Thursday, December 20, 2012

MAKLUMAT PALSU RUSUHAN KAUM DI KEDAH
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan maklumat palsu yang tersebar berhubung rusuhan kaum kononnya kini berlaku di Kuala Muda, Kedah.

Beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu itu yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia boleh mengundang bahaya kepada keamanan negara. 

 “Saya harap masyarakat jangan mudah percaya dengan berita yang kini banyak tersebar di laman sosial Facebook, Twitter, blog-blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) itu.

“Kita harap pihak yang menyebarkan berita-berita palsu itu berhenti berbuat demikian dan sekiranya perkara ini berlarutan, kita akan siasat dan cari dalang di sebalik perbuatan itu,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Unit Rondaan Bermotosikal oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, semalam.

Kelmarin, beberapa blog dan laman sosial termasuk SMS giat menyebarkan berita mengenai rusuhan kaum yang didakwa berlaku di Kuala Muda sehingga mengakibatkan kematian. Malah, beberapa tindakan ekstrem turut didakwa berlaku di daerah itu, sehingga menimbulkan kekecohan kepada semua.

Selain itu, maklumat palsu itu juga mendakwa perintah darurat turut dikeluarkan PDRM bagi penduduk di kawasan itu untuk faktor keselamatan mereka. 

Beliau berkata segala kenyataan dan gambar yang dimuat naik berhubung ‘insiden’ pergaduhan itu ternyata tidak benar dan orang ramai sewajarnya merujuk perkara itu pada polis terlebih dulu sebelum mempercayainya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata arahan sudah dikeluarkan kepada polis Kedah untuk memantau semua rangkaian sosial terutama Facebook, Twitter dan sebagainya bagi mengekang penyebaran maklumat palsu itu. -BHarian



KD: Orang awam jangan panik, apatah lagi bertindak di luar batasan.. biar pihak polis yang mgendalikan insiden ini.. 

MELAYU PUNCA RASUAH: CUEPACS MAHU DAP HENTI TUDUH KAKITANGAN AWAM

KUALA LUMPUR: CUEPACS memberi amaran kepada DAP supaya berhenti membuat sebarang tuduhan ke atas penjawat awam sambil menegaskan bahawa kakitangan kerajaan tidak seharusnya dijadikan mangsa politik pembangkang.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya amat kecewa dengan dakwaan Naib Pengerusi DAP, Senator Dr Ariffin SM Omar yang mendakwa rasuah berpunca daripada monopoli kaum Melayu dalam perkhidmatan awam.

Penjawat awam jadi sasaran

“CUEPACS hairan mengapa pembangkang sering menjadikan penjawat awam sebagai sasaran mereka. Tahun lalu mereka (pembangkang) kata mahu mengurangkan bilangan penjawat awam jika berjaya mengambil alih kerajaan Pusat.

“Sekarang ini pula dakwa rasuah berpunca daripada monopoli kaum Melayu dalam perkhidmatan awam, ini satu tuduhan serius kerana dakwaan itu bukan saja tidak benar malah menghina penjawat awam khususnya orang Melayu yang berkhidmat dalam kerajaan,” katanya kepada BH, semalam. -BHarian
RASUAH BERPUNCA DARIPADA MONOPOLI KAUM MELAYU ?

KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP baru dilantik, Senator Dr Ariffin SM Omar menghina bangsanya sendiri dan penjawat awam kerana mendakwa rasuah berpunca daripada monopoli Melayu dalam perkhidmatan awam.

Ini kerana rasuah tidak boleh dikaitkan dengan aspek bangsa, sebaliknya ia berkait rapat dengan iman, moral dan jati diri seseorang sama ada beragama Islam atau sebaliknya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan, dakwaan Ariffin bukan setakat mencerminkan kecetekan fikirannya, malah menghina Melayu yang juga bangsanya sendiri sedangkan beliau sendiri tahu tiada kajian membuktikan dakwaan seumpama itu.

“Dakwaan itu menyakitkan hati penjawat awam, khususnya orang Melayu. Ironinya, dia sendiri diperlekeh dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP apabila perwakilan yang majoritinya Cina menolak beliau.

