Tuesday, November 6, 2012


PAS PERLU TEGUR NURUL IZZAH

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Para ulama Pas dicabar menyatakan pendirian mereka berhubung kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bahawa orang Melayu bebas memilih agama mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya berkata, sebagai rakan sekutu dalam pakatan pembangkang, Pas yang didakwa sebuah parti Islam perlu membuat teguran itu agar masyarakat tidak terkeliru seolah-olah mereka mengizinkan fahaman pluralisme diamalkan di negara ini.

''Hukum ini berkaitan akidah iaitu demi mempertahankan agama, mereka yang arif berhubung hukum Islam mesti bersuara apabila ada orang cuba membebaskan keterikatan agama yang dipegang oleh orang Melayu.

''Dalam isu ini, lebih baik sekiranya dia (Nurul Izzah) jahil atau tidak faham potongan ayat tersebut, jangan bercakap atau rujuk kepada mereka yang lebih autoriti. Dia boleh memanfaatkan Dewan Ulama Pas untuk mendapatkan pandangan, jangan kita hanya bercakap sesuka hati,'' katanya. -UtusanOnline

TAUFAN SANDY BALASAN TUHAN

NEW YORK 6 Nov. - Tiga pemimpin agama tempatan menyatakan, Taufan Sandy yang melanda pantai timur Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan kemusnahan besar adalah kesan daripada kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Paderi Luke Robinson dari Gereja Quinn Chapel AME di Frederick, Maryland berkata, Sandy melanda New York City selepas Datuk Bandar Michael Bloomberg menyumbang dana kepada satu kempen di Maryland yang mempertahankan undang-undang perkahwinan sejenis di negeri itu.

"Bloomberg telah menyumbang sebanyak AS$250,000 (RM750,000) untuk kempen itu dan datang ke Maryland untuk membincangkan masalah tersebut.

"Ketika beliau berada di Maryland, seseorang telah berbisik menyatakan, 'Lebih baik kamu pulang ke rumah dan membuat bekalan kerana Tuhan sedang memberi hukuman'," kata Robinson seperti yang dilaporkan akhbar Washington Blade.

Menurut laporan akhbar tersebut, kenyataan paderi itu dibuat ketika beliau berucap di hadapan satu perhimpunan yang menentang perkahwinan sejenis di Maryland.

Jelas Robinson seperti yang dilapor akhbar tersebut, Sandy melanda AS minggu lalu ketika berakhirnya musim taufan.

"Taufan itu turut melanda Maryland, tetapi atas kuasa Tuhan, bencana alam itu tidak mengganas di sini," katanya.

Seorang lagi ketua agama, Noson Leiter dari pertubuhan Yahudi Torah Jews for Decency turut menyatakan perkara sama apabila menyifatkan Taufan Sandy sebagai balasan Tuhan disebabkan undang-undang perkahwinan sejenis yang disokong di New York.

Terdahulu, seorang lagi paderi, John McTernan di laman webnya mengaitkan Taufan Sandy dengan amalan LGBT dan pendirian Obama yang menyokong perkahwinan sejenis.

"Tuhan telah merancang untuk memusnahkan Amerika. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada negara kita tahun ini," katanya. – AGENSI/UtusanOnline
KASE DEDAH BUKTI KELEMAHAN AES

KUALA LUMPUR - Kempen Anti Saman Ekor (Kase) sekali lagi mendesak kerajaan menarik balik saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikeluarkan, terutama di Kilometer 6.6, Jalan Kajang Puchong (SKVE).

Penasihat Undang-Undang Kase, Zulhazmi Shariff berkata, pihaknya berjaya mengesan beberapa bukti menunjukkan ada kelemahan perlaksanaan AES ini.

Menurutnya, sebelum ini Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Jaafar Mohamad memberitahu AES mempunyai kelonggaran (buffer speed limit) sebanyak 10km/sejam.

Bagaimanapun, Kase mendapati pemandu yang didakwa menerima saman bawah had laju yang ditetapkan JPJ.

“Salah satu saman yang diterima adalah di Kilometer 6.6 SKVE, menunjukkan pemandu terbabit melakukan kesalahan Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, atas kesalahan gagal mematuhi isyarat lalu lintas dan had laju yang ditetapkan 80km sejam.

“Sedangkan lokasi yang dimaklumkan dalam laman web JPJ, menunjukkan had laju kilometer 6.6 SKVE yang ditetapkan adalah 90km/sejam. Ini bukan buffer, tetapi pengurangan had laju, sepatutnya apabila ada yang memandu lebih 101km/sejam barulah disaman,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Menurutnya, saman AES lebih bercelaru apabila penerima saman terbabit diminta hadir ke Mahkamah Majistret Sepang, bukannya Kajang.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan dikeluarkan  Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Leslie Leon kelmarin membuktikan AES didakwa ada kelemahan. -SinarHarian
NURUL IZZAH DIKECAM

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan, ahli-ahli akademik dan aktivis Islam mengecam kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar kelmarin bahawa kebebasan beragama di negara ini sepatutnya diguna pakai secara sama rata termasuk orang Melayu.

Antara yang bangkit bersuara ialah Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim, Jalur Tiga, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Lembaga Penasihat Pelajaran Islam, Institut Kajian Islam dan Strategi (ISSI), aktivis Pas dan bekas aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia.

