Tuesday, June 25, 2013

BN TUBUH MAKMAL POLITIK KAJI SEMULA STRUKTUR PARTI - PM

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) akan mewujudkan makmal politik bagi mengkaji semula struktur, penjenamaan dan polisi parti itu supaya sejajar dengan trend, senario serta landskap politik semasa.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, makmal itu akan bermula bulan depan dengan memberi tumpuan melakukan perubahan terhadap BN selepas mengambil kira keputusan serta pencapaian BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Menurut beliau, setiap parti komponen akan menghantar tiga orang wakil dan selain itu BN juga akan menjemput wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), personaliti, belia dan pihak swasta.

"Makmal ini akan membuat beberapa cadangan perubahan yang mungkin menyentuh salah satu perkara sama ada dari segi struktur, penjenamaan, polisi atau pun melibatkan ketiga-tiganya sekali.

"Kita jangka makmal ini akan berbincang selama beberapa hari, mungkin seminggu atau mungkin lebih daripada itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Datuk Onn di sini malam ini.

Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua Presiden parti-parti komponen.

Dalam pada itu, Najib berkata, paling penting cadangan-cadangan yang akan dikemukakan oleh makmal politik itu bertujuan memastikan BN terus berjaya pada masa akan datang.

Mengenai masalah pencemaran jerebu teruk yang melanda negara ekoran pembakaran hutan secara terbuka di Indonesia, Najib berkata, beliau akan mengutuskan surat kepada rakan sejawatnya, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Katanya, surat tersebut bertujuan menuntut komitmen serta kerjasama daripada kerajaan Indonesia bagi menguatkuasakan tindakan yang lebih berkesan terhadap pihak yang menjadi punca kepada kejadian jerebu tanpa mengira dari mana, sama ada syarikat tempatan, Malaysia mahu pun Singapura.

Selain itu, beliau menambah, menerusi surat terbabit juga, Malaysia menawarkan kelengkapan dan kepakaran memadamkan kebakaran hutan menggunakan pesawat amfibia yang mempunyai keupayaan menyiram api dari udara memandangkan negara ini memiliki dua buah pesawat berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, Malaysia juga akan mengutuskan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel untuk berbincang dengan Menteri Alam Sekitar Indonesia Rabu ini bagi mencari pendekatan terbaik untuk menangani pencemaran jerebu teruk kali ini agar tidak berulang pada masa hadapan.


Sementara itu, Najib berkata, selain pendekatan antara kerajaan dengan kerajaan, Malaysia juga mengambil pendekatan kerohanian apabila akan menjayakan solat hajat perdana selepas waktu zuhur esok bagi memohon kepada Allah SWT menurunkan hujan agar keadaan jerebu dalam negara dapat dikurangkan. –Utusan Online
ANWAR ANGKAT SUMPAH DI PARLIMEN, PENYOKONG BERBARING DI JALAN RAYA

SELEPAS melakukan pelbagai propaganda, hasutan, tohmahan dan fitnah terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan mendakwa berlaku penipuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengetuai pakatan pembangkang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Anwar dan sekutu-sekutunya dilaporkan berbuat demikian kira-kira sejam selepas polis menahan sekumpulan 200 peserta perhimpunan haram yang bertindak ganas merempuh kawalan polis yang mengawal perkarangan Bangunan Parlimen.

Tindakan ganas itu dilakukan oleh saki-baki kumpulan yang sebelum ini menyertai perhimpunan haram di Padang Merbok yang berpunca daripada seruan Anwar supaya rakyat turun beramai-ramai ke perhimpunan berkenaan bagi membantah keputusan PRU-13.

Ternyata, peserta-peserta berkenaan yang ada antara mereka 'berkampung' di dalam khemah di Padang Merbok sejak Sabtu lalu telah diperbodohkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang.

Segala susah-payah mereka dalam perjuangan sia-sia itu tidak membawa apa-apa makna kerana Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang tetap mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Kalau benarlah pemimpin pembangkang mendakwa pilihan raya umum lalu penuh kepincangan dan penipuan, kenapakah mereka mahu mengiktiraf keputusan yang berpihak kepada mereka tetapi menolak kemenangan yang menyebelahi BN?

Sepatutnya sama ada perhimpunan haram atau keganasan di hadapan bangunan Parlimen tersebut tidak akan berlaku, jika Anwar berjiwa besar untuk menasihatkan penyokong-penyokong supaya menghormati proses melakukan bantahan iaitu melalui petisyen kepada mahkamah.

Namun malangnya, Anwar tidak berbuat demikian, beliau seolah-olah bangga apabila ramai anak muda yang terpengaruh dengan dakyah beliau khususnya kelompok yang bergabung dalam Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Dengan jumlah kehadiran di Padang Merbok tidak mencapai sasaran pakatan pembangkang, ia sepatutnya memberikan kesedaran kepada Anwar bahawa perjuangan beliau melakukan politik jalanan tidak akan berhasil. Mana mungkin kalau setakat 200 orang yang berkumpul di hadapan Bangunan Parlimen akan mampu melunturkan semangat perjuangan pegawai-pegawai SPR.

