Wednesday, May 23, 2012

ELAUN LATIHAN PELAJAR GIAT MARA, IKM NAIK

KUALA LUMPUR: Kira-kira 20,000 pelajar yang mengikuti latihan kemahiran seliaan MARA akan menikmati kenaikan bayaran elaun baru tidak lama lagi.

Ia membabitkan semua pelajar yang sedang mengikuti kursus latihan di Giat Mara dan Institut Kemahiran (IKM) bertujuan menampung kos sar hidup yang semakin meningkat.

Pengerusi MARA, Datuk Idris Jusoh berkata, keputusan kenaikan itu sudah dipersetujui Ahli Lembaga Pengarah MARA dan kini pihaknya sedang dalam proses mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan.

Katanya, kenaikan itu juga sejajar dengan usaha MARA untuk memberikan khidmat terbaik kepada penuntutnya terutama dalam hal kebajikan pelajar, selain memberi galakan kepada mereka untuk lebih cemerlang dalam pendidikan.

KD: gembira dengan pengumuman ini.. sungguh bertuah pelajar Mara/IKM kerana kerajaan prihatin dengan mereka… galakan sudah diberi, kini tinggal usaha dan kejayaan yang setimpal..
PELAN PEMULIHAN MAS BERHASIL

PELAN pemulihan dilaksanakan Penerbangan Malaysia (MAS) sejak Disember tahun lalu sudah menampakkan hasil apabila ia berjaya membendung kerugian yang dialaminya dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, di tengah-tengah peningkatan harga bahan api.
 
Dalam tempoh Januari-Mac itu, kerugian bersih syarikat penerbangan kebangsaan itu berkurangan 29 peratus kepada RM171 juta daripada RM242 juta yang dialaminya dalam tempoh sama tahun lalu.

Ini membantu kami memperbaiki prestasi serta-merta pendapatan yang diperoleh daripada penjualan kerusi bagi setiap kilometer daripada setiap sen dibelan-jakan untuk kerusi bagi setiap kilometer berbanding tempoh sama sebelumnya.

Ketua Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya menyifatkan penurunan jumlah kerugian itu hasil keputusan amat tegas dibuat sejak Disember lalu.

“Kami mengurangkan laluan tidak menguntungkan, khususnya yang membabitkan penerbangan jarak jauh yang perolehannya amat sedikit. Ini membantu kami memperbaiki prestasi serta-merta pendapatan yang diperoleh daripada penjualan kerusi bagi setiap kilometer (RASK) daripada setiap sen yang dibelanjakan untuk kerusi bagi setiap kilometer (CASK), berbanding tempoh sama sebelumnya,” katanya dalam kenyataan bagi mengumumkan keputusan kewangan itu di Kuala Lumpur, semalam.


KD: perkembangan yang baik bagi MAS.. semoga MAS terus maju dan berdaya saing dalam memberi perkhidmatan kepada pengguna sekaligus melonjakkan kembali nama syarikat penerbangan ini di mata dunia..

RUMAH MAMPU MILIK DI PULAU PINANG TERPINGGIR



Purata harga rumah di Pulau Pinang yang terlalu tinggi sehingga melebihi setengah juta ringgit seunit antara faktor menyebabkan ramai masyarakat Melayu negeri itu khususnya di bahagian seberang pulau, berhijrah ke kawasan luar bandar dan negeri jiran seperti Sungai Petani, Kulim, Padang Serai dan Parit Buntar.

Di bahagian pulau negeri itu, harga tanah yang terlampau tinggi menyebabkan kemampuan orang Melayu untuk memiliki rumah terhalang.

Sebagai contoh, harga rumah di Balik Pulau yang mencecah jutaan ringgit mengakibatkan orang Melayu di situ tidak mampu memilikinya lalu mereka terpaksa mencari kawasan lain termasuk di tanah besar. Rumah berharga sehingga RM500,000 seunit yang dibangunkan di kawasan itu tidak mampu dimiliki penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan, petani, peniaga dan pekerja kilang.

Berikut adalah hasil kajian dan pendapat beberapa pihak berhubung isu ini:

(i) Kajian Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi Pulau Pinang (PReCISE) mendapati :
-         - purata harga rumah di Pulau Pinang dua tahun lalu ialah RM540,000 seunit iaitu lapan kali  ganda lebih tinggi daripada  purata pendapatan tahunan isi rumah penduduk iaitu sekitar RM67,500. Malah, purata harga rumah di negeri itu kira-kira 27 peratus lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur yang berharga RM390,000 seunit.
-         - Penyelidik Kanan PReCISE, Mariani Ali Amran berkata, kemampuan orang Melayu untuk memiliki rumah terutama di kawasan kegiatan ekonomi dan pentadbiran terhalang akibat harga tanah terlampau tinggi. Manakala, harga kebanyakan rumah kos rendah dan sederhana rendah adalah tinggi serta tidak selaras dengan kadar pendapatan penduduk yang berpendapatan rendah serta sederhana rendah.

