Thursday, March 21, 2013

TEROWONG DASAR LAUT PULAU PINANG: SYOR TOL DIKECAM

GEORGETOWN: Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri membidas kerajaan DAP Pulau Pinang yang mahu mengenakan tol kepada pengguna terowong dasar laut yang akan dibina membabitkan kos RM6.3 bilion.

Timbalan Ketua Pemudanya, Shaik Hussein Mydin, berkata keputusan itu bercanggah dengan kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebelum ini, pakatan pembangkang akan menghapuskan tol apabila menawan Putrajaya.

Selain itu, katanya, janji sama turut diletakkan dalam manifesto pembangkang yang dilancarkan baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menyangka Guan Eng akan mengumumkan pelaksanaan tol di negeri yang diperintah pembangkang.

Janji hapus tol

Katanya, beliau berasa pelik kerana selama ini pembangkang mengkritik hebat pelaksanaan tol oleh Kerajaan Persekutuan.

“Manifesto mereka menunjukkan tol disediakan kerajaan BN akan dimansuhkan tetapi melalui pendedahan isu terowong, pakatan pembangkang juga akan melaksanakan tol.

“Beliau (Guan Eng) perlu mengesahkan adakah selepas pembangkang menang mereka akan mengenakan tol.... nasib baik Guan Eng ‘londeh’ muslihatnya sebelum pilihan raya umum... jika tidak rakyat akan tertipu dengan manifesto pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat BN negeri di Jalan Datuk Keramat, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, pihaknya juga berasakan konsesi tol selama 30 tahun yang diberikan kepada syarikat konsesi memadai dan tidak perlu memberikan tanah percuma.

Shaik Hussein berkata, pihaknya mendapati banyak persoalan yang ditimbulkan rakyat Pulau Pinang masih tidak terjawab, manakala Guan Eng masih bermain wayang.

Sehubungan itu, katanya, beliau pelik tindakan tergesa-gesa Guan Eng mahu membina terowong, biarpun penduduk negeri ini hanya mahu mengetahui secara terperinci projek terbabit dan keperluan pemberian tanah seluas 44 hektar di Tanjung Pinang.

Status syarikat diragui

“Kami mahu tahu siapakah yang membina jalan, siapakah membina terowong dan siapakah membangunkan pembangunan? Malah, status syarikat terbabit turut boleh dipersoalkan kerana didapati ia adalah syarikat ‘ali baba’ yang mempunyai pengaruh politik.

“Rakyat tidak mengetahui kebolehan dan kemampuan syarikat terbabit dari aspek teknikal dan kewangan yang kukuh apabila tanah rakyat diperjudikan kepada syarikat yang belum pasti berjaya siapkan projek terbabit,” katanya. -BHarian
KEMELUT DAP JOHOR MAKIN MEMUNCAK

JOHOR BAHRU: Kemelut DAP di Johor semakin memuncak apabila Pengerusi DAP negeri, Dr Boo Cheng Hau, mencabar timbalannya, Ong Kow Meng, bertanding merebut jawatan disandangnya pada pemilihan parti akan datang.

Dr Boo berkata, Kow Meng boleh bertanding jika beliau layak untuk menjadi pengerusi menggantikannya, sekali gus memimpin parti dan ahli di peringkat negeri.

Namun, beliau menyifatkan timbalannya itu tidak layak menjadi pemimpin kerana gagal menghadiri sebarang mesyuarat serta majlis anjuran parti itu sejak dua tahun lalu.

“Saya kesal kerana menjadi subjek serangannya kerana sebagai pemimpin parti dan juga peguam, beliau seharusnya lebih tahu mengenai undang-undang dan prosedur parti.

“Memang mana-mana ahli mempunyai hak untuk bertanding jawatan pengerusi negeri, namun ia perlulah dilakukan dengan mengikut saluran ditetapkan. Saya ikhlas menyokong beliau untuk bertanding bagi merebut jawatan ini jika beliau rasa layak,” katanya dalam kenyataan bahasa Mandarin yang diedarkan kepada media berbahasa Cina di sini, semalam.

Dr Boo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, berkata beliau kesal dan sedih kerana ada ahli parti itu yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya hanya kerana ingin menjadi calon pilihan raya.

