Monday, April 8, 2013

ISU CEC DAP: TINDAKAN AMBIGA BERDIAM DIRI DISELAR

KUALA LUMPUR - Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk S. Ambiga diselar kerana tidak konsisten dalam memperjuangkan pilihan raya yang bebas serta adil kerana terus berdiam diri dalam isu pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP hujung tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin MIC, Tan Sri K.S. Nijhar berkata, Ambiga memilih untuk mendiamkan diri apabila berhadapan dalam isu pemilihan CEC itu meskipun didakwa terdapat kira-kira 700 perwakilan yang dinafikan hak mengundi.

Malah, tegas beliau, CEC yang berlangsung itu juga mendapat pelbagai aduan seperti penipuan dalam proses pengundian, manipulasi undi dan perwakilan haram.

"Semua itu merupakan isu serius yang membabitkan pilihan raya yang adil serta bebas tetapi Ambiga sebaliknya hanya diam seribu bahasa dalam pemilihan parti DAP tersebut.

"Sepatutnya, Ambiga meminta Pertubuhan Pendaftar (ROS) menyiasat dan bertindak untuk menentang DAP. Sikap tidak konsisten Ambiga itu telah merosakkan kredibilitinya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Keputusan pemilihan CEC pada 15 Disember 2012 itu menyaksikan tiada seorang pun calon Melayu terpilih tetapi selepas 19 hari berlalu, DAP tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam penjadualan undi dan mengisytiharkan Setiausaha Politik Guan Eng, Zairil Khir Johari sebagai salah seorang anggota CEC.

Insiden itu membawa kepada peletakan jawatan Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong selain beberapa ahli parti bertindak membuat aduan kepada ROS berikutan kebimbangan mereka terdapat unsur manipulasi dalam keputusan itu.

Mengulas lanjut lanjut, Nijhar turut memberitahu, beliau menghormati serta mengagumi mereka yang benar-benar memperjuangkan pilihan raya yang adil dan bebas.

"Saya menghormati mana-mana individu memperjuangkan pilihan raya adil dan bebas tetapi hanya kepada mereka yang tidak memilih bulu," kata beliau lagi. – Utusan Melayu
DAKWA SOLAT ORANG UMNO TIADA PAHALA, NIK AZIZ TERUS DIBIDAS

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus dibidas ekoran kenyataannya yang mendakwa solat orang UMNO tidak mendapat pahala kerana kononnya parti itu menolak Islam.


Orang Melayu seharusnya bersatu

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri, Datuk Dr. Abd. Wahid Manap berkata, sebagai orang Melayu dan Islam, Nik Abdul Aziz tidak seharusnya melemparkan tuduhan sedemikian yang nyata tidak berasas.

"Siapa Nik Abdul Aziz untuk menentukan solat seseorang Islam itu mendapat pahala atau tidak? Perkasa amat sedih dengan kenyataan Mursyidul Am Pas tersebut yang sering mempermain-mainkan hukum agama demi kepentingan politiknya.

"Orang Melayu seharusnya bersatu, bukan cuba memecahbelahkan antara satu sama lain, adakah Nik Abdul Aziz ingin melihat orang Melayu dan Islam di negara ini bermusuhan dan bergaduh antara satu sama lain?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Nik Aziz perlu jaga status sebagai MB

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, Nik Abdul Aziz juga sewajarnya menjaga status beliau sebagai seorang Menteri Besar, pemimpin tertinggi sebuah kerajaan negeri dan parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.

"Jangan sesuka hati keluarkan kenyataan sebab rakyat mendengar dan sudah tentu ia boleh memberi kesan negatif kepada rakyat dan negeri Kelantan," katanya. –Utusan Online
UMNO BINA MASJID BUKAN SEBAB ISLAM - NIK AZIZ

KOTA BHARU - Setelah menuduh solat orang UMNO tidak mendapat pahala, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa, UMNO membuat masjid bukan kerana Islam sebaliknya mahu menjadi kontraktor.

Malah, Menteri Besar Kelantan itu berkata, program-program berkaitan Islam yang dilakukan UMNO juga tidak mendapat pahala kerana parti tersebut menolak Islam.

"Di Kelantan ini banyak mana projek-projek Kerajaan Pusat buat, sepatah pun tidak memberitahu harga sebenar.

"Tentu ada benda yang tersembunyi, orang Melayu panggil 'sambil menyelam sambil minum air'. UMNO pula 'sambil menyelam sambil bekwoh (kenduri)'. Bukan setakat minum sahaja, makan besar," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Projek Pawah Rusa di Kompleks Perkhidmatan Veterinar, di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya dalam ceramah di Kampung Jambu dekat sini, 3 April lalu, yang mendakwa sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala kerana mendakwa parti itu menolak dasar Islam.

Mengenai dakwaannya itu, Nik Abdul Aziz dengan angkuh mempertahankannya dengan menegaskan, orang UMNO bermakna orang yang menolak Islam dan sembahyang mereka sememangnya tidak akan memperoleh sebarang ganjaran pahala.

Beliau berkata, orang Melayu sepatutnya menerima Islam dengan sepenuhnya dan menolak Islam bermakna mereka turut menolak Allah SWT.

Dakwaan Nik Abdul Aziz itu dibidas banyak pihak terutama golongan ulama seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Pengerusi Biro Agama Nadi Rakyat Malaysia, Rujhan Abd. Rahman dan Pengerusi Biro Bertindak Agama Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff al-Hafiz.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz menyifatkan manifesto yang diumumkan Barisan Nasional (BN) demi kesejahteraan rakyat malam tadi sebagai mengarut.  –Utusan Online

KD: Bagaimana pula dengan laporan ini?


MENJELANG PRU13: DAP BOLEH GUNA LAMBANG PAS

ALOR SETAR - Pas tidak akan menarik semula persetujuannya membenarkan DAP menggunakan lambang parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) meskipun menimbulkan keresahan ahlinya di peringkat akar umbi.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kebenaran berkenaan diberikan kerana Pas dan DAP mempunyai persefahaman bersama atas konsep resolusi yang disepakati antara parti dalam pakatan pembangkang.

"Kita bersedia beri DAP guna lambang Pas kalau DAP tidak diizinkan menggunakan lambangnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena pelancaran manifesto PRU-13 pakatan pembangkang khusus untuk negeri ini di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang semut di sini malam tadi.

Baru-baru ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyuarakan hasrat untuk bertanding menggunakan lambang Pas dalam PRU-13 jika Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran DAP ekoran kesilapan pada pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu tahun lalu.

Bagaimanapun kenyataan tersebut menimbulkan keresahan ahli Pas di peringkat akar umbi malah bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha secara tegas menyatakan ahli-ahli parti akan menghukum parti itu pada PRU-13 jika benar keadaan tersebut berlaku.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa turut bersuara dalam isu berkenaan dengan meminta Kit Siang dan Pengerusi DAP, Karpal Singh membuat pengumuman secara terbuka supaya semua ahli Pas tahu pendirian mereka terhadap tiga perkara utama yang menjadi dasar perjuangan Pas sebelum meneruskan hasrat menggunakan lambang parti tersebut,

Dalam pada itu, Abdul Hadi menyifatkan Nasharudin sebagai seorang ahli Pas biasa yang tidak mengikuti perkembangan mengenai isu penggunaan lambang parti tersebut oleh DAP.

"Dia lama tidak hadir mesyuarat, tidak ikut perkembangan. Kita anggap beliau seorang ahli biasa yang tidak ikut perkembangan," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi mendakwa, pakatan pembangkang telah memuktamadkan 99 peratus senarai calon yang akan bertanding pada PRU-13. –Utusan Online