Wednesday, January 16, 2013

WARTA TEMPAT KHAS UNTUK PERHIMPUNAN AWAM

Mat Sabu: Terima kasih kerana #KL112 aman
Stadium Merdeka menjadi lokasi Perhimpunan KL112
KUALA LUMPUR - Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee menyarankan agar kerajaan mewartakan satu tempat untuk mengadakan perhimpunan awam dalam usaha memastikan ia berjalan secara aman.

Katanya, perkara itu juga bakal mencerminkan tindakan kerajaan dalam mematuhi hak kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga berkata, Akta Perhimpunan Aman perlu dikaji semula bagi memasukkan pindaan yang dicadang oleh Majlis Peguam.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata pindaan itu akan menjadikan undang-undang tersebut lebih progresif.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih perlu mewarta mana-mana tempat sebagai venue untuk mengadakan perhimpunan awam.

"Tempat itu ialah di mana perhimpunan boleh diadakan tanpa sebarang keperluan untuk pemberitahuan awal, atau mendapat keizinan pemilik atau penghuninya," katanya.

Sementara itu, dalam pembentangan bertajuk 'National Harmony: To Be Nurtured By Leadership and Not Compelled By Legislation' pada Persidangan Transformasi

Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan dan Hak Asasi hari ini, Chee Wee berkata, dalam kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia, kerajaan telah mengiktiraf keperluan memperkukuh perpaduan nasional.

"Bagi mencapai objektif ini, kerajaan telah mengumumkan pemansuhan undang-undang tidak popular seperti Akta Hasutan, yang pada mulanya diganti dengan Akta Perhubungan Kaum dan kini oleh Akta Keharmonian Nasional.

"Hari ini dan esok menyediakan peluang lebih baik untuk menggambarkan cara melindungi serta menggalakkan perhubungan antara kaum yang seimbang berbanding kebebasan bersuara," katanya.

Beliau juga berkata hubungan antara kaum bukanlah suatu perkara yang mudah dan boleh ditangani dengan sekadar menggubal undang-undang. – Bernama/Sinar Harian
HENTIKAN ISU KALIMAH, HORMATI MAJLIS FATWA

KUALA LUMPUR - Semua pihak diingat untuk mematuhi peraturan dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung penggunaan kalimah ALLAH yang telah diputuskan sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, isu itu sepatutnya dihentikan dan semua pihak menghormati sensitiviti antara kaum.

“Kita masih tetap dengan pendirian sebelum ini mengikut peraturan dan fatwa yang telah dikeluarkan. Saya harap semua pihak mendengar dan mematuhi keputusan yang telah dibuat.

Jamil Khir Baharom“Jangan cuba untuk mengelirukan umat Islam dan masyarakat umum dalam hal berkaitan,” katanya selepas majlis penyerahan cek hasil kutipan malam Demi Palestin  anjuran TV AlHijrah, hari ini.

Kelmarin, Majlis Syura Pas memutuskan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh bukan Islam berikutan kemarahan masyarakat Islam terutama mufti dan cendekiawan Islam terhadap pendirian asal Nik Aziz dan juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong saranan DAP itu.

Mengulas lanjut mengenai tindakan Pas itu, Jamil Khir berkata, pihaknya sentiasa kekal dengan pendirian dan keputusan yang telah dibuat.

“Kita kekal dengan keputusan yang telah dibuat, kita tidak ada U-turn.

“Kita lihat begini benda itu dalam Mahkamah Rayuan, wajar kita hormati mahkamah, dan kita perlu hormati sensitiviti semua pihak,” katanya yang tidak mahu perkara itu dipanjangkan lagi. -Sinar Harian
KALIMAH ALLAH: DAP PERAK SETUJU MAJLIS SYURA

IPOH - Isu berkenaan kalimah ALLAH tidak harus diperbesarkan sebaliknya perlu dibuat perbincangan bagi menyelesaikannya.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Majlis Syura Ulama Pas bahawa kalimah ALLAH adalah universal dan sesiapa pun boleh menyebutnya.

Beliau berkata, setiap agama mempercayai bahawa wujudnya satu tuhan iaitu ALLAH cuma setiap agama berbeza perspektif dalam mempercayainya.

“Saya yakin kebanyakan agama di dunia meyakini tuhan itu satu tetapi konsep ketuhanan itu sedikit berbeza.

“Saya juga bersetuju bahawa bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah ALLAH untuk maksud yang lain,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Koo Ham berkata demikian ketika mengulas Keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan bahawa perkataan ALLAH tidak boleh digunakan di dalam kitab mana-mana agama di negara ini.

Menurut Koo Ham lagi, asal perkataan ALLAH itu sebenarnya diterjemah daripada bahasa Arab bukan bahasa Inggeris seperti di dalam Bible sekarang ini. –Sinar Harian
KALIMAH ALLAH: HADI, NIK AZIZ PATUT MINTA MAAF

SEMPORNA - Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu memohon maaf dan bertaubat berhubung kenyataan mereka sebelum ini yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan istilah ALLAH dalam kitab Bible Bahasa Melayu.

Menegaskan demikian, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata, sebagai manusia biasa kedua-dua pemimpin berkenaan perlu mengakui kesilapan mereka dan meminta maaf secara terbuka kepada semua umat Islam.

"Selaku pemimpin, mereka perlu berhati-hati kerana kita ini bercakap bukan soal politik tetapi soal agama. Agama ini bagi kita umat Islam adalah pegangan akidah.

"Sepatutnya tidak semudah itu merelakan atau membenarkan kalimah ALLAH digunakan oleh agama lain," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi, Kg Pulaggu Mabul di Pulau Mabul di sini, hari ini.

Nasir mengulas perubahan pendirian kedua-dua pemimpin berkenaan berhubung penggunaan istilah ALLAH selepas Majlis Syura Ulama Pas memutuskan bahawa penggunaan istilah itu adalah khusus untuk agama Islam sahaja dan tidak boleh diguna agama lain.

Nasir yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Semporna dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Senallang berkata, adalah jelas bahawa pemimpin Pas berkenaan lebih mengutamakan agenda politik pakatan pembangkang untuk berkuasa sehingga sanggup membelakangkan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Menurut Nasir pertikaian berhubung penggunaan istilah ALLAH itu tidak sepatutnya timbul kerana Majlia Fatwa Kebangsaan sudah membincangkan perkara itu dan telah memutuskan bahawa penggunaan istilah ALLAH hanya khusus untuk agama Islam sahaja. 

"Saya rasa pihak majlis fatwa negeri-negeri dan majlis fatwa kebangsaan sudah pun membincangkan perkara ini dan keputusan pun telah diambil," katanya. – Bernama/Sinar Harian