(ii) Fellow Kanan Kajian Institut Kajian Sosio-Ekonomi dan Alam Sekitar (Seri) dalam laporannya menyatakan :
-          - harga rumah terlalu tinggi di bandar utama bukan saja menyebabkan golongan bawahan tidak mampu memiliki rumah,  malah ia juga di luar kemampuan golongan pertengahan.
-         - Kajian Dr Michael Lim Mah Hui mendapati, harga rumah di Pulau Pinang, terutama di bahagian pulau tinggi iaitu kira-kira RM540,000 pada 2009 dan harga itu lebih tinggi berbanding harga purata kediaman biasa di Kuala Lumpur sekitar RM390,000.
-         -  Justeru, beliau menggesa kerajaan Pulau Pinang memperbanyakkan rumah mampu milik dan mengawal pembinaan rumah mewah, khususnya di bahagian pulau.

(iii) Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang)
-          - Presidennya, Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff, memberi cadangan supaya pihak berkuasa tempatan menyediakan kemudahan kepada pemaju untuk membangunkan lebih banyak projek perumahan kos rendah dan sederhana bagi membolehkan orang Melayu Pulau Pinang mampu memiliki rumah.
-          - Katanya, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) boleh mengatasi masalah itu kerana mempunyai kuasa meluluskan projek. PBT itu boleh memberi kemudahan kepada pemaju seperti menaikkan peratusan unit rumah yang boleh dibina bagi membolehkan mereka membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana pada harga berpatutan.
-          - Selain itu, beliau mencadangkan orang Melayu yang mempunyai tanah, terutama di bandar tidak menjualnya, tetapi membangunkannya dengan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk pemaju bukan Melayu.

(iv) Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Pulau Pinang mendakwa :
-          - harga tanah yang mahal adalah sebab utama rumah di negeri itu dijual pada harga yang tinggi.
-          - Pengerusinya, Datuk Jerry Chan Fook Sing berkata, harga tanah yang tinggi juga menyebabkan pemaju cenderung membina rumah mewah di negeri ini. Beliau berkata tanah yang terhad di Pulau Pinang menyebabkan pemilik tanah menjualnya dengan harga yang tinggi dan tindakan itu sekaligus memberi kesan terhadap harga rumah.

(Sumber: Harian Metro, sukaweb.penang.gov.my, BERNAMA)

KD: Fenomena ini membimbangkan semua pihak di Pulau Pinang yang peka akan keseimbangan sosioekonomi dan kualiti hidup rakyat. Keadaan ini jika tidak dikawal, ia bukan saja mengakibatkan rakyat Pulau Pinang kehilangan tempat tinggal, malah mengubah landskap, kegiatan ekonomi dan kehidupan di sesuatu kawasan itu. Selain itu ia boleh mengakibatkan penduduk asal Pulau Pinang terus terpinggir dan terhimpit dalam kepesatan pembangunan.

KRISIS AIR CETUS KEBIMBANGAN PENDUDUK DI LEMBAH KLANG
 
KUALA LUMPUR: Penduduk Selangor, Putrajaya dan ibu negara Kuala Lumpur mula bimbang krisis air akan berlaku di Lembah Klang pada 2014 berikutan rizabnya yang menurun 2.4 peratus, berbanding paras ideal, 20 peratus.

Rata-rata penduduk yang ditemui meminta kerajaan Selangor segera mencapai kata sepakat dengan Pusat dan berhenti berdolak-dalik dalam isu air kerana ia membabitkan kehidupan berjuta-juta rakyat di sini.

Tinjauan rambang Berita Harian di Putrajaya mendapati, penduduk menolak permainan politik dalam menyelesaikan isu air di Selangor. Mereka khuatir jika kerajaan Selangor terus enggan membenarkan pembinaan Loji Air Langat 2, berjuta-juta penduduk Lembah Klang bakal menjadi mangsa.

KD: Mengapa terlalu payah kerajaan Selangor mencapai kata sepakat dengan Pusat? Sedangkan isu air adalah masalah kritikal yang perlu diselamatkan dari awal. Jangan sampai rakyat menerima padah, baru hendak bertindak.