Tuesday, June 12, 2012

UJIAN MEMANDU GUNA KENDERAAN AUTOMATIK DITANGGUH

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan ujian memandu menggunakan kenderaan transmisi automatik yang sepatutnya dilaksanakan bulan lalu terpaksa ditangguhkan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata, penangguhan itu disebabkan kementerian masih menunggu kelulusan peruntukan untuk mencetak buku dan peralatan bagi institut memandu selaras dengan pengenalan kurikulum baru pendidikan pemandu.

"Kurikulum baru sudah tersedia dan kita jangkakan pelaksanaan ujian mungkin dibuat dalam tahun ini juga," katanya.

Abdul Rahim berkata, peruntukan yang diperlukan untuk mencetak buku dan membeli peralatan adalah kira-kira RM5 juta.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan cadangan penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu akan dilaksanakan pada bulan Mei sebagai langkah memudahkan lebih ramai rakyat negara memiliki lesen memandu terutama golongan yang telah berumur dan wanita.

Kurikulum baru itu memberi penekanan kepada usaha melahirkan pemandu yang berhemah dan berdisiplin berbanding kurikulum sebelum ini yang lebih kepada kemahiran dan pengetahuan tentang undang-undang di jalan raya. - BERNAMA


KD: Setiap perubahan pastinya mengambil masa. Jangan pula terburu-buru kerana dikhuatiri sebarang tindakan drastik akan memberi kesan atau mengganggu gugat kelancaran proses ujian memandu yang sedia ada.
LIOW TOLAK 'WWW 15'

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Isnin mengumumkan beliau menolak tawaran nombor pendaftaran 'WWW 15' yang diberikan kepadanya secara percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurutnya, beliau tidak sepatutnya menggunakan kelayakan sebagai menteri bagi mendapatkan nombor berkenaan apabila mengetaui wujudnya pembida lain bagi nombor yang sama.

Liow yang juga Timbalan Presiden MCA menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau menggunakan alasan kelayakan istimewa sebagai menteri kabinet kerana enggan membuat pembayaran bagi bidaan nombor berkenaan yang bernilai RM24,200.

Bagaimanapun beliau mengakui mengetahui serta memilih sendiri nombor 'WWW 15' ketika kakitangan kementeriannya membuat permohonan kepada JPJ.

Dengan melalui prosedur rasmi, pejabat beliau telah memohon nombor pendaftaran tersebut untuk kegunaan kenderaan rasmi menteri. Pejabat beliau telah menerima surat rasmi daripada JPJ pada 6 Jun 2012 mengesahkan kelayakan pemberian nombor pendaftaran percuma tersebut.

Dalam pada itu, Liow berkata, beliau kecewa dengan kontroversi berkenaan kerana baginya soal pemilikan nombor pendaftaran kenderaan rasminya tidak seharusnya dijadikan isu.


KD: Benarlah apa yg disangka, no plat WWW pastinya akan menjadi kontroversi. Tambahan pula apabila dikaitakan dengan pemimpin negara, maka ia pasti menjadi isu hangat. Walau bagaimanapun, pemimpin yang terlibat telah membuat keputusan & penjelasan yang wajar memuaskan hati semua pihak. 


ORANG RAMAI PERLU DIDIDIK TANGGUNGJAWAB PENGUNDI

Tanggungjawab seseorang pengundi bukan sekadar memilih pemimpin untuk penggal pilihan raya selama lima tahun, tetapi juga berfikir dan menilai secara kritis sebelum membuat keputusan yang begitu penting apabila berdepan dengan kertas undi.

Pengundi perlu dididik supaya mengenali calon yang bertanding serta memahami isu yang perlu diberi perhatian, kata Hasbeemasputra Abu Bakar, penyelaras projek Pusat Rakyat LoyarBurok (PRLB).

Menurut Hasbeemasputra, berdasarkan satu kaji selidik di Hulu Langat, ramai daripada mereka tidak kenal pun siapa anggota parlimen kawasan mereka. Kaji selidik itu dijalankan di Hulu Langat kerana kawasan berkenaan mempunyai demografi pecahan pengundi yang paling hampir dengan demografi nasional – 52.7 peratus Melayu, 36.2 peratus Cina dan 10.6 peratus India.

“Kami pilih kawasan itu kerana ia dikatakan tidak mempunyai ramai pengundi yang mengalih sokongan pada pilihan raya umum 2008 dan berdasarkan pemerhatian kami, sesetengah pengundi juga kecewa kerana beberapa janji pilihan raya tidak dikotakan,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, orang ramai perlu dididik tentang cara untuk membina rangkaian dan membuat keputusan tentang perkara yang boleh membawa perubahandalam kehidupan mereka.

“Ia tidak boleh sebaliknya di mana wakil rakyat yang dipilih menasihati anda tentang apa yang patut dilakukan. Anda perlu mengenali pemimpin anda sebelum anda mendengar nasihat mereka.

“Ini kerana, demokrasi bukan sekadar mengundi, tetapi juga mengenai tugas pengundi untuk mengetahui perkara ‘sebelum dan selepas’ proses pengundian.

“Warganegara wajar diberi pendidikan dalam hal berkaitan mengundi kerana rakyat tidak suka mengundi secara membuta tuli,” katanya.

DEMOKRASI ADA BATASANNYA – DR M

Demokrasi hanya boleh dilaksanakan apabila rakyat mengetahui tentang batasannya, kata bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Apabila rakyat fikir hanya kebebasan dalam demokrasi dan tidak tahu tentang tanggungjawab yang tersirat, maka demokrasi tidak akan memberi manfaat seperti yang dijanjikan.