Bagaimanapun, apa yang kita saksikan, Anwar terus memberi galakan kepada kumpulan berkenaan untuk melakukan bantahan. Ketika kelompok itu menyusahkan diri sendiri dan mungkin juga menunjukkan kebodohan mereka dengan tidur dalam keadaan berjerebu, Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang lain selesa berada di kediaman masing-masing membuat persiapan untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Setakat melahirkan penghargaan kepada perjuangan kelompok itu, ia tidak membawa makna apa-apa. Sepatutnya kalau Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang benar-benar bertekad bahawa berlaku penipuan dalam PRU-13, mereka juga akan bersama-sama kumpulan itu yang antara lain mahukan pemimpin-pemimpin pembangkang tidak mengangkat sumpah.

Jelaslah, Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, semalam menunjukkan sikap hipokrit pada tahap paling tinggi yang tidak mungkin ada kepada mana-mana Ahli Parlimen di seluruh dunia.

Apa pun yang paling malang ialah penyokong-penyokong mereka yang begitu mudah diperbodohkan sehingga sanggup berkhemah, bermalam dan berbaring di jalan raya serta ditangkap oleh polis. Segala-galanya berpunca daripada sikap hipokrit dan watak 'sesumpah' pemimpin pembangkang seperti Anwar!  –Utusan Online
SIKAP HIPOKRIT AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG TERSERLAH

KUALA LUMPUR - Sikap hipokrit pembangkang terserlah selepas kesemua Ahli Parlimen mereka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Parlimen hari ini.

Tindakan kesemua 89 Ahli Parlimen pembangkang itu sekali gus membuktikan mereka bersetuju dan menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang melayakkan mereka menjadi Ahli Dewan Rakyat.

Perkara itu juga bertentangan dengan objektif penganjuran beberapa siri perhimpunan haram anjuran pembangkang termasuk yang terakhir di ibu negara Sabtu lalu, kononnya bagi menyampaikan mesej Pilihan Raya Umum Ke-13 penuh penipuan.

Selain itu, keputusan Ahli Parlimen pembangkang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat turut mengecewakan kira-kira 200 penyokong pembangkang yang berhimpun di luar Parlimen bagi membantah sidang pertama Dewan Rakyat penggal ke-13 yang bermula hari ini.

Sebelum ini, pembangkang terutama wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilaporkan mempertimbang memboikot majlis angkat sumpah di Dewan Rakyat hari ini sebagai bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13. –Utusan Online
JAKARTA HARUS BERTINDAK TERHADAP SYARIKAT YANG MENGAKIBATKAN JEREBU – PM

KUALA LUMPUR: Putrajaya mahu Jakarta mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat yang menyebabkan jerebu, tanpa mengira pemilikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan menghantar surat kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menggesa kerajaan Indonesia untuk bertindak terhadap pesalah-pesalah.

"Tidak kira sama ada syarikat-syarikat milik Malaysia, Singapura atau Indonesia. Tindakan perlu diambil terhadap mereka yang menyebabkan jerebu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

Najib berkata, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia pada Rabu untuk membincangkan mengenai isu jerebu.


Malaysia, katanya, juga akan menawarkan perkhidmatan pesawat pengebom air kepada Indonesia untuk membantu memadamkan kebakaran. -mStar
JEREBU: PRESIDEN INDONESIA MINTA MAAF KEPADA MALAYSIA & SINGAPURA

JAKARTA: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono meminta maaf kepada Malaysia dan Singapura yang dilanda jerebu sehingga menjejaskan kualiti udara kedua-dua negara itu akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Sumatera.

"Atas apa yang terjadi ini, selaku presiden saya meminta maaf dan pengertian saudara-saudara kami di Singapura dan Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Presiden di sini pada Isnin malam.

"Tentu, tidak ada niat Indonesia atas apa yang terjadi," katanya.

Yudhoyono berkata pada masa ini kawasan yang terlibat dengan kebakaran itu iaitu Jambi, Bengkulu, dan Riau ditetapkan sebagai daerah bencana berstatus darurat, dan kerajaan pusat mengerahkan tenaga secara maksimum untuk menangani bencana itu.

Beliau berkata Indonesia bertanggungjawab penuh untuk mengatasi masalah itu dan beliau yakin ia akan dapat diatasi dengan segera.

jerebu (16)Yudhoyono berjanji bahawa Indonesia akan berusaha memadamkan titik-titik api yang membakar hutan Indonesia dengan melakukan hujan buatan melalui pembenihan awan selain mengerah pasukan pemadam kebakaran di darat termasuk menggunakan tenaga anggota tentera.

Pada sidang akhbar itu Presiden Indonesia itu turut menyindir beberapa pegawai kerajaan republik itu yang menyebut nama syarikat perladangan yang dipercayai menyebabkan kebakaran itu, yang katanya tidak seharusnya mereka lakukan.

"Dari apa yang saya pantau setiap hari, ada pernyataan dari sejumlah pegawai yang menurut saya tidak semestinya disampaikan seperti itu," katanya.

Beliau berkata syarikat berkenaan belum dipastikan terlibat dalam pembakaran itu dan para pegawai kerajaan harus menghindari daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Kalau ada syarikat lalai, apa lagi menyebut namanya jelas tidak diperlukan seperti itu. Sama halnya menyebutkan syarikat asing yang dimiliki negara jiran kita, itu juga tidak diperlukan," katanya.

Apa yang lebih penting pada masa ini ialah tumpuan kepada usaha mengatasi bencana kebakaran dan asap yang sudah berlarutan selama seminggu ini, katanya. – BERNAMA/mStar