Tuesday, June 12, 2012

ORANG RAMAI PERLU DIDIDIK TANGGUNGJAWAB PENGUNDI

Tanggungjawab seseorang pengundi bukan sekadar memilih pemimpin untuk penggal pilihan raya selama lima tahun, tetapi juga berfikir dan menilai secara kritis sebelum membuat keputusan yang begitu penting apabila berdepan dengan kertas undi.

Pengundi perlu dididik supaya mengenali calon yang bertanding serta memahami isu yang perlu diberi perhatian, kata Hasbeemasputra Abu Bakar, penyelaras projek Pusat Rakyat LoyarBurok (PRLB).

Menurut Hasbeemasputra, berdasarkan satu kaji selidik di Hulu Langat, ramai daripada mereka tidak kenal pun siapa anggota parlimen kawasan mereka. Kaji selidik itu dijalankan di Hulu Langat kerana kawasan berkenaan mempunyai demografi pecahan pengundi yang paling hampir dengan demografi nasional – 52.7 peratus Melayu, 36.2 peratus Cina dan 10.6 peratus India.

“Kami pilih kawasan itu kerana ia dikatakan tidak mempunyai ramai pengundi yang mengalih sokongan pada pilihan raya umum 2008 dan berdasarkan pemerhatian kami, sesetengah pengundi juga kecewa kerana beberapa janji pilihan raya tidak dikotakan,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, orang ramai perlu dididik tentang cara untuk membina rangkaian dan membuat keputusan tentang perkara yang boleh membawa perubahandalam kehidupan mereka.

“Ia tidak boleh sebaliknya di mana wakil rakyat yang dipilih menasihati anda tentang apa yang patut dilakukan. Anda perlu mengenali pemimpin anda sebelum anda mendengar nasihat mereka.

“Ini kerana, demokrasi bukan sekadar mengundi, tetapi juga mengenai tugas pengundi untuk mengetahui perkara ‘sebelum dan selepas’ proses pengundian.

“Warganegara wajar diberi pendidikan dalam hal berkaitan mengundi kerana rakyat tidak suka mengundi secara membuta tuli,” katanya.

No comments:

Post a Comment