“Sebaliknya, ia akan menyebabkan ketidakstabilan yang menyekat pembangunan,” kata Dr Mahathir yang menyampaikan ucapannya pada majlis konvokesyen khas di Universiti Santo Toma di Manila, Ahad.

Dr Mahathir berkata, beliau hanya merujuk tentang apa yang diperhatikan di Malaysia dan negara-negara lain terutama bagi demokrasi yang baru, di mana katanya, ia sedaya-upaya untuk mengamalkan demokrasi yang hanya menerima keputusan negatif.

“Salah satu daripada negara-negara berkenaan tidak mampu untuk maju kerana terlalu banyak demokrasi,” kata beliau.

“Kerajaan belum dipilih dan mereka mengadakan demonstrasi dan bantahan umum yang menuduh kerajaan tidak betul. Kerajaan perlu menangani kekacauan ini.

Gangguan ini juga merupakan sesuatu yang serius kerana boleh menyebabkan kerajaan baru berundur, di mana Dr Mahathir berkata, ia menyebabkan pilihan raya yang baru akan diadakan, yang hanya memberikan keputusan yang sama.

“Kenapa demokrasi tidak memberikan kehidupan yang baik seperti yang dijangkakan,” soal Dr Mahathir.

“Adalah jelas bahawa mustahil bagi rakyat untuk mengawal diri mereka. (Dan) mereka terlalu ramai dan tidak bersetuju tentang semuanya. Kerajaan di kalangan rakyat, diuruskan oleh rakyat dan akhirnya akan menjadi buntu, yang tiada kerajaan, dalam anarkinya.”

“Jadi apa yang kita lakukan?” soal Dr Mahathir. “Adakah kita menerima kegagalan demokrasi, atau adakah kita akan melakukan perubahan dan mengorbankan beberapa liberalisme dalam demokrasi supaya kita dapat menghasilkan sesuatu daripada sistem itu?”

“Saya akui bahawa Malaysia bukan demokrasi yang liberal,” kata beliau.

“Kita melihat dasar demokrasi sebagai ‘jalan mudah’ untuk mengubah kerajaan. Tiada revolusi, tiada perang saudara. Hanya mengundi dan kerajaan akan akan diturunkan atau dilantik semula menuruk pilihan rakyat.”

Dr Mahathir berkata, di Malaysia, calon-calon daripada parti pembangkang boleh menang dan telah menawan banyak kerajaan negeri.

Secara jelasnya, beliau berkata, jika rakyat mahu, mereka boleh ‘menumbangkan’ parti pemerintah di bawah sistem pilihan raya yang ada sekarang.

DIPLOMAT ASING SERTAI BERSIH 3.0?


Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau bimbang dengan laporan pembabitan diplomat asing pada demonstrasi jalanan seperti demonstrasi yang disokong oleh pembangkang di ibu negara pada 28 April lalu.

Sama ada pembabitan itu benar-benar untuk mengumpul maklumat atau sebaliknya, katanya ia pasti bukan satu langkah yang bijak.

Katanya, beliau bimbang bahawa langkah sedemikian mungkin membawa kepada beberapa persepsi negatif.

"Lebih buruk lagi, diplomat mungkin terlibat atau cedera dalam kejadian malang memandangkan keadaan demonstrasi jalanan yang tidak terkawal.

"Sekiranya ia berlaku, keadaan mungkin agak rumit, bukan sekurang-kurang daripada segi dipersalahkan pembahagian dan tanggungjawab." 

Dipetik Bernama, Anifah berkata, diplomat harus sentiasa sedar sensitiviti dengan cara negara di rantau ini mengekalkan hubungan baik antara satu sama lain.

Sumber: Sinar Harian
TANGGUH TUNAI HAJI, BERI LALUAN PRU-13 - PAS





KUALA LUMPUR 11 Jun - Semua ahli Pas yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya diminta menangguh ibadah haji bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Berita itu disiarkan oleh selangorku.com bertarikh 5 Jun lalu yang dipetik oleh http://www.rbfonline. net hari ini.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man seperti yang dipetik menerusi laporan berita itu berkata, Pas menjangkakan pilihan raya umum akan datang diadakan pada musim haji iaitu selepas bulan Ramadan antara September hingga Oktober.

Kata Tuan Ibrahim, penangguhan ibadah haji itu dianggap wajar kerana Pas memerlukan jentera parti untuk melaksanakan gerak kerja semasa berlangsungnya pilihan raya umum tersebut.



"Inilah masalah yang dihadapi negara kita berhubung tarikh pilihan raya menyebabkan rakyat susah untuk membuat perancangan. Kalau ikut pemantauan kita, memang dijangkakan pilihan raya bakal diadakan pada musim haji tahun ini.


"Kalau berlaku demikian, kita minta ahli Pas yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya sama ada sebagai calon atau wakil calon atau agen parti untuk menangguh ibadah haji ke tahun hadapan,'' kata Tuan Ibrahim seperti dipetik menerusi laporan berita itu.

Tuan Ibrahim juga berkata, jika pilihan raya diadakan pada musim haji ia akan mendatangkan kesukaran bagi pengundi yang dipilih untuk ke Mekah.

''Kita melahirkan rasa dukacita terhadap perkara ini. Takkan kita nak salahkan orang ramai untuk menunaikan ibadah haji? Kerajaan sepatutnya lebih awal tetapkan tarikh, supaya tidak mengganggu perkara-perkara lain,'' ujarnya.

Sumber: Utusan Online


KD: Tarikh pilihan raya belum diketahui tetapi Pas sudah ada perancangan awal. Tetapi kali ini melibatkan musim haji. Mungkinkah ia berlaku?