Friday, February 22, 2013

MAHKAMAH HALANG MPS LUPUSKAN KAMERA AES

KUALA LUMPUR - Kontraktor kontroversi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) Beta Tegap Sdn Bhd menang permohonan semakan kehakiman terhadap Majlis Perbandaran Sepang (MPS).

Syarikat swasta itu mencabar notis MPS tahun lalu untuk melupuskan kamera mereka di lebuhraya PLUS dan SKVE dengan berhujah sebelum ini jalan tersebut merupakan jalan persekutuan yang tidak tertakluk di bawah kuasa Selangor.

Keputusan: Kerajaan Pusat adalah penguatkuasa sebenar

Keputusan Hakim Datuk Zaleha Yusof hari ini menyatakan kerajaan pusat adalah penguatkuasa sebenar untuk meluluskan pemasangan kamera AES dan bukannya kerajaan tempatan.

"Berdasarkan hujah di atas, saya berpendapat tempat dimana struktur AES dibangunkan adalah terletak di jalan persekutuan dan tidak jatuh di bawah bidang kuasa responden.

"Permohonan dibenarkan," kata hakim sambil menambah tiada arahan untuk membayar kos oleh kerana ini adalah kes berkait dengan kepentingan awam.

Semasa memberikan penghakimannya, hakim tersebut mengatakan isunya bukanlah sama ada lebuhraya terletak di atas tanah negeri atau persekutuan, setelah diperhatikan kedua-dua pihak tidak mempertikaikan jalan raya di tanah Selangor.

Beliau berkata kerajaan negeri di bawah "kewajipan perlembagaan" untuk tidak menghalang penjalanan kuasa eksekutif di negara ini oleh kerana lebuh raya adalah jalan persekutuan.

Jabatan Peguam Negara, yang bertindak sebagai pencelah dalam kes itu, minggu lepas berhujah bahawa Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyatakan menteri kerja adalah pihak berkuasa sepatutnya yang mempunyai bidang kuasa untuk meluluskan permohonan untuk mendirikan AES di lebuh raya.

Hakim juga berkata hakikat tanah itu adalah tanah kerajaan tidak bermakna MPS adalah pemilik tanah.

"Kerajaan tempatan adalah satu entiti yang berbeza daripada kerajaan negeri," katanya.

Hakim juga berkata isu tidak mendedahkan perjanjian konsesi tidak relevan dalam kes ini.

Beliau merujuk kepada undang-undang kerajaan tempatan, sebelum mengatakan tiang AES adalah dianggap sebagai "bangunan".

Peguam Beta Tegap Alex de Silva minggu lepas berhujah tiada seorang pun yang munasabah akan mentafsir tiang AES dan kamera untuk menjadi sebuah "bangunan", apabila mencabar kesahihan notis MPS '.

MPS telah mendakwa "tiang" termasuk dalam takrif "bangunan" dalam Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Jabatan Peguam Negara menafikan definisi dalam Akta, mendakwa tiang perlu disambungkan ke rumah, pondok, bangsal atau mana-mana kepungan beratap sebelum ia dianggap "bangunan."

Pada November tahun lepas, MPS telah mengeluarkan dua notis untuk mengarahkan Beta Tegap membuat permohonan rasmi untuk kebenaran perancangan bangunan, mendakwa penggunaan tanah negeri.

MPS akan rayu

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Ronnie Liu memberitahu pemberita MPS akan merayu keputusan ini, mengatakan terdapat keperluan untuk memastikan keselamatan struktur yang didirikan di atas jalan raya.

"Jadi, kita tentu ingin merayu kepada mahkamah yang lebih tinggi," kata Liu, mengatakan mesyuarat akan diadakan dengan MPS.

Pada 12 Disember tahun lalu, Beta Tegap memohon penangguhan keputusan MPS dan kemudian mendapat penangguhan dari Mahkamah Tinggi pada 19 Disember.