"Saya tidak pasti apa lagi tindakan beliau (Kow Meng), namun saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau atas segala usaha yang dicurahkannya kepada parti selama ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kemelut antara Dr Boo dan timbalannya apabila Kow Meng secara terang-terangan bersama 16 cawangan parti itu mengemukakan undi tidak percaya terhadap ADUN Skudai terbabit. -BHarian
PRU13: PAS LETAK 22 CALON WANITA

KUALA LUMPUR: PAS meletakkan 22 calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Dari 22 kerusi tersebut, lapan darinya adalah kerusi parlimen, manakala 14 kerusi dewan undangan negeri (Dun).

Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr. Siti Mariah Mahmud, berkata 22 kerusi untuk calon wanita itu telah dimuktamadkan parti.

"Setakat ini, 22 kerusi telah dimuktamadkan untuk calon di kalangan muslimat. Mungkin ada pertambahan lagi," tegas beliau pada satu sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Tambah beliau, kerusi-kerusi tersebut meliputi beberapa negeri seperti di Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak.

Beliau juga berkata, asalnya mereka (muslimat PAS) meminta setiap negeri satu kerusi parlimen, dan satu kerusi Dun.

"Bagaimanapun, kami mendapat kerjasama yang baik apabila ada negeri yang menawarkan lebih dari satu kerusi untuk calon wanita," tegas beliau.

Ketika ditanya tentang kuota 30 peratus yang dituntut, Dr. Mariah berkata ia belum mencapai peratus tersebut kerana ia turut merangkumi calon wanita daripada DAP dan PKR.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan mana-mana calon wanita yang menang pada pilihan raya umum ke-12 lalu, turut dicalonkan semula.

"Insya Allah, semua calon wanita yang menang pada PRU lepas, dicalonkan semula memandangkan laporan prestasi yang baik daripada kami," tegas ahli Parlimen Kota Raja itu.

Selain itu, kata beliau terdapat muka baru yang akan menjadi calon wanita, termasuk aktivis NGO Pengerang, Anis Afida Mohd Azli.

Turut serta pada sidang media itu Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah al-Jundi.- http://sisibukit.blogspot.com


MILF TOLAK TUNTUTAN MISUARI KE ATAS SABAH

KUALA LUMPUR: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menolak dakwaan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari kononnya Kerajaan Malaysia telah menggunakan MILF bagi memperkukuh tuntutannya ke atas Sabah dan bertanggungjawab mendorong perpecahan di kalangan rakyat Moro.

Ketua Sekretariat MILF Mohammad Ameen berkata, dakwaan itu adalah satu pembohongan dan palsu semata-mata.

"Misuari melakukan dosa berat kerana membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan cuai terhadap MILF dan kerajaan Malaysia," beliau disebut sebagai berkata oleh Pusat Berita Luwaran.

Serangan lisan terbaru Misuari itu disiarkan oleh Al-Jazeera, YouTube dan beberapa media arus perdana Malaysia di Kuala Lumpur pada Selasa.

Ameen mengingatkan Misuari bahawa Malaysialah yang telah menggesa pembentukan Persidangan Perpaduan Bangsamoro (BSC) pada 2002 demi menyatukan pelbagai puak dalam MNLF dan MILF dan menggalakkan pendirian bersama di kalangan mereka terutama untuk berurusan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Bagaimana pula Malaysia boleh menggunakan MILF bagi mengukuhkan tuntutannya ke atas Sabah, bila Sabah tidakpun menjadi sebahagian daripada agenda rundingan damai sejak 2001?" kata Ameen.

Ameen turut memberitahu Misuari bahawa Malaysia tidak pernah menawarkan diri untuk mengatur rundingan damai Kerajaan Filipina-MILF (GPH-MILF), tetapi Presiden Gloria Macapagal-Arroyo pada 2001 yang meminta Malaysia bertindak sebagai orang tengah antara dua pihak berkenaan setelah rundingan diadakan semula, selepas Presiden Joseph Estrada melancarkan perang terhadap MILF pada tahun 2000.

Presiden Arroyo, dalam lawatan luar negaranya yang pertama sejak menjadi presiden selepas penggulingan Presiden Estrada, telah berkunjung ke Kuala Lumpur untuk secara rasmi meminta Malaysia mengatur rundingan damai GPH-MILF.

"Malaysia setakat memberi respon ikhlas terhadap permintaan jiran yang baik," jelas beliau.

