penyelewengan, jadi kerajaan perlu siasat," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemandu bas persiaran, Shahrul Azwan, 56, berkata, bekalan diesel bukan sahaja sukar didapati, malah terdapat sesetengah stesen minyak meletakkan had bagi penjualan bahan api itu.

"Kami terpaksa membuang masa pergi ke beberapa stesen minyak untuk mendapatkan bekalan diesel secukupnya kerana rata-ratanya mengehadkan penjualan antara RM50 dan RM100 sahaja.

"Dalam situasi sekarang yang mana bekalan diesel tidak mencukupi, kami terpaksa membazirkan baki diesel yang ada pula untuk mencari stesen minyak lain bagi mendapatkan bekalan tersebut," katanya. –Utusan Online