Showing posts with label Taiwan. Show all posts
Showing posts with label Taiwan. Show all posts

Tuesday, June 4, 2013

4 LAGI PRODUK MAKANAN TAIWAN DICEMARI ASID MALEIK

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan empat lagi produk makanan dari Taiwan dilaporkan dicemari asid maleik.

Produk berkenaan ialah 'Green Tea Tapioca Ball' dan 'Yam Tapioca Ball' keluaran syarikat Full Free Co Ltd dan 'Vegetarian Instant Rice Noodle' dan 'Rice Noodle With Thick Soup' keluaran Syarikat Long Kow Foods Corp.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Noraini Mohd Othman berkata, walaupun empat produk itu tidak diimport oleh Malaysia, namun sebagai langkah berjaga-jaga KKM tetap menyenaraikan ia sebagai antara 15 produk makanan yang digantung pengimportannya sehingga kini.

"Selain itu KKM juga mengenakan tindakan Tanah, Uji, dan Lepas terhadap produk makanan yang sama keluaran syarikat-syarikat lain di Taiwan (yang hendak diimport ke dalam negara), melainkan pengimportnya dapat mengemukakan sijil analisa daripada makmal yang diiktiraf olah FDA Taiwan, yang mengesahkan bahawa produk itu bebas asid maleik," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, KKM juga sedang memantau dengan rapi produk makanan diimport dari Taiwan yang berada di pasaran tempatan, dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenainya dengan menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM dengan menelefon 03-888 33652 atau 03-888 33653 atau layari laman web kementerian.

Rabu lepas, KKM menggantung pengimportan 11 produk keluaran beberapa syarikat makanan Taiwan, termasuk 'Tapioca Balls' atau 'Tapioca Pearls' yang diguna dalam penyediaan minuman 'Bubble Tea' kerana dilaporkan mengandungi asid maleik.

Penggunaan bahan itu tidak dibenarkan mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 kerana jika diambil pada paras tinggi, ia boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang. BERNAMA -mStar

Thursday, May 30, 2013

KEMENTERIAN KESIHATAN GANTUNG PRODUK IMPORT ‘BUBBLE TEA’ TAIWAN

Kementerian Kesihatan menggantung pengimportan 11 produk keluaran beberapa syarikat makanan Taiwan mulai semalam, termasuk ‘Tapioca Balls’ atau ‘Tapioca Pearls’ yang diguna dalam penyediaan minuman ‘Bubble Tea’ kerana dilapor mengandungi asid maleik.

Asid maleik dalam minuman ini??
Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman berkata, penggunaan bahan itu tidak dibenar mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 kerana jika diambil pada paras tinggi boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang.

“Terkini, didapati Tapioca Balls atau Tapioca Pearls yang dikeluarkan beberapa syarikat (Taiwan) telah dicemari maleic acid (asid maleik) dan ia turut dikesan di dalam beberapa produk makanan yang lain.

“Mengikut pihak Taipei Economic and Cultural Office di Malaysia, Food and Drug Administration Taiwan sedang mengambil tindakan kawalan bagi menangani isu itu,” katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata 11 produk berkenaan ialah Tapioca Ball keluaran Sunright Corporation; Tapioca Starch (Hong Kai Foods Co); Black Tapioca Pearl (Possmei International Co Ltd); Indica Rice Powder (Sunright Foods Corporation); Tapioca Pearls (Shang Wang) dan Tapioca Starch Ball (Grand Chainly Enterprises Co Ltd).

Selain itu, Tapioca Pearls (Ting Long); Noodles (Sin Chi Zhi Miang Chang); Tapioca Pearls (An Si Li) dan Tapioca Pearls White and Black (Tapioca Foods Company Ltd) juga digantung pengimportannya.

Noraini berkata, Kementerian Kesihatan juga telah mengadakan perbincangan dengan Taipei Economic and Cultural Office di sini bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi itu dan akan terus memantau makanan yang diimport dari negara berkenaan.

Sebelum ini, katanya media melaporkan terdapat asid maleik dalam Tapioca Balls dan Tapioca Pearls keluaran syarikat Taiwan Sunright Foods Corporation namun Kementerian Kesihatan mendapati tiada produk itu diimport ke Malaysia.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan menjalankan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap produk makanan daripada pengimport yang tidak mengemukakan sijil analisis makmal yang diiktiraf Food and Drug Administration Taiwan bagi mengesahkan produk itu bebas asid maleik.

Noraini juga meminta pengimport, pengedar dan penjual produk berkenaan supaya menarik semula produk itu dari pasaran dengan kadar segera selain menasihatkan industri yang menggunakan produk berkaitan supaya menghentikannya.

“Semua pihak pengimport, pengedar, penjual dan industri yang terlibat dikehendaki melaporkan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah mengenai produk yang didapati tercemar dengan asid maleik supaya siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya.

Bagaimanapun, Noraini berkata pengguna yang telah mengambil produk itu sebelum ini tidak perlu bimbang kerana pengambilan asid maleik sekali sekala pada paras rendah tidak memudaratkan kesihatan. -mStar