Ameen juga mempersoal niat Misuari yang begitu beria-ia menyokong tuntutan Sabah sekarang sedangkan beliau tidak pernah menimbulkan isu itu sepanjang 21 tahun rundingan damainya dengan kerajaan Filipina.

Sementara Perjanjian Damai Muktamad Kerajaan Republik Filipina-MNLF (GRP-MNLF) pada 1996 tidak pernah merujuk kepada tuntutan Sabah. BERNAMA / mStar
MALAYSIA AKAN MENANG MUDAH ISU TUNTUTAN SABAH - SEJARAWAN

PUTRAJAYA - Malaysia akan menang mudah dalam isu tuntutan ke atas Sabah jika kerajaan Filipina dan Malaysia bersetuju membawa perkara itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), kata seorang pakar sejarah terkemuka tanah air.
  
Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata, ini berdasarkan rekod dan bukti sejarah yang jelas menunjukkan Sabah adalah milik Malaysia.
  
Khoo berkata jika sekalipun diadakan satu lagi pungutan suara mengenai hasrat rakyat Sabah, "semua rekod menyebelahi kita". 
  
“Jika kerajaan Filipina membawa isu tuntutan ke ICJ, mereka akan kalah, sama seperti mereka kalah dalam isu tuntutan Sipadan.
  
“Mereka telah tidak 'mengendali' pulau ini sejak 1873. Lebih penting, rakyat Sabah telah bersetuju menjadi sebahagian daripada Malaysia. Ini keputusan dicapai Suruhanjya Cobbold sebelum pembentukan Malaysia,” katanya.
  
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Forum Kepimpinan Pusat Pengajian Kerajaan Razak (RSOG) berjudul “Multibudaya di Malaysia: Adakah suasana wujud seperti seharusnya?" di Menara Prisma di sini hari ini.

Khoo diminta mengulas laporan bahawa kerajaan Filipina telah meminta sepasukan peguam kanan mengkaji tuntutan negara itu ke atas Sabah yang kini terhenti.
  
Debat mengenai tuntutan ke atas Sabah oleh kerajaan Filipina dan Kesultanan Sulu timbul kembali berikutan insiden pencerobohan di pantai timur Sabah baru-baru ini.
  
Bagaimanapun, Khoo berkata Kesultanan Sulu tidak boleh membawa kes itu ke ICJ kerana ia bukan sebuah negara berdaulat. 
  
“Sulu sendiri tidak boleh berdepan dengan Malaysia...sukar untuk pergi ke ICJ kecuali Manila sedia membantu mereka.
  
“Saya tidak pasti Sulu dan Manila dapat bekerjasama (dalam isu tuntutan ke atas Sabah). Mereka tidak pernah bersepakat," kata beliau. – Bernama/ Sinar Harian
PRU13: ANWAR MUNGKIN TINGGALKAN KERUSI PERMATANG PAUH

PETALING JAYA ― Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibahim berkemungkinan akan meninggalkan kerusi Parlimen Pauh untuk ditandingi dan akan memilih salah satu daripada mana-mana kerusi di Perak mahupun Selangor.
Anwar dalam pengumumannya hari ini bagaimanapun masih tidak menamakan calon yang bakal menggantikannya di kerusi tradisinya itu.

“Saya belum buat keputusan kerana ada cadangan yang meminta saya turun (bertanding) di Perak atau Selangor.

“Tetapi saya sedang menimbang untuk turun ke Perak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Ketika ditanya pemberita Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar akan menggantikannya di kerusi berkenaan, Anwar (gambar) berkata anaknya itu sedang berusaha di kawasan tersebut dan tiada sebab untuk “mengacau” Nurul Izzah.

“Dia (Nurul Izzah) sedang fokus di Lembah Pantai, apa pasal kita nak kacau dia.

“Biar (Datuk) (Raja) Nong Chik seorang kacau dia sudahlah,” katanya lagi.

Kerusi Permatang Pauh menjadi milik Ketua Umum PKR itu menerusi pilihan raya kecil pada Ogos 2008 selepas dikosongkan oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar juga turut mengumumkan pada sidang media hari ini lima calon PKR yang bakal bertanding di Sarawak.

Mereka terdiri daripada Baru Bian (Limbang), Ali Biju (Saratok), Roland Engan (Baram), Abun Sui (Ulu Rejang) dan Abang Zulkifli Abang Engkeh (Batang Lupar). –The Malaysian Insider