Friday, April 19, 2013

PRU13: AZIZAN AKUI LALUAN PAS SUKAR

ALOR SETAR 18 April - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengakui pakatan pembangkang berdepan laluan mencabar bagi mengekalkan kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pesuruhjaya Pas Kedah itu berkata, beliau percaya pilihan raya kali ini bakal menyaksikan persaingan sengit berdasarkan senarai calon yang diumumkan Barisan Nasional (BN) kelmarin.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, pakatan pembangkang mempunyai strategi berdepan BN yang membariskan gandingan muka lama dan baharu sebagai calon.

"Kita ada strategi dan tahu bagaimana untuk serang mereka, sebelum ini kita tidak tahu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman calon pakatan pembangkang Kedah di Kompleks Pas Kota Sarang Semut di sini malam semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali.

Dalam pada itu, Azizan memberitahu, Pas membariskan muka baharu di 10 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) iaitu Bukit Pinang, Alor Mengkudu, Guar Chempedak, Tanjung Dawai, Belantek, Jeneri, Bandar Baharu, Bayu, Kuala Nerang dan Sungai Tiang.

Bagi kawasan Parlimen pula, tambah beliau, muka-muka baharu melibatkan Kubang Pasu, Baling dan Pendang.

Katanya, Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh akan berpindah daripada kerusi DUN Alor Mengkudu ke Parlimen Jerlun manakala Exco kerajaan negeri daripada Pas, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib yang juga penyandang kerusi DUN Tanjong Dawai digugurkan.

Tambahnya, senarai calon Pas Kedah itu juga menyaksikan penyandang yang kekal bertanding ialah di kerusi Ayer Hitam, Anak Bukit, Kubang Rotan, Pengkalan Kundur, Tokai, Bukit Lada, Sungai Limau, Pantai Merdeka, Merbau Pulas, Kuala Ketil dan Kupang.

"Penyandang kerusi Parlimen yang kekal ialah Sik, Padang Terap, Pokok Sena dan Jerai.

"Dua penyandang kerusi Parlimen yang digugurkan ialah bekas wakil rakyat Baling, Datuk Taib Azamuddin Md. Taib kerana masalah kesihatan dan Dr. Mohd. Hayati Othman bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Pas di Pendang," katanya. - UTUSAN ONLINE
PRU13: KEMPEN PKR ADA KAITAN DENGAN ARAB SPRING?

KUALA LUMPUR - Pihak keselamatan diminta menyiasat pelancaran kempen Malaysian Spring yang dilancarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana didakwa mempunyai kaitan dengan rusuhan jalanan ala Arab Spring.

Bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda PKR, Nordin Ahmad mendakwa, tindakan pemasangan bendera kuning di bulatan Lucky Garden, Bangsar yang dikatakan simbolik kepada pelancaran kempen itu.

Ia dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan pertubuhan tidak berdaftar Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bagi menyuntik semangat benci, biadab dan melawan kerajaan dalam kalangan rakyat.

Ujarnya, pemasangan bendera itu sebagai langkah awal pakatan pembangkang yang disokong kuat Bersih, untuk mencetuskan kemarahan rakyat sebelum menggalakkan mereka mengadakan demonstrasi kononnya untuk menuntut pilihan raya adil, bersih dan telus.

"Berani saya katakan, mereka (PKR) sudah mengetahui keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak akan memihak kepada mereka. Jadi sebagai langkah awal parti itu harus bertindak melancarkan Malaysian Spring yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan Arab Spring.

"Persoalannya, apakah motif mereka melancarkan Malaysian Spring yang dikatakan kempen pilihan raya dengan kos paling minimum dan mengapa bendera kuning sebagai warna utama kempen itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, akhbar ini menyiarkan gambar misteri bendera kuning dipasang di bulatan Lucky Garden, Bangsar yang langsung tiada kaitan dengan bendera parti-parti bertanding.

Sementara itu, portal berita milik PKR, KeadilanDaily melaporkan, pemasangan bendera terbabit adalah sempena pelancaran kempen Malaysian Spring oleh calon PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Menurut laporan itu, setakat ini sebanyak 18,400 bendera kecil telah dipasang dan dijangka meningkat kepada 200,000 menjelang PRU-13.

Nordin meminta pihak berkuasa tidak memandang remeh tindakan yang bakal dilakukan pembangkang jika mereka kalah.

"Seperti yang telah saya bongkar dalam Utusan Malaysia baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merancang mengadakan demonstrasi jalanan ala Arab Spring ini sejak beliau dipenjarakan pada 1999.

