Tuesday, July 30, 2013

KRISIS BEKALAN DIESEL: SINDIKET BELI MINYAK DIESEL BERULANG KALI

HULU KELANG -  Terdapat sindiket atau pihak yang sama membeli diesel secara berulang kali di stesen minyak sekitar Lembah Klang.

Pekerja Stesen Minyak Petronas Ulu Kelang 2 yang dikenali sebagai Kamalia berkata, ada sebuah syarikat yang sama mengisi minyak berulang kali dengan nombor pendaftaran lori yang berbeza-beza sebelum ini.

Menurutnya, pada mulanya, pihaknya tidak sedar dengan aktiviti tersebut sehinggalah menyedari terdapat lori dari syarikat sama mengisi minyak diesel sehingga tiga kali sehari.

“Sejak itu, syarikat saya hanya membenarkan syarikat tersebut mengisi minyak diesel sebanyak sekali sehari,” katanya.

Kamalia berkata, pihaknya juga pernah mengekori lori syarikat terbabit dan mendapati mereka akan mengisi minyak diesel di stesen minyak yang lain pula.

Berhubung kekurangan bekalan minyak diesel sekarang, syarikatnya hanya membenarkan pelanggan mengisi minyak dengan pembelian sebanyak RM50 sahaja kecuali di atas sebab-sebab tertentu.

Katanya, syarikatnya juga seperti stesen minyak yang lain turut kehabisan bekalan minyak pada tiga hari yang lalu tetapi telah pulih mendapat bekalan namun terpaksa mengawal penjualannya.–Sinar Harian

No comments:

Post a Comment