Tuesday, June 18, 2013

LEBUH RAYA: PAS KELANTAN KUTIP DERMA RAKYAT?

KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan telah mengutip sebanyak RM2.6 juta derma daripada rakyat untuk membina lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai sejak tabung itu dilancarkan Mei tahun lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Hanifa Ahmad berkata, kesemua wang itu bagaimanapun masih belum diusik kerana kerja-kerja pembinaan setakat ini tertumpu di Hutan Simpan Ulu Sat yang ditanggung Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Menurut beliau, setakat ini kontraktor yang dilantik sudah selesai menjalankan kerja-kerja penyediaan tapak, pembinaan pejabat tapak dan pembersihan hutan di kawasan tersebut, sepanjang jajaran empat kilometer.

Beliau turut menyatakan keyakinan pakej pertama pembinaan lebuh raya sepanjang 30 kilometer yang akan menghubungkan Bukit Bakar, Machang dan Kampung Damar, Kuala Krai akan siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Kita jangka sumbangan dapat dikutip sehingga RM50 juta kerana bukan datang daripada rakyat Kelantan sahaja tapi seluruh penduduk Malaysia.

"Pakej pertama lebuh raya dijangka selesai tiga tahun iaitu Central Spine Road (CSR) dari Wakaf Che Yeh ke Kadok sepanjang tujuh kilometer (projek kerajaan Pusat) yang turut memakan masa tiga tahun," katanya semasa menjawab soalan Mohd. Fauzi Abdullah (Pas-Manek Urai) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Fauzi, Hanifa menyatakan kesediaan kerajaan Pas Kelantan sekiranya kerajaan Pusat berhasrat mahu melaksanakan projek CSR di negeri ini melalui Kota Bharu, Kuala Krai, Gua Musang sehingga ke sempadan Negeri Sembilan.

"Tender untuk CSR telah dibuka dan semasa mesyuarat dengan pihak Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), pengarah bahagian pembangunan jalannya telah bertanya kepada saya adakah Kelantan setuju jika Pusat mahu membina terus dari Kota Bharu ke sempadan Negeri Sembilan.

"Bagi saya tidak ada masalah sebab ini adalah tanggungjawab kerajaan Pusat. Peruntukan RM2 bilion (sangat banyak) tetapi disebabkan Pusat tidak membinanya sejak 1986, maka terpaksalah kita sebagai kerajaan wajib buat projek untuk rakyat (lancar lebuh raya rakyat)," jelas beliau. –Utusan Online

PAS BURUKKAN UMNO, DAKWA BERI PIL KUDA

KOTA BHARU 17 Jun - Penyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim yang menuduh UMNO memberi pil kuda dan arak ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas dilihat sekadar ingin memburukkan-nama UMNO.
 
Ketua Pembangkang negeri, Datuk Nozula Mat Diah bekata, Zaki berniat jahat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan taktik kotor sedemikian.

"Mana mungkin kita mengupah penagih yang terlibat dengan pil kuda untuk menyokong, sedangkan ia musuh kita...kita nak banteras benda ini (ketagihan dadah).

"Sebab itulah saya lihat perkara ini, pemimpin PAS cuba fitnah kita untuk memburukkan memburukkan kita di mata rakyat supaya berterusan tidak menyokong Umno," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Nozula mengulas mengenai tomahan Zaki ketika membahaskan titah ucapan Sultan Kelantan pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini dengan mendakwa BN memberi pil kuda dan arak kepada petugas parti pada PRU13.

Jelas beliau, tuduhan liar yang dilempar oleh Zaki hanyalah bertujuan menagih sokongan pemuda tempatan yang berhijrah ke luar negeri untuk terus menyokong PAS.

"Sebab itu mereka seringkali beritahu kerajaan pusat menganaktirikan rakyat Kelantan, dan perkara ini turut diperkatakan  di luar Kelantan, tetapi tidak pula diceritakan mengenai pelbagai bantuan kerajaan pusat kepada kerajaan negeri seperti bantuan bayaran gaji kepada kakitangan negeri dan masalah air," ujarnya.


Tambah beliau, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob perlu memainkan peranan penting dengan menjalin hubungan baik bersama kerajaan persekutuan untuk membangunkan Kelantan. –KLPos.com
DR. M SOKONG TIADA PERTANDINGAN JAWATAN TERTINGGI UMNO

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) menyokong penuh cadangan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti November ini.

Katanya, beliau bimbang pertandingan bagi dua jawatan tertinggi yang masing-masing disandang Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan menyebabkan perpecahan dalam Umno dan juga orang Melayu.

