Saturday, November 16, 2013

PERSATUAN PERANAKAN CINA KELANTAN BANTAH HUDUD

KOTA BHARU - Penasihat Persatuan Peranakan Cina Kelantan, Law Awang mendakwa masih ramai dalam kalangan bukan Islam tidak bersetuju pelaksanaan hukum hudud jika ia melibatkan lain-lain kaum.

Katanya, Kelantan mempunyai masyarakat majmuk dan hudud tidak sepatutnya dilaksanakan kepada kaum bukan Islam.

“Sekarang kalau mahu melaksanakan hukum hudud, ia melibatkan agama lain. Kita tidak setuju tetapi jika dilakukan untuk agama Islam sahaja, kita tidak membantah.

“Dalam masyarakat majmuk, kita tidak boleh buat begitu (hudud) kerana apabila ia lulus, ia boleh melibatkan orang lain termasuk bukan Islam secara automatiknya kerana kita berada di Kelantan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan
hudud di Kelantan.

Dengan mengambil beberapa contoh syarat yang dikenakan di negeri ini termasuk pembinaan rumah kedai yang diwajibkan berbumbung bentuk kubah masjid, Law Awang berkata, kebiasaannya semua syarat yang diluluskan wajib dipatuhi semua kaum di negeri ini.

“Kita perlu timbang masyarakat majmuk di Malaysia. Beberapa perkara tidak boleh diimplementasikan di negara ini,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

PETRONAS JAWAB DAKWAAN : BUKAN PINGGIR TAPI UTAMAKAN KUALITI

SYARAT diletakkan Petronas Dagangan Bhd (PDB) yang mewajibkan semua pembekal makanan di stesen minyak milik Petronas menjadi pembekal berdaftar adalah untuk menjaga kualiti produk yang dijual di kedai Mesra stesen itu.

Menurut PDB, sebagai syarikat awam tersenarai dan entiti korporat bertanggungjawab, PDB mempunyai kewajipan kepada orang awam untuk memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mempunyai standard dan kualiti paling tinggi.

“PDB sentiasa berusaha menyokong usahawan tempatan dengan memberikan mereka peluang perniagaan untuk bekerjasama dengan PDB melalui pelbagai platform.

“Usahawan tempatan boleh memohon untuk menjadi pembekal sah (bagi menjual produk makanan di stesen Petronas) melalui Program Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kami,” menurut PDB dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan dakwaan bahawa PDB meminggirkan pembekal Bumiputera bagi produk makanan seperti nasi lemak yang dijual di kedai Mesra di stesen Petronas.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan laporan berhubung dakwaan dibuat beberapa pengusaha stesen Petronas dan badan bukan kerajaan yang menyebut PDB cuba meminggirkan usahawan Melayu dan Bumiputera yang menjadi pembekal kecil-kecilan produk makanan di stesen Petronas dengan meletakkan syarat yang membebankan pembekal.

Sumber: Sinar Harian


HUDUD: DAP TUTUP MULUT, BIAR KELANTAN LAKSANA

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menggesa agar DAP tidak campur tangan berhubung isu pelaksanaan hudud di Kelantan.

Beliau berkata demikian menerusi laman sosial Facebook miliknya, hari ini.

“Boleh tak gu gu (kawan-kawan) yang baik dengan DAP cakap pada mereka supaya tutup mulut. Tak perlu menyibuk hal pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Di Kelantan, DAP tak ada setengah kerusi pun dalam Dewan Undangan Negeri. Kita tak kacau urusan hudud di Pulau Pinang atau Selangor,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata isu pelaksanaan hudud itu melibatkan orang Islam dan biarkan Kelantan melaksanakannya.

“Biar Kelantan buat. Selepas ini orang lain boleh tiru. Ini urusan agama orang Islam di negeri yang badan membuat undang-undangnya 100 peratus Islam.

“Kita tak kacau demo (mereka) pun,” katanya.


Sumber: Sinar Harian
SPPBS: GURU TERTEKAN, SYUKUR JIKA DITAMBAHBAIK
SHAH ALAM – Usaha kerajaan untuk menambah baik Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) disambut baik para guru.
Capaian SPPBS akan ditangguhkan mulai 30 November hingga 31 Disember ini dan dibuka semula mulai 1 Januari hingga 31 Januari depan.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan menyebut bahawa kementerian memandang berat isu capaian SPPBS oleh guru-guru ketika mengisi prestasi pelajar bagi tahun ini.

Seorang guru dari Perak akui sistem SPPBS yang lembap menyumbang kepada bebanan para guru setiap kali mengisi data pelajar.

