Tuesday, June 4, 2013

EMPAT RAKAN WANITA HINA YANG DI-PERTUAN AGONG DICARI
KUALA LUMPUR - Susulan penahanan seorang wanita berusia 32 tahun, polis hari ini turut mencari empat lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, baru-baru ini.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, mereka ialah Weennee Tan, Shuh Chien Loo, Hun Keat Wong dan Carol Tay.

Katanya, keempat-empat individu itu dicari setelah memuat-naik komen yang didakwa mempunyai unsur menghina Yang di-Pertuan Agong pada salah satu status Facebook milik wanita terbabit.

Difahamkan, suspek wanita itu ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 pada pukul 9.30 pagi ini di sekitar Ampang. -Utusan Online
MUSTAHIL WARGA BANGLADESH MENGUNDI PRU13 - PESURUHJAYA TINGGI

KUALA LUMPUR - Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh hari ini menyifatkan dakwaan rakyatnya mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Malaysia 5 Mei lalu sebagai tidak masuk akal.

Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, AKM Atiqur Rahman berkata, pejabatnya tidak mengetahui mengenai dakwaan tersebut.

"Propaganda mengenai rakyat Bangladesh mengundi dalam PRU13 hanyalah rekaan semata-mata oleh beberapa kumpulan yang mempunyai kepentingan tertentu," katanya kepada pemberita.

Menurutnya adalah tidak masuk akal bahawa seramai 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk ke Malaysia seminggu sebelum pilihan raya berlangsung untuk mengundi.

Beranggapan ia sebagai 'manipulasi politik', Atiqur berkata, rakyat Bangladesh menjadi pengundi hantu bukan sahaja meletakkan rakyatnya dalam risiko, tetapi turut memberi imej negatif terhadap negara itu.— Sinar Harian
4 LAGI PRODUK MAKANAN TAIWAN DICEMARI ASID MALEIK

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan empat lagi produk makanan dari Taiwan dilaporkan dicemari asid maleik.

Produk berkenaan ialah 'Green Tea Tapioca Ball' dan 'Yam Tapioca Ball' keluaran syarikat Full Free Co Ltd dan 'Vegetarian Instant Rice Noodle' dan 'Rice Noodle With Thick Soup' keluaran Syarikat Long Kow Foods Corp.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Noraini Mohd Othman berkata, walaupun empat produk itu tidak diimport oleh Malaysia, namun sebagai langkah berjaga-jaga KKM tetap menyenaraikan ia sebagai antara 15 produk makanan yang digantung pengimportannya sehingga kini.

"Selain itu KKM juga mengenakan tindakan Tanah, Uji, dan Lepas terhadap produk makanan yang sama keluaran syarikat-syarikat lain di Taiwan (yang hendak diimport ke dalam negara), melainkan pengimportnya dapat mengemukakan sijil analisa daripada makmal yang diiktiraf olah FDA Taiwan, yang mengesahkan bahawa produk itu bebas asid maleik," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, KKM juga sedang memantau dengan rapi produk makanan diimport dari Taiwan yang berada di pasaran tempatan, dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenainya dengan menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM dengan menelefon 03-888 33652 atau 03-888 33653 atau layari laman web kementerian.

Rabu lepas, KKM menggantung pengimportan 11 produk keluaran beberapa syarikat makanan Taiwan, termasuk 'Tapioca Balls' atau 'Tapioca Pearls' yang diguna dalam penyediaan minuman 'Bubble Tea' kerana dilaporkan mengandungi asid maleik.

Penggunaan bahan itu tidak dibenarkan mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 kerana jika diambil pada paras tinggi, ia boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang. BERNAMA -mStar
JAWATANKUASA KHAS PARLIMEN, LUASKAN AGENDA TRANSFORMASI

SHAH ALAM – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memindahkan fungsi dan kawal selia SPR kepada jawatankuasa khas yang diwakili Ahli Parlimen semua parti politik adalah langkah terbaik.

