Thursday, March 21, 2013

TEROWONG DASAR LAUT PULAU PINANG: SYOR TOL DIKECAM

GEORGETOWN: Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri membidas kerajaan DAP Pulau Pinang yang mahu mengenakan tol kepada pengguna terowong dasar laut yang akan dibina membabitkan kos RM6.3 bilion.

Timbalan Ketua Pemudanya, Shaik Hussein Mydin, berkata keputusan itu bercanggah dengan kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebelum ini, pakatan pembangkang akan menghapuskan tol apabila menawan Putrajaya.

Selain itu, katanya, janji sama turut diletakkan dalam manifesto pembangkang yang dilancarkan baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menyangka Guan Eng akan mengumumkan pelaksanaan tol di negeri yang diperintah pembangkang.

Janji hapus tol

Katanya, beliau berasa pelik kerana selama ini pembangkang mengkritik hebat pelaksanaan tol oleh Kerajaan Persekutuan.

“Manifesto mereka menunjukkan tol disediakan kerajaan BN akan dimansuhkan tetapi melalui pendedahan isu terowong, pakatan pembangkang juga akan melaksanakan tol.

“Beliau (Guan Eng) perlu mengesahkan adakah selepas pembangkang menang mereka akan mengenakan tol.... nasib baik Guan Eng ‘londeh’ muslihatnya sebelum pilihan raya umum... jika tidak rakyat akan tertipu dengan manifesto pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat BN negeri di Jalan Datuk Keramat, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, pihaknya juga berasakan konsesi tol selama 30 tahun yang diberikan kepada syarikat konsesi memadai dan tidak perlu memberikan tanah percuma.

Shaik Hussein berkata, pihaknya mendapati banyak persoalan yang ditimbulkan rakyat Pulau Pinang masih tidak terjawab, manakala Guan Eng masih bermain wayang.

Sehubungan itu, katanya, beliau pelik tindakan tergesa-gesa Guan Eng mahu membina terowong, biarpun penduduk negeri ini hanya mahu mengetahui secara terperinci projek terbabit dan keperluan pemberian tanah seluas 44 hektar di Tanjung Pinang.

Status syarikat diragui

“Kami mahu tahu siapakah yang membina jalan, siapakah membina terowong dan siapakah membangunkan pembangunan? Malah, status syarikat terbabit turut boleh dipersoalkan kerana didapati ia adalah syarikat ‘ali baba’ yang mempunyai pengaruh politik.

“Rakyat tidak mengetahui kebolehan dan kemampuan syarikat terbabit dari aspek teknikal dan kewangan yang kukuh apabila tanah rakyat diperjudikan kepada syarikat yang belum pasti berjaya siapkan projek terbabit,” katanya. -BHarian

No comments:

Post a Comment