Wednesday, October 17, 2012

HASAN ALI TETAP BERSAMA PAS WALAUPUN TERUS DEDAH KEPINCANGAN PARTI ITU

BESUT: Bekas Naib Presiden PAS Datuk Dr Hasan Ali berkata beliau akan tetap bersama PAS walaupun terus mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam parti itu yang didakwanya hampir 75 hingga 80 peratus kepimpinannya dipengaruhi kumpulan Anwarinas.

"Saya akan tetap bersama PAS dan tidak akan menyertai Umno. Justeru, keputusan saya perlu dihormati semua pihak," katanya kepada Bernama selepas majlis dialog dengan penjawat awam anjuran Majlis Belia daerah di sini, Selasa.

Beliau yang juga Presiden Jalur Tiga (JATI) menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduhnya 'dibeli' Umno bagi mengadakan ceramah di pentas Umno di seluruh negara.

"Sehingga sekarang, saya berceramah adalah atas prinsip menegakkan Islam di negara ini walaupun terpaksa menggunakan belanja sendiri," katanya.

Berhubung dakwaannya mengenai kumpulan Anwarinas dalam PAS, beliau berkata kumpulan itu kini bukan sahaja bertindak sebagai pelindung, penggerak malah sebagai jurucakap dalam PAS hingga menyebabkan kumpulan ulama semakin terpinggir dan tidak dipedulikan lagi.

Beliau berkata ramai golongan ulama semakin di perkecilkan peranan mereka dan termasuk dipecat kerana lantang bersuara dalam memperjuang agama Islam.

"Justeru, orang ramai jangan hairan sekiranya dalam masa yang terdekat PASakan memecat lebih ramai lagi golongan ulama termasuk (bekas Timbalan PresidenPAS) Nasharudin Mat Isa kerana memperjuangkan Islam," katanya. BERNAMA/mStar
PAS PUSAT TIDAK CAMPUR TANGAN KONFLIK PAS-DAP KEDAH

KUALA LUMPUR: PAS Pusat tidak akan campur tangan dalam konflik yang timbul antara parti itu di Kedah dengan sekutu mereka daripada DAP.

Menyifatkan 'perbalahan' yang berlaku sebagai isu remeh serta tidak perlu diperbesarkan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yakin isu berkenaan boleh ditangani Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Tak ada isu. Kedah (Menteri Besar) boleh selesaikan sendiri. Mereka boleh uruskan perkara ini," katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media bahawa Dewan Ulama PAS Kedah membidas sikap DAP yang selalu tidak tahu menjaga sensitiviti umat Islam khususnya hati ahli-ahli parti itu apabila menentang undang-undang berunsurkan Islam dilaksanakan di negeri berkenaan. -mStar
HUKUMAN ROGOL GADIS BAWAH UMUR PERLU DIPUTUSKAN MAHKAMAH

KUALA LUMPUR - Hukuman bagi kesalahan merogol gadis di bawah umur 16 tahun seharusnya kekal diletakkan di bawah bidang kuasa mahkamah, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi.

Beliau berkata, hukuman bagi kesalahan itu tidak wajar ditetapkan kepada satu hukuman semata-mata kerana ada faktor yang perlu dipertimbangkan seperti fakta kes sebelum pesalah dikenakan hukuman berat atau ringan.

"Dalam kes seorang lelaki tua merogol gadis bawah umur, dia memang layak diberikan hukuman paling berat iaitu penjara dan sebatan. Tiada persoalan dalam hal itu.

"Tetapi dalam kes yang melibatkan pasangan remaja, adakah remaja perempuan itu tidak bersalah langsung?

"Saya katakan kedua-duanya bersalah dan adakah adil jika hanya lelaki itu yang dihukum?" katanya sambil menambah kata laporan polis pada kebiasaannya dibuat ibu bapa perempuan yang menjumpai diari anak mereka.

Sehubungan itu, Zaki berpendapat cadangan untuk meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merogol gadis bawah umur harus dikaji secara menyeluruh bagi mengelakkan berlaku ketidakadilan.

Beliau ditemui selepas sesi dialog Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA) di Kompleks Kraf di sini, hari ini.

Katanya, ketidakadilan juga boleh berlaku dalam kes sumbang mahram sekiranya hanya lelaki dihukum sedangkan ada di antara kes yang pernah berlaku membabitkan wanita yang lebih berusia.

"Perkara ini perlu dilihat dalam sudut yang lebih luas. Pada saya, penyelesaian terbaik adalah dengan menekankan bahawa remaja tidak boleh melakukan hubungan seks sehingga mereka berkahwin," katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam, bahawa kerajaan memberi kebenaran kepada Jabatan Peguam Negara untuk meminda Seksyen 376 supaya mereka yang didapati bersalah merogol gadis di bawah umur dijatuhi hukuman penjara mandatori dan tidak boleh merujuk seksyen lain bagi meringankan hukuman.

Mohamed Nazri berkata, pindaan yang dicadangkan itu bertujuan supaya hukuman penjara mandatori di bawah Seksyen 376 dikekalkan, dan hakim tidak boleh mengguna pakai Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang memberikan mahkamah kuasa budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

Keputusan untuk meminda seksyen itu dibuat berikutan jumlah kes rogol melibatkan gadis bawah umur yang terlalu tinggi, selain bagi memelihara golongan itu daripada terdedah kepada jenayah berkenaan tanpa sebarang perlindungan. – BERNAMA/UtusanOnline