Purata harga rumah di Pulau Pinang yang
terlalu tinggi sehingga melebihi setengah juta ringgit seunit antara faktor
menyebabkan ramai masyarakat Melayu negeri itu khususnya di bahagian seberang
pulau, berhijrah ke kawasan luar bandar dan negeri jiran seperti Sungai Petani,
Kulim, Padang Serai dan Parit Buntar.
Di bahagian pulau negeri itu, harga
tanah yang terlampau tinggi menyebabkan kemampuan orang Melayu untuk memiliki
rumah terhalang.
Sebagai contoh, harga rumah di Balik
Pulau yang mencecah jutaan ringgit mengakibatkan orang Melayu di situ tidak
mampu memilikinya lalu mereka terpaksa mencari kawasan lain termasuk di tanah
besar. Rumah berharga sehingga RM500,000 seunit yang dibangunkan di kawasan itu
tidak mampu dimiliki penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan,
petani, peniaga dan pekerja kilang.
Berikut adalah hasil kajian dan pendapat
beberapa pihak berhubung isu ini:
(i) Kajian
Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi Pulau Pinang (PReCISE) mendapati :
- - purata harga
rumah di Pulau Pinang dua tahun lalu ialah RM540,000 seunit iaitu lapan kali ganda lebih tinggi daripada purata pendapatan
tahunan isi rumah penduduk iaitu sekitar RM67,500. Malah, purata
harga rumah di negeri itu kira-kira 27 peratus lebih tinggi berbanding Kuala
Lumpur yang berharga RM390,000 seunit.
- - Penyelidik Kanan PReCISE, Mariani Ali Amran berkata, kemampuan orang Melayu untuk memiliki rumah
terutama di kawasan kegiatan ekonomi dan pentadbiran terhalang akibat harga
tanah terlampau tinggi. Manakala, harga kebanyakan rumah kos rendah dan
sederhana rendah adalah tinggi serta tidak selaras dengan kadar pendapatan
penduduk yang berpendapatan rendah serta sederhana rendah.
(ii) Fellow
Kanan Kajian Institut Kajian Sosio-Ekonomi dan Alam Sekitar (Seri) dalam laporannya menyatakan :
- - harga rumah
terlalu tinggi di bandar utama bukan saja menyebabkan golongan bawahan tidak
mampu memiliki rumah, malah ia juga di luar kemampuan golongan pertengahan.
- - Kajian Dr Michael Lim Mah Hui mendapati, harga
rumah di Pulau Pinang, terutama di bahagian pulau tinggi iaitu kira-kira
RM540,000 pada 2009 dan harga itu lebih tinggi berbanding harga purata kediaman
biasa di Kuala Lumpur sekitar RM390,000.
- - Justeru, beliau
menggesa kerajaan Pulau Pinang memperbanyakkan rumah mampu milik dan mengawal
pembinaan rumah mewah, khususnya di bahagian pulau.
(iii) Persatuan
Melayu Pulau Pinang (Pemenang)
- - Presidennya, Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff, memberi cadangan supaya pihak berkuasa tempatan
menyediakan kemudahan kepada pemaju untuk membangunkan lebih banyak projek
perumahan kos rendah dan sederhana bagi membolehkan orang Melayu Pulau Pinang
mampu memiliki rumah.
- - Katanya, Majlis
Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP)
boleh mengatasi masalah itu kerana mempunyai kuasa meluluskan projek. PBT itu
boleh memberi kemudahan kepada pemaju seperti menaikkan peratusan unit rumah
yang boleh dibina bagi membolehkan mereka membina lebih banyak rumah kos rendah
dan sederhana pada harga berpatutan.
- - Selain itu,
beliau mencadangkan orang Melayu yang mempunyai tanah, terutama di bandar tidak
menjualnya, tetapi membangunkannya dengan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai
pihak, termasuk pemaju bukan Melayu.
(iv) Persatuan
Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Pulau Pinang mendakwa :
- - harga tanah yang
mahal adalah sebab utama rumah di negeri itu dijual pada harga yang tinggi.
- - Pengerusinya, Datuk Jerry Chan Fook Sing berkata, harga tanah yang tinggi juga menyebabkan
pemaju cenderung membina rumah mewah di negeri ini. Beliau berkata tanah yang
terhad di Pulau Pinang menyebabkan pemilik tanah menjualnya dengan harga yang
tinggi dan tindakan itu sekaligus memberi kesan terhadap harga rumah.
(Sumber: Harian Metro, sukaweb.penang.gov.my,
BERNAMA)
KD: Fenomena ini membimbangkan semua pihak di Pulau
Pinang yang peka akan keseimbangan sosioekonomi dan kualiti hidup rakyat.
Keadaan ini jika tidak dikawal, ia bukan saja mengakibatkan rakyat Pulau Pinang
kehilangan tempat tinggal, malah mengubah landskap, kegiatan ekonomi dan
kehidupan di sesuatu kawasan itu. Selain itu ia boleh mengakibatkan penduduk
asal Pulau Pinang terus terpinggir dan terhimpit dalam kepesatan pembangunan.
No comments:
Post a Comment