"Mengikut amalan demokrasi, kita patut ada pertandingan tetapi orang Malaysia tidak begitu faham amalan demokrasi sebenar. Kalau kalah, mereka akan tarik diri (keluar parti) dan tubuhkan parti lain dan ini menyebabkan orang Melayu dan Umno berpecah lagi.

"Sehubungan itu, saya sokong kalau ada pertandingan tetapi bukan untuk dua jawatan di puncak sekali iaitu presiden dan timbalan presiden.

"Saya biasa bertanding dulu (jawatan presiden Umno) dan saya menang dengan 43 undi saja tetapi pihak yang kalah telah bawa (mendakwa) saya ke mahkamah dan menubuhkan parti lain... Orang kita (Melayu) berpecah kerana pertandingan," katanya pada sidang media. – Bernama/ The Malaysian Insider
KERAJAAN KEDAH, P.PINANG HARUS BERUNDING ISU CAJ AIR MENTAH - MUKHRIZ

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Kedah bercadang mengadakan rundingan dengan Pulau Pinang berhubung cadangan untuk mengenakan caj bagi air mentah, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah cuba membincangkan isu ini, tetapi beliau percaya ia hanya di peringkat exco dan bukan di antara Ketua Menteri dan Menteri Besar.

Beliau menambah adalah adil bagi kedua-dua kerajaan negeri untuk mencapai persetujuan mengenai perkara itu.

"Kita akan berunding dengan mereka dan lihat jika kita boleh mencari penyelesaian kepada masalah ini," katanya.

Pada Ahad, dilaporkan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan cadangan negeri Kedah untuk mengenakan caj kepada Pulau Pinang untuk air mentah adalah "tidak masuk akal" dan sama dengan "meminta wang tanpa sebab" kerana Pulau Pinang mengambil air dari bahagiannya di Sungai Muda dan Kedah tidak mengeluarkan sebarang kos.

Sebagai tindak balas, Mukhriz berkata bekalan air telah disediakan di sebelah Pulau Pinang, tetapi kawasan tadahan air atau sumbernya berpangkalan di Kedah.

"Saya masih ingat ada kemarau sekali, dan Pulau Pinang telah menulis kepada Kedah meminta kita untuk melepaskan air dari empangan kami ke Sungai Muda untuk meningkatkan bekalan air yang semakin berkurangan.

"Surat itu sendiri merupakan pengakuan bahawa bekalan air itu sememangnya berpangkalan di Kedah," katanya. –mStar
ROS MINTA DAP KEMUKA BUKTI BERLAKU SILAP KIRA UNDI SEMASA PEMILIHAN PARTI (CEC)

KUALA LUMPUR: Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) meminta DAP mengemukakan keterangan dan bukti mengenai silap kira undi yang didakwa berlaku semasa pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu, Disember lalu.

Pendaftar ROS, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, ia adalah untuk mengenal pasti sama ada silap kira undi tersebut berlaku atas sebab 'computer glitch' atau satu penyelewengan.

"Pihak ROS sedang menjalankan siasatan dan salah satu isu utama yang masih disiasat ialah mengenai undi yang diperoleh calon yang bertanding," katanya menerusi satu kenyataan, Isnin.

DAP sebelum ini dilaporkan mengakui berlaku kesilapan pengiraan undi semasa pemilihan CEC parti itu pada Disember lepas dan ia dikaitkan dengan kesilapan teknikal.

Abdul Rahman dalam pada itu berkata, ROS perlu membuat kenyataan untuk pengetahuan umum tentang kemajuan proses siasatan ROS terhadap parti itu untuk mengelakkan manipulasi fakta seperti kandungan surat ROS bertarikh 17 April 2013 yang jelas telah dimanipulasi.

"Perbuatan ini adalah sesuatu yang tidak beretika."

"ROS perlu menjalankan siasatan dengan lebih berhati-hati supaya tidak berlaku sebarang manipulasi fakta," katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada 18 April lalu mendakwa menerima surat daripada ROS bertarikh 17 April yang menyatakan ROS tidak berkuasa mengeluarkan surat watikah pelantikan kepada mana-mana calon parti menggunakan simbol parti iaitu roket pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurutnya, ini susulan keputusan ROS yang tidak memberi pengiktirafan kepada pemegang-pemegang jawatan CEC DAP.

Abdul Rahman juga berkata, semua anggota parti yang ditemu bual dalam proses siasatan meminta DAP mengadakan semula pemilihan CEC.Beliau juga menjelaskan ROS tidak mempunyai niat untuk membatalkan pandaftaran DAP. – BERNAMA/mStar