Dalam permohonan semakan kehakiman, Beta Tegap berkata MPS, melalui surat bertarikh November 19 tahun lepas, meminta syarikat memohon kebenaran untuk memasang tiang dan kamera AES di Km 301.7 Lebuhraya Utara-Selatan dan di Km 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan, kedua-duanya terletak di Dengkil, Sepang.

MPS, dalam surat bertarikh 6 Disember, mengarahkan syarikat itu untuk melupuskan semua kamera dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis.. - The Malaysian Insider
IDEAS SERU RAKYAT, KORPORAT MENYOKONG PEMERHATI PILIHAN RAYA 
KUALA LUMPUR — Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi (IDEAS) menyeru rakyat dan syarikat-syarikat korporat dan agensi-agensi yang sesuai memberikan bantuan kewangan, kerana mereka tidak mendapat apa-apa pembiayaan dana daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Ini merupakan satu tanggungjawab yang amat berat dan penting, terutama kerana kita sedia maklum bahawa pilihan raya umum ke-13 akan berlangsung dalam jangka masa terdekat," menurut IDEAS dalam satu kenyataan hari ini.

IDEAS turut melancarkan laman web untuk pemantau pilihan raya, www.pemerhati.my dan mensasarkan pemerhatian di 70 kawasan seluruh Semenanjung Malaysia.

IDEAS mensasarkan kerusi-kerusi tersebut kerana dianggap sebagai "panas", serta sedang giat menjalankan jelajah semenanjung Malaysia untuk merekrut dan melatih sukarelawan pemerhati.

Projek ini bersama-sama dengan ASLI Centre for Public Policy Studies, Merdeka Centre, dan Konfederasi Orang Kurang Upaya Malaysia.

IDEAS juga menyeru orang ramai untuk mendaftar untuk menjadi sukarelawan pemerhati pilihan raya bertauliah.

"Untuk menjadi sukarelawan pemerhati, anda mestilah warganegara Malaysia berumur 21 ke atas, bukan seorang yang telah disabit kesalahan oleh mahkamah; bukan seorang bankrap yang belum dilepaskan; bukan seorang yang memegang jawatan atau bergerak aktif dalam mana-mana parti politik; dan dapat bekerjasama dan mengamalkan sikap berkecuali," menurut IDEAS lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, peranan sukarelawan pemerhati pilihan raya bertauliah adalah untuk memerhati, merekod dan melaporkan proses pilihan raya umum ke-13.

"Kami akan memberikan latihan dan juga semua borang yang diperlukan oleh sukarelawan pemerhati. Sukarelawan perlu menghantarkan borang-borang tersebut kembali kepada kami setelah diisi sepanjang tempoh pemerhatian.

"Borang-borang tersebut mengandungi soalan-soalan terperinci mengenai apa yang disaksikan oleh sukarelawan dalam kawasan pemerhatian mereka," menurut kenyataan itu lagi.

IDEAS juga akan melatih sukarelawan pemerhati bagaimana untuk mengisi borang-borang untuk menganalisa data dan menulis satu laporan yang lengkap selepas pilihan raya.

Pilihan raya mesti diadakan sebelum Jun ini, dan dikatakan paling sengit di antara gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN), dan pakatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR).— Bernama/ The Malaysian Insider
BN AKAN MENANG PRU13 :ECONOMIST INTELLIGENCE UNIT

KUALA LUMPUR — Economist Intelligence Unit (EIU), sebahagian daripada majalah terkenal berpangkalan di London, The Economist, meramalkan Barisan Nasional (BN) akan memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) berdasarkan kepada rekod pencapaiannya yang baik, agenda pembaharuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta kepimpinan ekonomi beliau yang berjaya.

Bagi pemerhati antarabangsa, keputusan pilihan raya akan datang sudah jelas, bahawa BN akan menang, kata EIU. Ia berkata pembangkang Pakatan Rakyat telah membuat 'janji lumayan' untuk mendapatkan kuasa, dan ini merupakan penghalang yang besar.

