Thursday, December 19, 2013

KAJI SEMULA AKUJANJI KADAR TOL
 
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengingatkan semula kerajaan BN agar mengkaji semula cadangan kenaikan kadar tol.

Menurutnya, ia adalah kerana BN pada PRU13 lalu telah berjanji secara spesifik melalui akujanji pilihan raya bahawa akan mengurangkan tol secara berperingkat.

"Dalam konteks tol, di bawah tajuk 'Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Pembangunan Luar Bandar', untuk 'mengurangkan tol antara bandar secara berperingkat'.

"Saya menaruh keyakinan bahawa Perdana Menteri akan melihat perkara ini dengan lebih komprehensif. Apabila Perdana Menteri umum 'kos sara hidup' sebagai agenda utama akujanji, ianya pasti diberi perhatian oleh kerajaan," katanya, semalam.

Selain itu, Reezal turut menyeru Kementerian Kerja Raya membuat kajian lebih holistik sebelum menandatangani konsesi tol baharu pada masa akan datang.

"Ia perlu dilakukan dengan mengambil kira kadar keuntungan bersesuaian kepada syarikat konsesi berkaitan. Antara lebuhraya baharu dalam peringkat kajian, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex) dan Lebuh raya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) mempunyai implikasi kewangan 'harian' kepada pengguna," katanya.

Katanya lagi, Kementerian Kerja Raya juga perlu menyatakan kepada umum mengenai status kajian penstrukturan kadar tol Besraya, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

"Rakyat wajar diberikan pencerahan mengenai kajian semula, apatah  lagi ia dinyatakan secara spesifik dalam Pelan Perancangan Strategik Kementerian Kerja Raya.

"Rasionalisasi subsidi mesti dilakukan secara berhati-hati, agar ia tidak membebankan rakyat dalam apa jua keadaan. Berdasarkan maklum balas rakyat, mereka terbeban dengan apa yang berlaku akhir-akhir ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian

KENAIKAN TOL, ELEKTRIK: TWU MOHON KERAJAAN TIMBANG SEMULA


KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) meminta kerajaan mempertimbang semula keputusan menaikkan kadar tol lebuh raya dan tarif elektrik yang dijadual berjalan serentak bermula Januari depan.

Setiausaha Agung (TWU), Tan Sri Zainal Rampak berkata kerajaan boleh menangguh sementara kenaikan itu bagi membolehkan perbincangan semula diadakan dengan syarikat konsesi memandangkan kutipan diperoleh bertambah setiap tahun. 

"Perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya merupakan satu persetujuan, jadi atas faktor itu kerajaan boleh berunding semula
berhubung terma perjanjian," katanya di sini hari ini.

Zainal, yang juga bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata kenaikan kadar tol dan elektrik secara serentak merupakan kejutan buat rakyat berpendapatan rendah kerana caj baru itu menjejas perbelanjaan harian mereka.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata kadar baharu tol ialah untuk projek lebuh raya baharu dan pemegang konsesinya perlu membuat kaji selidik terlebih dahulu sebelum menetapkan kadar itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Seri Azman Mohd pula menyatakan tarif elektrik baharu itu adalah sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi kerajaan untuk pengukuhan fiskal dan ia perlu untuk kebaikan jangka panjang ekonomi negara. - Bernama

Sumber: Sinar Harian