Pelantikan hanya sandiwara

“Pelantikan beliau sebagai Naib Pengerusi DAP hanyalah sandiwara pemimpin DAP untuk menunjukkan kononnya parti itu mempraktikkan kepelbagaian bangsa,” katanya kepada BH, di sini semalam.

Pada Kongres DAP di Pulau Pinang minggu lalu, Ariffin dilaporkan mencadangkan rombakan besar-besaran dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan perkhidmatan awam lain jika pembangkang menawan Putrajaya bagi memastikan agensi kerajaan tidak didominasi kaum Melayu dengan alasan untuk mengekang rasuah.

Ariffin menyertai DAP pada 2011 kononnya atas keyakinan parti itu mempraktikkan konsep kepelbagaian bangsa dan menolak perkauman.

Ahli MT UMNO, Datuk Idris Haron berkata, dakwaan Ariffin bukan setakat tidak berasas malah boleh menjejaskan perpaduan kaum di negara ini kerana mungkin bangsa lain memandang serong kepada penjawat awam Melayu.

“Rasuah adalah penyakit yang tiada kaitan dengan kaum tertentu. Ariffin seharusnya berfikir secara menyeluruh bahawa kaedah menangani rasuah adalah dengan menyediakan program meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rasuah, sistem kerja telus dan penguatkuasaan undang-undang secara berkesan.

“Ariffin cuba menonjolkan dirinya sebagai pemimpin DAP daripada Melayu semata-mata untuk menambat hati pemimpin DAP supaya dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak,” katanya.

Sehubungan itu, Idris merayu masyarakat Melayu, terutama pengundi supaya membuat penilaian secara bijak, fungsi orang Melayu dalam DAP tidak lebih daripada sekadar kuda tunggangan pemimpin parti itu untuk meraih sokongan Melayu. -BHarian


KD: Kerana pulut pandan binasa, kerana mulut badan binasa..
UNIT RONDAAN BERMOTOSIKAL AKAN DIPERLUAS

Serdang: Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis akan diperluaskan jika operasi itu berkesan mengurangkan jenayah serta bagi memenuhi tuntutan rakyat yang mahu menikmati kesejahteraan hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kajian keberkesanannya dinilai semula dalam enam bulan selepas pelancarannya semalam.
Katanya, jika ‘buddy system’, iaitu dua anggota menunggang motosikal pada setiap masa didapati berkesan dan amat berfaedah, kerajaan sanggup menambah bilangan anggotanya.

Beliau berkata, URB yang diumumkan dalam Bajet 2013 sepatutnya dilaksanakan pada bulan depan tetapi dipercepatkan pada bulan ini kerana kerajaan sangat serius dan komited memerangi jenayah.

Komited perangi jenayah

“Tak payah tunggu Bajet 2014... Bajet 2013 kita boleh tambah lagi untuk tunjuk yang kita komited dan serius memerangi jenayah,” katanya ketika melancarkan URB di Bandar Kinrara, Puchong di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Ketika membentangkan Bajet 2013, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk membeli 1,000 motosikal menerusi URB untuk mengurangkan jenayah khususnya pemantauan kawasan perumahan.

Najib berkata, URB akan melakukan rondaan 24 jam di kawasan perumahan dalam tiga syif, iaitu empat jam setiap syif serta kawasan sibuk seperti kawasan perniagaan, perindustrian, taman rekreasi dan sekolah.

Bermula di 4 negeri

Katanya, pada peringkat permulaan, sebanyak 560 daripada 1,000 unit motosikal Kawasaki Ninja 250 dilengkapi sistem lampu dan siren disediakan untuk program di empat negeri, iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, jika ada rondaan terutama pada waktu malam, kadar jenayah dapat dikurangkan kerana peluang melakukan jenayah akan tertutup.

“Jika mereka melihat ada peluang penjenayah akan melakukan jenayah seperti pecah rumah dan curi kereta atau motosikal kerana mereka dapat melarikan diri dan tak dapat diberkas polis. Di sinilah keberkesanan URB untuk membanterasnya,” katanya.