Berdasarkan semua ini, Pakatan Rakyat berada jauh ketinggalan, menyebabkan EIU meramalkan BN akan menjadi 'pemenang'. EIU, pemikir yang menyediakan analisis risiko, industri dan negara berkala, berkata 'adalah jelas tidak sesuai' bagi Pakatan untuk melaksanakan semua janji kempennya. 

"Sebagai contoh, menyediakan pendidikan menengah percuma akan menyebabkan kerajaan berbelanja RM43 bilion, dengan memansuhkan duti kereta akan mengurangkan perolehan cukai sebanyak RM4.6 bilion setahun," katanya.

Menurut EIU, Pakatan Rakyat telah memungkiri banyak janjinya sebelum ini, termasuk bantuan kewangan bagi pendidikan pra-sekolah, penuntut universiti, warga emas dan orang kelainan upaya; penjagaan kesihatan percuma bagi mereka yang berumur lebih 65 tahun; cukai hartanah yang lebih rendah dan bantuan untuk pembeli rumah.

Bagi semua perkara ini, populisme Pakatan kekal tidak mempunyai hasil yang praktikal. Di Selangor, misalnya, BN mendakwa bahawa Pakatan Rakyat melaksanakan hanya 15 peratus daripada 31 janji pilihan raya, bernilai RM2.4 bilion yang dibuat dalam manifesto pada 2008. "Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul) Khalid Ibrahim mengulas bahawa manifesto bukan janji tetapi mengakui bahawa pengundi mungkin berfikir sebaliknya," kata EIU.

Bandingkannya dengan rekod kejayaan BN dalam memenuhi janji-janjinya, dan anda mempunyai perbezaan yang jelas dalam pendekatan. Sebagai contoh, Najib telah menjanjikan Pulau Pinang dengan 20,000 rumah mampu milik dan monorel untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, dan jika BN berkuasa di negeri itu, pengundi boleh yakin rancangan ini akan dilaksanakan.

"Pertaruhan adalah tinggi bagi kedua-duanya (BN dan Pakatan) ... perang tawaran berkemungkinan berterusan kerana kedua-dua pihak membuat persediaan untuk apa yang dianggap sebagai salah satu plihan raya paling sukar dalam sejarah Malaysia," kata laporan itu.

"Kedua-dua perlu menarik bagi pengundi muda, pengundi kali pertama, memandangkan hampir tiga juta orang dalam blok mengundi penting ini telah ditambah kepada daftar pemilih sejak pilihan raya lepas," katanya. EIU mendakwa 'sebahagian besar daripada kumpulan ini' belum membuat keputusan mengenai parti mana yang hendak dipilih dan boleh mempengaruhi keputusan PRU-13.

Najib perlu menang besar dalam usaha untuk menjamin masa depan agenda reformasi beliau, manakala di pihak lain, pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu menjadi yang pertama untuk memecahkan kuasa BN.

Sementara itu, UMNO yakin dengan hanya beberapa minggu yang tinggal untuk PRU-13, setelah Najib berkata jentera parti berada pada peringkat akhir persiapannya.

"Kami telah menerima laporan audit mengenai jentera kami dan dari situ saya boleh mengatakan persediaan kami memuaskan. Pada masa yang sama, saya berharap usaha untuk mengukuhkan persediaan kami akan terus dijalankan oleh pemimpin di peringkat negeri," kata beliau kepada pemberita pada Jumaat lalu.

Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, telah membuat pilihan calon yang menang tumpuan strategi beliau, menjelaskan bahawa BN harus membariskan calon dengan peluang terbaik untuk menang, tanpa mengira parti komponen BN mana yang memegang kerusi sebelumnya.

