Thursday, December 20, 2012

UNIT RONDAAN BERMOTOSIKAL AKAN DIPERLUAS

Serdang: Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis akan diperluaskan jika operasi itu berkesan mengurangkan jenayah serta bagi memenuhi tuntutan rakyat yang mahu menikmati kesejahteraan hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kajian keberkesanannya dinilai semula dalam enam bulan selepas pelancarannya semalam.
Katanya, jika ‘buddy system’, iaitu dua anggota menunggang motosikal pada setiap masa didapati berkesan dan amat berfaedah, kerajaan sanggup menambah bilangan anggotanya.

Beliau berkata, URB yang diumumkan dalam Bajet 2013 sepatutnya dilaksanakan pada bulan depan tetapi dipercepatkan pada bulan ini kerana kerajaan sangat serius dan komited memerangi jenayah.

Komited perangi jenayah

“Tak payah tunggu Bajet 2014... Bajet 2013 kita boleh tambah lagi untuk tunjuk yang kita komited dan serius memerangi jenayah,” katanya ketika melancarkan URB di Bandar Kinrara, Puchong di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Ketika membentangkan Bajet 2013, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk membeli 1,000 motosikal menerusi URB untuk mengurangkan jenayah khususnya pemantauan kawasan perumahan.

Najib berkata, URB akan melakukan rondaan 24 jam di kawasan perumahan dalam tiga syif, iaitu empat jam setiap syif serta kawasan sibuk seperti kawasan perniagaan, perindustrian, taman rekreasi dan sekolah.

Bermula di 4 negeri

Katanya, pada peringkat permulaan, sebanyak 560 daripada 1,000 unit motosikal Kawasaki Ninja 250 dilengkapi sistem lampu dan siren disediakan untuk program di empat negeri, iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, jika ada rondaan terutama pada waktu malam, kadar jenayah dapat dikurangkan kerana peluang melakukan jenayah akan tertutup.

“Jika mereka melihat ada peluang penjenayah akan melakukan jenayah seperti pecah rumah dan curi kereta atau motosikal kerana mereka dapat melarikan diri dan tak dapat diberkas polis. Di sinilah keberkesanan URB untuk membanterasnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment