Wednesday, June 5, 2013

MICHELLE YEOH DILANTIK MENTOR PERTAMA iM4U

PUTRAJAYA: Pelakon filem antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh dilantik sebagai mentor pertama 1Malaysia For Youth (iM4U). 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan watikah pelantikan kepada Yeoh di Pejabat Perdana Menteri di Kompleks Perdana Putra di sini.

Pelantikan sebagai mentor iM4U adalah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian luar biasa rakyat Malaysia dalam membangunkan negara dan sebagai model peranan untuk belia.

Sebagai mentor iM4U, inisiatif pertama Yeoh ialah bekerjasama dengan iM4U untuk menyusun kempen bagi menentang jenayah, dengan memberi fokus di kawasan yang mendedahkan wanita kepada bahaya seperti tempat meletak kenderaan, kawasan berdekatan stesen LRT dan hentian bas.

"Saya menjadi amat tidak keruan apabila mendengar tentang wanita, terutama yang mengalami trauma di tempat meletak kenderaan akibat perbuatan peragut. Kami akan mencari jalan untuk meningkatkan kesedaran ke arah menjadikan Malaysia lebih selamat.

"Sebaik saja kempen ini bersedia untuk dilaksanakan, kami akan mengumumkannya," kata Yeoh kepada pemberita di sini Selasa.

"Tahun depan, kita ada Tahun Melawat Malaysia dan para belia boleh memberi banyak bantuan dan menjadikan pengunjung ke negara kita lebih tertarik dengan apa yang ada di sini dan saya mahu mereka berasa selamat, santai dan gembira," katanya sambil menambah bahawa semangat kesukarelaan perlu dipupuk dalam diri para belia.

Penubuhan iM4U adalah hasil ilham Najib, yang juga pengerusi Lembaga Pemegang Amanah iM4U, sebagai wadah untuk belia Malaysia menjalankan kegiatan kesukarelaan dan pembinaan negara bangsa untuk manfaat masyarakat dan kumpulan sosial. -BERNAMA/mStar

PENJAWAT AWAM YANG MASIH BERPOLITIK AKAN DIKENAKAN TINDAKAN - KSN

KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang masih berpolitik akan dikenakan tindakan berdasarkan peraturan, pekeliling dan undang-undang yang termaktub di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, semua ketua jabatan diminta memantau dan mengambil tindakan atau melaporkan kepada JPA sekiranya masih terdapat penjawat awam yang masih berpolitik terutamanya di media sosial.

Katanya, tempoh berpolitik sudah tamat sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 diketahui, dan kini tibalah masa untuk penjawat awam menjadi tonggak pentadbiran negara ke arah menjayakan agenda transformasi negara.

Tan Sri Dr Ali Hamsa
"Sekarang, masa kakitangan awam untuk bergerak ke hadapan dan meneruskan usaha-usaha agenda transformasi nasional dengan kadar segera," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Tahunan Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) 2013 di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam yang meminta rakyat termasuk penjawat awam supaya tidak terbabit dalam politik berlebihan kerana menyebabkan masa terbuang untuk negara maju ke hadapan.

Ketua Setiausaha Negara berkata, penjawat awam kini perlu berfikir ke hadapan, iaitu lebih produktif dalam mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber terhad, lebih cepat dalam membuat keputusan dan tepat dalam merangka dasar atau program demi kepentingan rakyat.

Katanya, penjawat awam juga perlu mempunyai integriti, kreatif and inovatif dalam menggunakan pelbagai pendekatan untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam, termasuk menggunakan saluran media sosial dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar awam kerajaan.

Ditanya mengenai perkembangan rancangan mewujudkan Sistem Saraan Transformatif (SST) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia, Ali berkata proses penyediaan SST yang meliputi 81 skim perkhidmatan pada tahap pertama dijangka selesai menjelang akhir November ini.

"Pada bulan Julai pula, kita akan menyelesaikan enam skim perkhidmatan dan bakinya akan diselesaikan kemudian. Ini merupakan satu proses yang berterusan yang akan turut meliputi kesemua 289 skim perkhidmatan apabila siap kelak," jelas beliau. –BERNAMA/mStar