Satu lagi sebab utama kelebihan bagi parti pemerintah ialah pertumbuhan 5.2 peratus yang negara ini nikmati di bawah kepimpinan Najib, bersama-sama dengan peningkatan dalam pelaburan domestik dan asing. 

Dan selain itu, pendapatan per kapita mencecah US$9,700 daripada US$7,500 pada tahun 2010. EIU bersetuju dengan trajektori menaik: "Berikutan pengembangan anggaran daripada 5.2 peratus pada tahun 2012, kami menjangka KDNK berkembang pada kadar yang sama semasa tempoh ramalan 2013-17."

Angka pertumbuhan yang diumumkan semalam oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa ekonomi berkembang kepada 6.4 peratus pertumbuhan pada suku terakhir 2012 dan menyokong pertumbuhan tahun penuh untuk berkembang sebanyak 5.6 peratus daripada 5.1 peratus tahun sebelumnya.

Berlatarbelakangkan keadaan sedemikian, EIU berkata: "Jelas bahawa adalah sukar untuk Pakatan yang kini cuba membariskan satu pembangkang yang bersatu antara pemimpinnya yang sering bertengkar sejurus sebelum PRU-13". — Bernama/ The Malaysian Insider
MENJELANG PRU, PAS TERAGAK-AGAK DENGAN ANWAR SEBAGAI CALON PM

KUALA LUMPUR — Pemimpin PAS telah mempersoalkan pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya memenangi kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya 2013, dengan satu sumber mengesahkan mereka telah menawarkan kepada pemimpin Umno Tengku Razaleigh Hamzah jawatan tertinggi tersebut.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, persoalan tersebut timbul dalam satu mesyuarat tertutup antara PAS dan PKR pada Ahad selepas kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang Sabtu lalu parti Islam itu tidak teragak-agak meninggalkan PR sekiranya pakatan tersebut merugikan orang-orang Melayu dan Islam.

“Pemimpin tertinggi PAS itu mengatakan ‘haram’ bagi Anwar untuk meminta jawatan perdana menteri,” kata satu sumber PR yang tidak mahu dinamakan kepada The Malaysian Insider.

“Kemudian seorang pemimpin tertinggi PKR menjawab, Anwar tidak pernah meminta jawatan sebagai perdana menteri sebaliknya rakyat yang mengangkatnya dan ini sudah dipersetujui oleh PAS dan DAP semenjak pilihan raya umum 1999,” tambah sumber tersebut.

Pas jemput Tengku Razaleigh

Menurut satu sumber lain dari PR, satu pertemuan telah dilakukan diantara pemimpin tertinggi PAS dengan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bagi menjemput bekas menteri kewangan itu untuk menjadi perdana menteri sekiranya PR berjaya mendapatkan majoriti kerusi parlimen selepas pilihan raya akan datang.

“Pakatan perlu ingat, mereka perlu konsisten dalam isu siapa bakal perdana menteri ini. Jangan nanti rakyat nampak kita Flip-Flop,” tambah sumber tersebut memetik perkataan yang digunakan untuk menyerang musuh politik mereka Barisan Nasional (BN).

Masih belum jelas jika langkah pemimpin PAS itu disokong secara meluas dalam parti Islamis itu. Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan ahli parlimen parti tersebut telah menyokong Anwar selama ini.

Namun, nampaknya terdapat beberapa langkah untuk memberitahu akar umbi PAS ia adalah penting dalam PR, dan satu cara untuk menunjukkannya adalah dengan mendapatkan jawatan perdana menteri.

Walau bagaimanapun, kepercayaan seperti ini oleh PAS tidak mungkin mendapat sokongan dari DAP dan PKR yang tegas dalam menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Siapa PM jika PR rampas Putrajaya

Isu siapa bakal perdana menteri PR sekiranya dapat merampas Putrajaya timbul dua minggu lalu apabila dilaporkan Majlis Syura Ulama PAS dalam sebuah perbincangan tertutup melibatkan beberapa anggota majlis tersebut menolak Anwar sebagai calon perdana menteri PR dan berkemungkinan melantik calon dari luar bagi menggalas jawatan tersebut.

