Friday, August 31, 2012

HIMPUNAN 'JANJI DEMOKRASI' BERJAYA - PENGANJUR
Peserta himpunan Janji Demokrasi mula membanjiri Dataran Merdeka
KUALA LUMPUR: Himpunan 'Janji Demokrasi' oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 disifatkan sebagai berjaya oleh penganjurnya, Gabungan Janji Bersih.

Ahli Jawatankuasa 'Janji Demokrasi', Maria Chin Abdullah berkata walaupun polis menegaskan perhimpunan tersebut sebagai haram pada saat-saat akhir, pihaknya berjaya membuktikan bahawa mereka tidak melanggar perjanjian dengan polis dan Akta Perhimpunan Awam 2012.

Malah beliau berkata suasana di Dataran Merdeka yang terkawal menjelang detik kemerdekaan sehingga peserta beredar meninggalkan lokasi tersebut selepas pukul 12 malam menunjukkan rakyat hanya berhimpun untuk meraikan Hari Kemerdekaan sambil menuntut perubahan dalam sistem demokrasi, hak dan kebebasan mereka di negara ini.

"Tidak ada perkara buruk berlaku, tiada yang bertindak agresif.

"Kita hanya minta kepada kerajaan perubahan dalam beberapa perkara termasuklah pilihan raya yang bersih dan adil. Inilah permintaan rakyat Malaysia. Semua kita ada hak berada di Dataran Merdeka," katanya kepada pemberita selepas selesai menghitung detik kemerdekaan bersama peserta perhimpunan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dekat sini, tengah malam Jumaat.

Hadir sama Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said, Ahli Jawatankuasa Janji Demokrasi, Hishammuddin Rais dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Maria yang muncul di Dataran Merdeka pada pukul 11.20 malam dan kemudiannya berjalan ke Dataran DBKL menganggarkan jumlah peserta yang menyertai himpunan ini melebihi 10,000 orang.

Bagaimanapun katanya, bukan jumlah peserta menjadi kayu ukur kepada himpunan yang dianggap berjaya ini.

"Yang penting apa yang rakyat mahu," katanya.

Mengulas tentang peserta perhimpunan yang kebanyakannya memakai pakaian berwarna kuning dengan tulisan 'Bersih', Maria berkata setiap yang datang ke Dataran Merdeka bebas memakai pakaian yang dikehendaki.

Maria sebelum ini pernah menegaskan bahawa perhimpunan pada malam kemerdekaan adalah untuk sambutan merdeka dan tiada kaitan dengan Bersih.

"Bukan kita tak boleh kawal. Terpulang kepada mereka...baju apa, tulisan apa ia adalah kebebasan," katanya.

A Samad Said  
Sementara itu A.Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad tidak menyangka menerima jumlah kehadiran yang ramai.

Beliau yang mendeklamasikan puisi nukilannya di hadapan peserta menjelang detik 12 malam berkata gembira melihat generasi muda turut berhimpun menyambut kemerdekaan negara dan menuntut perubahan.

"Jumlah yang luar biasa. Saya senang apabila jumlah ini terdiri daripada himpunan anak muda," katanya.

Hishamuddin ketika ditemui selepas bersurai daripada himpunan sambutan kemerdekaan berkata secara keseluruhannya sambutan yang dirancang berjalan lancar.

"Tiada sepanduk...tiada poster hanya satu puisi 'Janji Demokrasi' oleh Pak Samad," ujarnya.

Gabungan Janji Bersih memperlihatkan sebanyak 49 NGO bergabung untuk menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 sambil memakai simbol kuning, tanpa ucapan, perarakan atau kain rentang. -MStar