Showing posts with label hasutan. Show all posts
Showing posts with label hasutan. Show all posts

Friday, July 12, 2013

KABINET KEKAL KEPUTUSAN MANSUH AKTA HASUTAN

PUTRAJAYA - Kabinet hari ini mengekalkan keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
   
Beliau berkata Akta Keharmonian Nasional yang menggantikan Akta Hasutan kini dalam proses penggubalan.
   
“Akta Keharmonian Nasional ini akan memastikan kestabilan politik dan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
   
“Sebaik perlindungan ada di tempatnya, kita akan menarik balik Akta Hasutan," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
   
Pada Julai tahun lepas, Najib mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan keputusan itu dibuat bagi mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.
  
Namun, akhir-akhir ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap sesetengah pihak yang mendesak supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan tanpa memikirkan impak negatifnya.
   
Ahmad Zahid menegaskan Akta Hasutan harus dikekalkan bagi memelihara empat perkara utama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu akan dipersoal sesetengah pihak.
   
Dalam isu lain, Dr Subramaniam menegaskan sebagai seorang menteri kesihatan beliau tiada kuasa untuk mengiktiraf program ijazah perubatan daripada Crimea State Medical University (CSMU) di Ukraine.
   
“Saranan seorang pemimpin PKR agar saya menggunakan kuasa sebagai menteri agar CSMU diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC) adalah tidak betul.

Saya tidak akan guna kuasa itu. Takkan ada penghujungnya. Jika saya lakukan untuk satu kolej, banyak lagi kolej akan memohon perkara yang sama.
   
“Sehubungan itu, MMC akan membuat pemeriksaan dan penilaian secara profesional dan kementerian akan membuat keputusan,” katanya sambil menegaskan bahawa penilaian MMC adalah untuk memastikan graduan perubatan yang dilahirkan berkualiti. - Bernama


Sumber: Sinar Harian

Monday, July 8, 2013

PAHANG CADANG PERUNTUKAN KHAS AKTA HASUTAN

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar peruntukan khas undang-undang di bawah Akta Hasutan digubal bagi menghukum individu yang menghina institusi Raja menerusi media sosial.
  
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, langkah itu perlu bagi melindungi institusi Raja yang kebelakangan ini sering menjadi mangsa fitnah pihak tidak bertanggungjawab terutama dalam media sosial.
  
"Kerajaan negeri akan menulis kepada kerajaan Persekutuan agar undang-undang khusus di bawah Akta Hasutan dimasukkan satu perkara (peruntukan) yang melarang perbuatan menghina institusi Raja dalam media sosial," katanya pada persidangan penggal pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang ke-13 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) yang mahu tahu usaha kerajaan bagi menghalang dan menghukum pesalah yang menghina pemimpin dan institusi Raja dalam media maya yang semakin berleluasa.
 
Selain itu, katanya, individu atau pihak yang didapati terlibat menyebarkan fitnah dan hasutan dalam media maya boleh disiasat di bawah undang-undang sedia ada.

"Ia termasuk Seksyen 4(1)(B) Akta Hasutan 1948 bagi kesalahan menyebut apa-apa perkataan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan tidak mewajarkan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya.
  
Adnan dalam pada itu turut mendesak SKMM agar lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung isu fitnah di media sosial yang turut melibatkan pemimpin dan institusi Raja.
  
"SKMM perlu bersungguh-sungguh menguatkuasakan undag-undang bukan setakat beri amaran kepada pihak yang terlibat.
  
"Kita pun hanya akan tahu ada kes (fitnah) hanya jika ada pendakwaan, itu pun tidak banyak, sedangkan fitnah (di laman sosial) berlaku secara berleluasa," katanya. - Bernama

Sumber: Sinar Harian

Thursday, May 23, 2013

AKTA HASUTAN SUDAH TIDAK RELEVAN - AMBIGA


KUALA LUMPUR - Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S.Ambiga mendakwa penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim merupakan satu pelanggaran terhadap sistem demokrasi di negara ini susulan akta itu dalam proses untuk dimansuhkan.

Beliau yang ditemui di luar kamar Mahkamah Sesyen Jenayah 1 mendakwa pertuduhan Akta Hasutan terhadap Adam Adli itu juga dilihat sebagai pendakwaan terpilih, semata-mata mahu menghukum pihak tertentu sahaja.

"Undang-undang itu tidak relevan digunakan oleh sesiapa dan tidak boleh mengenakan dakwaan kepada sesiapa pun.

"Jangan gunakan sistem keadilan jenayah dan undang-undang ini dengan cara menghukum satu atau dua orang saja.

"...sebab itu kami fikir ia adalah pendakwaan terpilih sekaligus menyalahi sistem keadilan negara ini," katanya selepas perbicaraan Adam Adli di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, di sini, hari ini.

Adam Adli ditahan di Bangsar Utama pada 18 Mei lalu, kira-kira pukul 3.15 petang di bawah Seksyen 4 (1) C Akta Hasutan dan Seksyen 124 B  Kanun Keseksaan.

Beliau direman selama lima hari bermula Ahad lalu dan berakhir pada hari ini.

Adam Adli, 24, disiasat kerana ucapannya pada satu forum di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor 13 Mei lalu.

Penahanannya mendapat bantahan meluas di seluruh negara, manakala nyalaan lilin dilakukan di hadapan Pusat Tahanan Jinjang, tempat Adam Adli ditahan bermula hari pertama sehingga malam tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendran berkata, pendakwaan terhadap Adam Adli itu tidak mempunyai asasnya sambil menyifatkannya sebagai berat sebelah.

"Ia adalah satu dakwaan yang tidak mempunyai asas langsung kerana banyak kes seperti kes bekas hakim Mahkamah Rayuan yang mengeluarkan kenyataan yang serius dan boleh menimbulkan perpecahan kaum, tiada tindakan diambil.

"Akta hasutan perdana menteri pun telah menyatakan akan dimansuhkan tetapi PM Najib masih menggunakan akta hasutan yang zalim dan jahat," tegasnya.

Oleh kerana itu, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk membatalkan dakwaan terhadap bekas mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.


Sumber: Sinar Harian