Walau bagaimanapun Pengerusinya Nik Aziz menafikan laporan Utusan Malaysia itu dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu fitnah yang cuba dilemparkan terhadap PAS bagi melaga-lagakan parti tersebut dengan rakan sekutunya dalam PR, menurut agensi berita Bernama.

Pengerusi DAP Karpal Singh sekali lagi menegaskan, minggu lalu Anwar akan menjadi perdana menteri jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya 2013.

Ketidaksefahaman PAS dan PKR

Ketidaksefahaman PAS dan PKR mengenai siapa bakal calon perdana menteri dijangka akan menjejaskan PR walaupun pakatan pembangkang tersebut dianggap paling terusun sebagai pencabar BN dalam sejarah.

Umno pernah menggesa PAS keluar daripada PR pada 2011 serta mencadangkan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan parti Islam itu.

PAS setakat ini konsisten menolak idea kerajaan perpaduan dan kerjasama politik dengan Umno kerana tidak mahu episod lama pada tahun pada 1970-an berulang lagi apabila parti Islam tersebut ditendang keluar dari gabungan BN.

Umno juga dilaporkan mendakwa PAS hanyalah menjadi alat kepada parti DAP.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengatakan PAS perlu bertindak di luar PR kerana gabungan PAS, PKR dan DAP itu adalah palsu dan merugikan orang Melayu.

Menjelang PRU-13

PAS akan bertanding 70 daripada 222 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya 2013 yang perlu diadakan tidak lama lagi dan membiarkan selebihnya untuk ditandingi oleh rakan PR, DAP dan PKR.

BN mengalami kekalahan terburuk pada Pilihan Raya 2008 apabila kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen dan empat negeri kepada PKR, PAS dan DAP. Akan tetapi gabungan pemerintah itu merampas semula Perak selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri keluar PR. – The Malaysian Insider


TIADA SEBAB PENJAWAT AWAM TUKAR KERAJAAN – CUEPACS

KUALA LUMPUR: Penjawat awam tidak mempunyai sebab untuk menukar kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana pertukaran itu belum mampu menjanjikan kemajuan dan kestabilan negara, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman.

Omar berkata hampir kesemua tuntutan mereka telah ditunaikan sekaligus membuktikan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sentiasa peka dan dekat dengan penjawat awam.

“Tidak ada sebab untuk menukar kerajaan yang sedia ada kepada pihak yang belum tentu dapat menjamin apa-apa.

“Tidak pernah satupun cadangan yang dikemukakan oleh Cuepacs kerajaan tolak. Sebagai contoh ialah tuntutan kenaikkan dua peratus wang pencen kepada pesara penjawat awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Cuepacs bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Cidb di Cheras pada Khamis.

Menurutnya, sokongan hampir 1.4 juta orang penjawat awam dan 500 ribu pesara sentiasa tidak berbelah bagi kepada kerajaan yang dipimpin oleh Najib dan yakin perkara tersebut akan diterjemahkan di peti undi dalam Pilihan Raya 2013 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

“Saya yakin 1.4 juta penjawat awam bersama dengan hampir 500 ribu pesara Cuepacs akan sentiasa menyokong kerajaan sedia ada.

“Penjawat awam dan Cuepacs adalah tiang seri kepada kerajaan dan yakinlah sokongan mereka akan sentiasa utuh kepada kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga berucap semasa perhimpunan tersebut menggesa penjawat awam supaya memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan.

Beliau berkata kumpulan tersebut juga bertanggungjawab dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan kepada masyarakat serta kunci utama kepada kemajuan dan pembangunan negara.

“Penjawat sektor awam adalah imej kerajaan, jadi mereka haruslah memainkan peranan yang penting dan berkesan terutamanya dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan,” katanya. - mStar