Mereka juga meminta pihak berkuasa agama Islam bertindak kerana kenyataan sedemikian telah menjadi isu dan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat. –UtusanOnline

NURUL IZZAH CUBA GADAI ISLAM, MELAYU

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bahawa rakyat termasuk orang Melayu tidak harus dipaksa mengamalkan agama tertentu adalah bukti Islam digadai secara terang-terangan.

Malah Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip yakin, kenyataan itu juga sebahagian daripada hasrat pakatan pembangkang sekiranya mereka berjaya memerintah negara kelak.

"Kita tidak perlu terkejut jika pakatan pembangkang memerintah, kebebasan beragama ini berlaku dan kedudukan Islam dan Melayu sudah tidak dipelihara.

"Saya mencabar Nurul Izzah, bagi menterjemahkan hasratnya yang mahu Melayu bebas memilih agama agar mengisytiharkan anaknya tidak akan diajar dan dididik secara Islam sehingga berusia 21 tahun, biar anaknya menentukan agama mana yang hendak dianuti," katanya kepada Utusan Malaysia.
AES: PAS PERAK SEDIA GUAMAN PERCUMA
Misbahul Munir Masduki
Misbahul Munir (dua, kanan) menunjukkan nombor khidmat guaman untuk dihubungi.

IPOH – Pas Perak menyediakan khidmat guaman percuma kepada orang ramai yang mahu membela diri di mahkamah, setelah menerima saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjayanya, Misbahul Munir Masduki berkata, khidmat guaman yang disediakan melalui Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pas Negeri itu diharap dapat membantu orang ramai khususnya mereka yang enggan membayar kompaun yang dikenakan dan mahu membawa perkara tersebut ke mahkamah.

Menurutnya, memang secara dasarnya kita mahu agar rakyat di negeri ini bersuara di mahkamah bagi menentang pelaksanaan AES ini. Jangan bayar kompaun, sebaliknya cabar perkara ini di mahkamah.

“Untuk memudahkan lagi orang ramai mendapatkan khidmat guaman ini, kita juga ada menyediakan peguam di semua 20 kawasan Pas di seluruh negeri.“Bagaimanapun, kita hanya menyediakan khidmat guaman sahaja sementara kos-kos lain pula perlu ditanggung sendiri oleh orang ramai,” katanya padasidang media sempena mengumumkan khidmat guaman percuma yang disediakan

Pas Perak bagi membantu orang ramai atau ‘mangsa’ kepada pelaksanaan sistem AES ini.

Hadir sama,  Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pas Negeri, Mohd Zamri Ibrahim, Timbalan Pengarahnya, Mohd Fitri Asmuni dan Penolong Setiausaha Pemuda Pas Negeri,  Safarizal Mohd Saleh.

Terdahulu, Misbahul berkata, orang ramai yang berminat menggunakan khidmat guaman yang disediakan itu boleh berbuat demikian dengan menghubungi pihak Pas di talian 013-3493848 atau datang sendiri ke Pejabat Pas Negeri di sini. -SinarHarian
AES BERI IMPAK POSITIF

AESKUALA LUMPUR - Kerajaan cukup yakin penggunaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mampu mengurangkan risiko kemalangan ekoran meningkatnya jumlah kenderaan di jalan raya di negara ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata teknologi tersebut yang diguna pakai di 90 buah negara termasuk Singapura dan Thailand, telah menunjukkan keberkesanan dan menampakkan kesan positif.

"Risiko akan bertambah apabila bilangan kenderaan meningkat. Jadi kita perlu mekanisme ini untuk menangani masalah kemalangan kerana untuk meletakkan tanggungjawab kepada polis semata-mata adalah sukar," katanya ketika ditemui Bernama.

Katanya dengan pertambahan sejuta kenderaan setiap tahun, sistem itu sesuai untuk membentuk sikap berhemah dan berdisiplin di kalangan pengguna jalan raya.

"Pada tahun lepas jumlah kemalangan dicatat sebanyak 450,000 yang mana melibatkan kematian seramai 6,871 orang atau 19 kematian sehari," jelasnya.
  
Abdul Rahim berkata keputusan kerajaan melaksanakan sistem tersebut bukan dilakukan secara terburu-buru sebaliknya melalui beberapa proses termasuk kajian pada tahun 2003 sebelum Kabinet bersetuju mengenai pelaksanaannya pada tahun 2006.

Bagaimanapun, katanya setakat ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menangguh pelaksanaannya biarpun didesak oleh pelbagai pihak termasuk Anggota Parlimen dan parti politik.

"Saya percaya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga mahu melihat perkara ini berkesan untuk melindungi rakyat. Apa saja keputusan kerajaan adalah untuk mensejahterakan rakyat.

"Kalau kita tidak buat salah, tidak perlu takut. Apa yang penting kita pandu saja ikut had laju dan jangan membahayakan orang lain di jalan raya," katanya.

Menurut Abdul Rahim, berdasarkan penurunan jumlah saman atau kesalahan yang dilakukan, ia menunjukkan lebih ramai yang telah sedar berhubung keselamatan di jalan raya.

Pemasangan kamera AES dilakukan secara berperingkat yang mana untuk fasa pertama, kamera tersebut dipasang di 14 daripada 831 lokasi yang dikenal pasti sebagai lokasi sering berlaku kemalangan maut.

Antara kawasannya ialah Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. – Bernama/SinarHarian