Wednesday, January 16, 2013

HENTIKAN ISU KALIMAH, HORMATI MAJLIS FATWA

KUALA LUMPUR - Semua pihak diingat untuk mematuhi peraturan dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung penggunaan kalimah ALLAH yang telah diputuskan sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, isu itu sepatutnya dihentikan dan semua pihak menghormati sensitiviti antara kaum.

“Kita masih tetap dengan pendirian sebelum ini mengikut peraturan dan fatwa yang telah dikeluarkan. Saya harap semua pihak mendengar dan mematuhi keputusan yang telah dibuat.

Jamil Khir Baharom“Jangan cuba untuk mengelirukan umat Islam dan masyarakat umum dalam hal berkaitan,” katanya selepas majlis penyerahan cek hasil kutipan malam Demi Palestin  anjuran TV AlHijrah, hari ini.

Kelmarin, Majlis Syura Pas memutuskan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh bukan Islam berikutan kemarahan masyarakat Islam terutama mufti dan cendekiawan Islam terhadap pendirian asal Nik Aziz dan juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong saranan DAP itu.

Mengulas lanjut mengenai tindakan Pas itu, Jamil Khir berkata, pihaknya sentiasa kekal dengan pendirian dan keputusan yang telah dibuat.

“Kita kekal dengan keputusan yang telah dibuat, kita tidak ada U-turn.

“Kita lihat begini benda itu dalam Mahkamah Rayuan, wajar kita hormati mahkamah, dan kita perlu hormati sensitiviti semua pihak,” katanya yang tidak mahu perkara itu dipanjangkan lagi. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment