Monday, July 8, 2013

PAHANG CADANG PERUNTUKAN KHAS AKTA HASUTAN

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar peruntukan khas undang-undang di bawah Akta Hasutan digubal bagi menghukum individu yang menghina institusi Raja menerusi media sosial.
  
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, langkah itu perlu bagi melindungi institusi Raja yang kebelakangan ini sering menjadi mangsa fitnah pihak tidak bertanggungjawab terutama dalam media sosial.
  
"Kerajaan negeri akan menulis kepada kerajaan Persekutuan agar undang-undang khusus di bawah Akta Hasutan dimasukkan satu perkara (peruntukan) yang melarang perbuatan menghina institusi Raja dalam media sosial," katanya pada persidangan penggal pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang ke-13 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) yang mahu tahu usaha kerajaan bagi menghalang dan menghukum pesalah yang menghina pemimpin dan institusi Raja dalam media maya yang semakin berleluasa.
 
Selain itu, katanya, individu atau pihak yang didapati terlibat menyebarkan fitnah dan hasutan dalam media maya boleh disiasat di bawah undang-undang sedia ada.

"Ia termasuk Seksyen 4(1)(B) Akta Hasutan 1948 bagi kesalahan menyebut apa-apa perkataan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan tidak mewajarkan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya.
  
Adnan dalam pada itu turut mendesak SKMM agar lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung isu fitnah di media sosial yang turut melibatkan pemimpin dan institusi Raja.
  
"SKMM perlu bersungguh-sungguh menguatkuasakan undag-undang bukan setakat beri amaran kepada pihak yang terlibat.
  
"Kita pun hanya akan tahu ada kes (fitnah) hanya jika ada pendakwaan, itu pun tidak banyak, sedangkan fitnah (di laman sosial) berlaku secara berleluasa," katanya. - Bernama

Sumber: Sinar Harian