"Sekarang dia bergerak bebas, tidak mustahil satu lagi insiden Arab Spring akan berlaku di negara ini sekiranya tindakan awal tidak diambil bagi mengatasi perkara ini," tegasnya. - UTUSAN ONLINE
PRU13: DAP TERDESAK GUNA LAMBANG PAS

SEREMBAN - Selepas menolak hudud dan negara Islam akhirnya DAP terpaksa meraih simpati daripada parti yang diherdiknya, Pas untuk menggunakan logo parti sekutunya itu bagi bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Tindakan terdesak itu terpaksa dilakukan calon DAP berikutan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mengiktiraf ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP yang dilantik pada pemilihan parti berkenaan pada 15 Disember tahun lalu.

Malah perkara ini turut diumumkan Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook pada majlis pengumuman senarai calon DAP negeri yang bakal bertanding pada PRU-13 meliputi 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua di kawasan Parlimen.

"Kita memang ada krisis kerana ROS tidak iktiraf CEC yang kita bentuk tempoh hari. Maka kita bimbang kalau ia tidak diiktiraf dan pada hari penamaan calon, kita takut Barisan Nasional boleh menang percuma.

"Tetapi jangan risau kalau tidak boleh pakai roket (DAP), kita akan bertanding pakai logo bulan (Pas),'" katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini malam tadi.

Jelasnya lagi, apapun perkara itu akan diteliti terlebih dahulu dan perlu mendapat kepastian daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). - UTUSAN ONLINE
PRU13: PAS, PKR DAN DAP PARTI ANAK BERANAK

KOTA BHARU - Pas kini sudah sebaris dengan sekutu mereka, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP iaitu parti 'anak-beranak' yang mengamalkan dasar kronisme dan nepotisme terutamanya dalam soal pemilihan calon pilihan raya.

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh mendakwa, perkara ini terbukti dengan keputusan Pas Kelantan yang mencalonkan anak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Beliau mendakwa, semua orang tahu Nik Abdul Aziz sudah lanjut usia dan entah berapa lama lagi akan mampu bertahan, justeru itu, beliau awal-awal lagi mempertaruhkan anaknya demi memastikan ada keturunan mereka kekal dalam jawatan politik.

Katanya, budaya kronisme dan nepotisme yang mula diamalkan Pas itu membuktikan mereka kini sudah tidak ada beza lagi dengan PKR dan DAP yang sedia maklum sudah sekian lama mengamalkannya.

"Kalau kita lihat DAP, Penasihat DAP, Lim Kit Siang merupakan ahli parlimen, anaknya, Lim Guan Eng bukan sahaja menjadi Ketua Menteri malah turut memegang jawatan penting di dalam parti. Tidak cukup dengan itu, menantu Kit Siang yang juga merupakan isteri Guan Eng juga menjadi wakil rakyat. Pengerusi DAP, Karpal Singh juga turut mempertaruhkan anaknya yang menjadi wakil rakyat.

"PKR pula, penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli parlimen, anaknya Nurul Izzah juga ahli parlimen manakala Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail terus kekal menjadi presiden parti. Ini parti anak beranak bukan parti rakyat. Nama sahaja Parti Keadilan Rakyat, tetapi sebenarnya parti anak beranak. Ini bukti yang patut rakyat nilai, termasuk di Kelantan sendiri," katanya pada pemberita selepas merasmikan Bilik Operasi Pemuda BN Kota Bharu di sini malam tadi.

Mohd. Fatmi diminta mengulas mengenai pengumuman calon Pas dan PKR untuk menghadapi PRU-13 yang dilakukan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah di Machang semalam.

Kombinasi kedua-dua parti itu dalam PRU-13 ini menampilkan 16 muka baharu dan yang paling mendapat tumpuan adalah pencalonan Nik Abduh anak kepada Menteri Besar dan Musyidul Am Pas.

Tambah Mohd. Fatmi yang juga merupakan calon BN Parlimen Kota Bharu, budaya begini tidak pernah berlaku pada BN yang apabila pemimpin masih berjawatan mempertaruhkan anak mereka untuk bertanding pada pilihan raya.

"Sebagai contoh, Bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa mereka memegang jawatan

itu tidak ada seorang pun anak mereka menjadi wakil rakyat.

"Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak pernah mempertaruhkan anak untuk bertanding pada pilihan raya. Ini bezanya BN dan Pakatan Pembangkang," katanya. - UTUSAN ONLINE