Reezal MericanAhli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah ini meluaskan agenda transformasi politik secara jujur, berterus-terang dan terbuka untuk membolehkan negara berada dalam iklim amalan demokrasi yang dapat dilakukan secara sihat.
Menurutnya, ia menunjukkan kegigihan, kesungguhan dan istiqamah Najib yang mengamalkan sepenuhnya demokrasi yang berintegriti dan sihat serta jauh daripada anasir yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini.

“Ia juga menunjukkan amalan demokrasi negara kita tidak dinodai persepsi tertentu, yang jika dibiarkan, akan menjejaskan kredibiliti SPR.  

Penyertaan Ahli Parlimen daripada pembangkang dan pemerintah akan menutup ruang dan pandangan bahawa amalan-amalan demokrasi Malaysia tidak bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Najib bahawa kerajaan memutuskan fungsi dan kawal selia SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili Ahli Parlimen sebagai langkah memperkukuhkan kewibawaan serta kredibiliti badan itu.

Reezal, yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno berkata, kerjasama jawatankuasa itu akan menghasilkan pelbagai perspektif dan dimensi.

"Dengan adanya jawatankuasa khas itu, ada kebertanggungjawaban kepada SPR," katanya.

"Bagaimanapun, katanya, sebelum ini 80 peratus tuntutan Bersih dilaksanakan, tetapi masih ada suara-suara yang tidak berpuas hati.

"Selepas PRU13, wujud beberapa dakwaan tidak betul. Saya harap dengan adanya jawatankuasa khas ini, tidak ada sebab meragui ketulusan dan integriti SPR,” katanya. — Sinar Harian
BELUM SAMPAI MASA BN JADI PARTI TUNGGAL - TUN M

YOGYAKARTA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata belum sampai masanya bagi Barisan Nasional (BN) untuk menjadi sebuah parti yang terbuka kepada rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Bekas perdana menteri itu berkata, pendekatan terbaik pada masa ini ialah kerjasama antara parti-parti yang mewakili kaum dalam konsep perkongsian kuasa dan kekayaan negara.

"Kita tak boleh ketepikan parti-parti yang mewakili kaum mereka. Walaupun dalam BN terdapat parti-parti yang berbilang kaum, tetapi pada hakikatnya parti yang mendakwa dirinya sebagai berbilang kaum juga didominasi oleh satu kaum sahaja.

"Kalau kita lihat parti Gerakan sebagai sebuah parti berbilang kaum, tapi ia dikuasai oleh orang Cina, jadi belum sampai masa kita boleh ketepikan kaum dan kita adakan satu parti," katanya.

"Kita lihat DAP umpamanya dikatakan berbilang kaum, tapi sebenarnya dikuasai oleh orang Cina. Demikian juga dengan PKR dikuasai oleh orang Melayu.

"Jadi biasanya, walaupun diadakan satu parti berbilang kaum, satu-satu kaum akan mendominasi dan ini tidak menjadikannya sebuah parti berbilang kaum," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata BN tidak boleh tergesa-gesa menerima sesuatu cadangan tentang corak dan bentuk parti itu di masa depan, sebaliknya semua cadangan perlu dikaji dengan mendalam akan kesan baik dan buruknya.

Beliau ditanya mengenai sama ada BN boleh menerima kemasukan parti-parti pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagaimana Perikatan pada suatu masa lalu membawa masuk parti pembangkang ke dalam parti gabungan itu.

Dr Mahathir berkata BN terbuka kepada parti pembangkang, tetapi mereka mestilah membelakangkan prinsip mereka yang bertentangan dengan perjuangan BN.

Mengenai prestasi UMNO pada PRU13, Dr Mahathir berkata walaupun parti itu menjadi parti terbesar yang menang dalam pilihan raya itu, ia masih berdepan dengan banyak kelemahan.

"Kemenangan UMNO kali ini bukan kerana kekuatan UMNO ataupun perpaduan dalam UMNO, kemenangan UMNO kali ini disebabkan oleh perasaan takut orang Melayu, terutamanya kalau-kalau parti lawan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim bersama dengan DAP mendirikan kerajaan di Malaysia.

"Kalau mereka mendirikan kerajaan di Malaysia, sudah tentu nasib orang Melayu akan menjadi lebih buruk. Sebab itu mereka memberi sokongan kepada UMNO," kata Dr Mahathir. -mStar