Showing posts with label Cuepacs. Show all posts
Showing posts with label Cuepacs. Show all posts

Wednesday, December 18, 2013

PERMUDAH PINJAMAN PERUMAHAN PENJAWAT AWAM

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), mencadangkan agar kerajaan menyediakan pinjaman perumahan berasaskan harga rumah kepada penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ini bagi memastikan kakitangan kerajaan dapat memiliki rumah sendiri dengan lebih mudah.

“Pinjaman sekarang adalah berasaskan gaji. Ini bermakna, penjawat awam tidak mendapat pinjaman penuh dan selebihnya terpaksa meminjam bank.

“Sekiranya dapat pinjaman penuh daripada kerajaan, lebih mudah. Mereka boleh bayar pinjaman itu dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan wang pencen,” katanya ketika berucap di Konvensyen Tri-Tahunan Ceupacs ke-26 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, semalam.

Katanya, Cuepacs turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula imbuhan tetap perumahan penjawat awam sebanyak RM180 sebulan dan kadar faedah pinjaman perumahan sebanyak empat peratus.

“Harga rumah sekarang mahal dan hampir 35 peratus kakitangan awam tidak ada rumah sendiri.

"Jadi, kita harap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini mengikut kemampuan kerajaan,” katanya.

Selain itu, badan itu juga meminta kerajaan memberi cuti tanpa rekod kepada penjawat awam untuk menunaikan umrah.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, July 11, 2013

HARGA RUMAH MELAMPAU: KERAJAAN JANGAN CAKAP SAHAJA, KATA CUEPACS
 Harga rumah mungkin RM1 juta
SHAH ALAM - Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman mendesak kerajaan agar menyediakan rumah mampu milik dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman Menurutnya, rakyat terutama golongan penjawat awam yang berpendapatan sederhana dan rendah sudah muak dengan janji-janji yang ditaburkan kerajaan.

“Kita mahukan tindakan segera daripada kerajaan dan agensi berkaitan bukan hanya sekadar melakukan pecah tanah dan perasmian namun rumah berkenaan tidak dibangunkan.

“Cuepacs mahu kerajaan sediakan perumahan mampu milik ini selewat-lewatnya 31 Disember 2015,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai dilema pembeli terutamanya penjawat awam untuk memiliki rumah mampu milik.

Omar berkata, sebagai suara kepada penjawat awam, Cuepacs tidak mampu menyediakan perumahan tetapi hanya sekadar menyampaikan hasrat kakitangan kerajaan ini.

“Saya sasarkan setiap penjawat awam mampu memiliki kediaman sendiri pada usia 35 ke 40 tahun.

“Kerana sekiranya usia mereka lanjut dan ini akan membebankan mereka untuk membayar kos pinjaman perumahan apabila bersara kelak, kerajaan perlu pertimbangkan aspek ini juga,” katanya.

Kata beliau, sebelum ini pihaknya ada mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berhubung kekangan kerajaan untuk melaksanakan segera rumah mampu milik kepada rakyat.

“Kekangan yang diberikan ialah lokasi, masalah tanah, penempatan dan sebagainya namun kerajaan perlu fikirkan nasib rakyat.

“Rumah adalah aset kepada mereka, takkanlah sehingga tua dan bersara mereka hanya menyewa. Tindakan lemah kerajaan ini membuatkan mereka tawar hati dan kecewa,” katanya.

Perkembangan sama, Omar berkata dengan hanya bersandarkan jawapan ‘dalam perancangan’ dan ‘sedang diusahakan’ bukanlah keputusan yang dinantikan rakyat.

Beliau berkata, berdasarkan rekod berpuluh ribu penjawat awam telah memohon untuk miliki Rumah Mampu Milik namun kepastian belum dapat dibayangkan hanya menunggu.

“Kita dah arahkan setiap Kerajaan Negeri untuk bina perumahan kos sederhana untuk penjawat awam.

“Situasi terkini sewa rumah paling rendah sahaja sudah mencecah RM 800 ke RM 900 sedangkan keadaan boleh diumpamakan seperti ‘reban ayam’,” katanya.

Oleh yang demikian, Cuepas mendesak perkara ini diambil tindakan segera bukan hanya bercakap sahaja. Nasib rakyat dan penjawat awam tidak wajar diperjudikan. –Sinar Harian

Thursday, June 20, 2013

CUEPACS CADANG PENJAWAT AWAM CARUM PERKESO

GEORGETOWN - Kerajaan diminta terima cadangan supaya anggota perkhidmatan awam berstatus tetap mencarum di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan  Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berharap, cadangan itu diterima dan dipertimbangkan berikutan ia disiapkan menerusi beberapa siri kajian dan dipersetujui oleh semua anggotanya.

Katanya, cadangan itu  yang bersifat faedah kebajikan kepada penjawat awam akan diserah kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk perbincangan. Awal bulan lalu, hanya anggota perkhidmatan awam berstatus sementara dan kontrak mencarum dalam skim Perkeso.

“Perkara itu sangat baik dan berharap ia dipanjangkan kepada anggota perkhidmatan awam bergaji tetap yang berpendapatan dari RM7,000 dan ke bawah.

“Skim yang terdapat di bawah pakej Perkeso ini lebih baik jika dibanding dengan skim ex-gratia yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan anggota perkhidmatan awam dan orang tanggungan jika terjadi sesuatu bencana semasa pegawai melaksanakan tugas rasmi,” katanya.

Bajet 2014: 3 permintaan Cuepacs

Dalam perkembangan lain, Omar mengulangi tiga permintaan dalam Bajet 2014 iaitu kenaikan imbuhan perumahan kepada RM450, pelarasan kos sara hidup (Cola) dan pengeluaran 20 peratus wang gratuiti kepada anggota perkhidmatan awam yang berusia 50 tahun. -Sinar Harian

Tuesday, March 26, 2013

KSA1M : PINJAMAN MUDAH UNTUK PENJAWAT AWAM?

KUALA LUMPUR - Koperasi Sektor Awam 1Malaysia (KSA1M) disaran mewujudkan skim pinjaman mudah untuk penjawat awam.

Dalam membuat cadangan itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata, ia bagi mengelak penjawat awam daripada membuat pinjaman dari peminjam wang haram atau Ah Long dan agensi pinjaman yang mengenakan faedah tinggi yang dilihat membebankan.

"Skim pinjaman ini sesuai untuk perkara seperti kematian, persekolahan anak dan memperbaharui cukai jalan yang membolehkan peminjam memperoleh wang segera tanpa penjamin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung pertama KSA1M di Wisma Cuepacs di sini, hari ini.

Omar berkata, melalui skim itu, penjawat awam misalnya boleh meminjam maksimum RM2,000 dengan tempoh bayaran balik selama tiga hingga enam bulan melalui potongan gaji.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Saripuddin Kasim.

Dalam pada itu, Omar menggesa semua penjawat awam menjadi anggota KSA1M untuk menikmati kemudahan yang disediakan. Sehingga kini, 200 penjawat awam telah mendaftar sebagai anggota koperasi itu.

Dalam pada itu, beliau berkata KSA1M akan mengendalikan dua Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) iaitu di Bandar Tun Razak di sini dan Presint 16, Putrajaya selain peruntukan RM1.3 juta yang disalurkan KPDNKK untuk tujuan itu.

Omar berkata, kedua-dua kedai dan peruntukan itu akan diserahkan secara rasmi April ini.

KSA1M ditubuhkan Februari tahun lalu dan keanggotaannya terbuka kepada semua penjawat awam untuk menambah pendapatan kumpulan pekerja itu. – BERNAMA/Utusan Online