Showing posts with label iM4U. Show all posts
Showing posts with label iM4U. Show all posts

Wednesday, June 5, 2013

MICHELLE YEOH DILANTIK MENTOR PERTAMA iM4U

PUTRAJAYA: Pelakon filem antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh dilantik sebagai mentor pertama 1Malaysia For Youth (iM4U). 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan watikah pelantikan kepada Yeoh di Pejabat Perdana Menteri di Kompleks Perdana Putra di sini.

Pelantikan sebagai mentor iM4U adalah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian luar biasa rakyat Malaysia dalam membangunkan negara dan sebagai model peranan untuk belia.

Sebagai mentor iM4U, inisiatif pertama Yeoh ialah bekerjasama dengan iM4U untuk menyusun kempen bagi menentang jenayah, dengan memberi fokus di kawasan yang mendedahkan wanita kepada bahaya seperti tempat meletak kenderaan, kawasan berdekatan stesen LRT dan hentian bas.

"Saya menjadi amat tidak keruan apabila mendengar tentang wanita, terutama yang mengalami trauma di tempat meletak kenderaan akibat perbuatan peragut. Kami akan mencari jalan untuk meningkatkan kesedaran ke arah menjadikan Malaysia lebih selamat.

"Sebaik saja kempen ini bersedia untuk dilaksanakan, kami akan mengumumkannya," kata Yeoh kepada pemberita di sini Selasa.

"Tahun depan, kita ada Tahun Melawat Malaysia dan para belia boleh memberi banyak bantuan dan menjadikan pengunjung ke negara kita lebih tertarik dengan apa yang ada di sini dan saya mahu mereka berasa selamat, santai dan gembira," katanya sambil menambah bahawa semangat kesukarelaan perlu dipupuk dalam diri para belia.

Penubuhan iM4U adalah hasil ilham Najib, yang juga pengerusi Lembaga Pemegang Amanah iM4U, sebagai wadah untuk belia Malaysia menjalankan kegiatan kesukarelaan dan pembinaan negara bangsa untuk manfaat masyarakat dan kumpulan sosial. -BERNAMA/mStar

Sunday, February 3, 2013

MASA DEPAN NEGARA BERGANTUNG KEPADA NILAI, BUDAYA & SIKAP MASYARAKAT


PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat bahawa adalah penting untuk menyedari bahawa masa depan negara bergantung kepada sistem, nilai, budaya dan sikap masyarakat.

Beliau berkata lagi kukuh nilai, budaya dan sikap masyarakat, maka ini lebih menjamin kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang tersohor dan paling hebat di dunia.

"Kejayaan sesebuah negara tidak tertakluk semata-mata kepada bangunan pencakar langit, kemudahan asas, kilang berteknologi tinggi, peningkatan per kapita tetapi pada hakikatnya kita membina sebuah negara bangsa dan kita membina sebuah peradaban.

"Bila kita melihat dari sudut tersebut, maka transformasi sosial berdasarkan kepada perubahan dari segi sistem, nilai dan budaya keseluruhan kita termasuk sikap adalah merupakan salah satu daripada faktor penting mengapa setengah negara lebih maju dan setengah negara kurang maju," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran My Beautiful Malaysia di Taman Medan di sini, Ahad.

Sambil mengakui bahawa agenda transformasi sosial tidak semudah transformasi kerajaan, ekonomi dan politik yang boleh dilihat dalam masa pendek, Najib berkata beliau yakin hasrat itu menjadi kenyataan sekiranya rakyat terus mempunyai semangat yang tinggi dan mahu merubah sikap yang tidak baik kepada lebih baik.

"Ini semua boleh kita lakukan untuk mencapai apa yang saya harapkan yakni perubahan kepada diri kita sendiri kerana bila kita sebut tentang nilai, budaya ia adalah sesuatu kepada diri kita, pada tubuh badan kita.

"Kalau ini kita dapat meresap dalam lubuk hati dan jiwa, kita sebatikan seolah-olah darah daging kita, bangsa Malaysia tetap akan berjaya," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut melahirkan rasa syukur dan yakin dengan golongan orang muda di Malaysia yang boleh diharapkan untuk menggerak negara pada masa depan.

Katanya, jika tenaga orang muda dapat dihalakan secara konstruktif dan positif tentu sekali Malaysia akan membangun dengan lebih hebat dan berjaya lagi.

"Alhamdulillah, orang muda di Malaysia adalah merupakan orang-orang muda yang bertanggungjawab, ada rasa kebertanggungjawaban yang tinggi bahawa mereka tidak mahu terpinggir daripada memainkan peranan.

"Mereka tidak mahu melakukan perkara yang boleh merosakkan masa depan negara seperti mengadakan demonstrasi jalanan ataupun tidak menghormati undang-undang negara ataupun melakukan apa saja yang boleh merosakkan asas kejayaan negara dan merosakkan perpaduan negara," katanya.

Najib juga mengingatkan rakyat supaya tidak memperlekeh negara dan menidakkan apa yang telah dikecapi sehingga kini.

"Malaysia memang beautiful (cantik) tapi kita boleh jadikan Malaysia lebih beautiful dengan semangat kesukarelawan sebagai pemangkin kepada perubahan," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan sebelum ini telah melancarkan dana sukarelawan 1Malaysia (DRe1M) untuk membantu sukarelawan di seluruh negara.

Katanya, satu stesen radio 1M4U turut akan dilancarkan tidak lama lagi menghubungkan kerajaan dan golongan belia dan telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

"Saya juga berharap ikon-ikon 1M4U boleh memainkan peranan kerana mereka role model (contoh ikutan) kepada orang muda, di mana orang muda lihat kepada mereka dan kejayaan mereka sebab anda juga boleh berjaya," katanya. - MStar