“Kami memang berdepan macam-macam masalah. Lagi-lagi jika pelajar ponteng sekolah sampai berbulan-bulan atau pelajar dari sekolah agama yang bukan kerajaan kemudian mendaftar masuk ke sekolah kerajaan.

“Untuk cikgu yang pegang banyak kelas memang terbeban,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Menurutnya, masalah ‘server’ yang diperkatakan sejak kebelakangan ini memang berlaku setiap kali  guru mahu memasukkan data pelajar.

"Masalah utama saya rasa ‘server’ sebab kita nak bergerak dari satu petak ke petak lain untuk seorang pelajar pun akan sangkut. Kadang-kadang apabila kita ‘log in’, ia akan ‘log out’ semula.

“Kalau masa tengah teruk, seorang pelajar pun kita tak mampu nak masukkan datanya. Tengah-tengah kita isi markah pun, ia boleh ‘log out’ semula dan tak ‘save’ pun data yang kita isi dari awal.

“Sekarang ini saya nampak mereka fokus pada sistem yang lembap. Mungkin mereka akan ‘upgrade server’ di sana, itu saya tak pasti. Yang beban di sekolah ini mereka tak peduli,” katanya.

Beliau bagaimana pun tidak menolak bahawa perancangan sistem itu memang bagus namun gagal dalam pelaksanaan.

“Cakap tentang perubahan, dah banyak kali mereka buat tapi tak ada kesan yang besar sangat.

“Dalam kementerian ini, perancangannya bagus tapi pelaksanaan di bawah yang bermasalah. Orang bawah tidak bersedia untuk melaksanakan arahan orang atas,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi guru dari Johor Bahru mengakui berdepan masalah sama ketika menggunakan sistem tersebut.

“Sistem sedia ada wajar dipertingkatkan lagi. Mungkin akhir tahun ini guru-guru serentak mengisi penilaian, sistem semakin bermasalah.

“Apabila masukkan data pelajar, sampai dua, tiga pagi masih ‘loading’,” katanya.

Beliau mengharapkan penambahbaikan itu bakal menyelesaikan masalah sedia ada.

“(Kementerian mahu memastikan sistem itu lebih efisien) itu yang kita harapkan. Kalau boleh tak ada masalah.

“Sebab ia berpanjangan. Setiap bulan perlu masukkan data pelajar, jadi, saya harap selepas ini ia lebih baik dan berkesan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

KERETA LEBIH 12 TAHUN TIDAK SELAMAT – MIROS

MELAKA - Kenderaan terutama yang berusia melebihi 12 tahun tidak selamat berada di jalan raya kerana ia mengundang risiko kematian lebih tinggi semasa kemalangan berbanding kereta baharu.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, kenderaan berusia terdedah dengan pelbagai kerosakan yang mungkin tidak disedari pemandu dan mengurangkan daya serapan tenaga pelanggaran ketika berlaku kemalangan.

"Kebanyakan kereta direka bentuk untuk jangka hayat antara lima hingga 12 tahun," katanya kepada pemberita selepas ujian perlanggaran kenderaan di Makmal Perlanggaran Penilaian Kereta Baharu Asean (Asean NCAP) di Tiang Dua di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Dr Tam Weng Wah menyaksikan ujian perlanggaran sebuah kereta berusia 23 tahun pada kelajuan 64 kilometer per jam bagi melihat kesan momentum perlanggaran terhadap pemandu dan kenderaan itu.

Bagaimanapun katanya jangka hayat kenderaan turut dipengaruhi beberapa faktor seperti reka bentuk kereta, cara pemanduan dan penyelenggaraan kenderaan.

Sebagai contoh, Dr Wong berkata, kenderaan seperti teksi mempunyai jangka hayat selamat yang lebih pendek iaitu lima tahun disebabkan penggunaannya melebihi 12 jam sehari berbanding kereta lain.

"Kereta lama mempunyai daya menyerap tenaga perlanggaran lebih rendah berbanding kereta baharu dan daya tersebut kemudian dipindahkan kepada penumpang sehingga menyebabkan kecederaan teruk yang boleh mengundang risiko kematian," katanya.

Beliau berkata, kenderaan baharu dilengkapi teknologi terkini melibatkan reka bentuk kereta terutama untuk menyerap tenaga perlanggaran bagi mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan.

Sehubungan itu, katanya orang ramai digesa memberi perhatian terhadap jangka hayat kereta selain cara pemanduan serta penyelenggaraan yang betul bagi mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat berhubung ciri keselamatan kereta dan rating bintang bagi model kenderaan yang diuji di bawah Asean NCAP dalam laman sesawang www.aseancap.org bagi membantu mereka membeli kereta yang mempunyai ciri keselamatan tinggi. – Bernama


Sumber: Sinar Harian