Wednesday, December 5, 2012

EKONOMI ISLAM PERLU PERUBAHAN
 
JOHOR BAHRU: Datuk Seri Najib Razak semalam menggesa ekonomi Islam melakukan perubahan dengan memanfaatkan sumber terbesarnya iaitu generasi muda tanpa mengorbankan tradisi, keseimbangan dan pembangunan.

Perdana Menteri berkata, golongan muda tidak seharusnya dilihat sebagai liabiliti, sebaliknya sebagai aset, sumber yang belum diteroka bagi membolehkan negara membangun dan moden.

Perkara ini memerlukan kepada kepemimpinan dan perubahan. Pertamanya, kita perlu memberikan fokus dalam pendidikan. Kita perlu memberi penekanan bersungguh-sungguh dalam latihan vokasional dan teknikal.

Begitu juga standard dan hasilnya dalam memastikan bahawa pelajaran akan membuka peluang dan bukan menutupnya, katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Islam Dunia Kelapan (WIEF) di Persada Johor, di sini, semalam.

Hadir sama Presiden Comoros, Ikililou Dhoinine; Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tharman Shanmugaratnam; Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim dan Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia, Tun Musa Hitam.

Najib yang juga Penaung WIEF berkata, apa yang generasi muda Muslim mahu adalah peluang dalam sektor ekonomi dan bagi merealisasikan impian mereka, persekitaran ekonomi mapan berserta pendidikan dan pembaharuan ekonomi perlu dibangunkan.

Katanya, ekonomi Islam juga mesti memahami perubahan kedua terbesar dalam kehidupan generasi muda, iaitu teknologi.

Generasi hari ini tidak memahami sistem tertutup atau kerajaan satu hala. Mereka mengharapkan semua maklumat adalah bebas, demokrasi menjadi responsif dan komunikasi menjadi global.

Mereka juga mahu memainkan peranan penting dalam ekonomi digital dan jika tidak berpuas hati, mereka tidak teragak-agak untuk memberitahu dunia, katanya sambil menambah negara Islam juga perlu membuka minda terhadap peluang yang ada dalam era ekonomi digital, menggalakkan kesederhanaan dan toleransi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan dunia Islam juga perlu bersedia melabur untuk generasi muda termasuk wanita dan meletakkan keyakinan terhadap mereka untuk terbabit dan turut serta dalam sektor ekonomi sepenuhnya.

Katanya, segala perubahan dilakukan itu akan dapat membantu memanfaatkan sepenuhnya generasi muda yang menjadi antara sumber dan aset terpenting negara.

Sebagai negara membangun, Malaysia amat komited untuk pembaharuan ekonomi dan sudah pun berdepan beberapa pilihan sukar sebelum ini. Kita tahu kita mesti memperbaiki penyampaian perkhidmatan awam dan menawarkan peluang baru bagi memastikan ia memenuhi kehendak rakyat, katanya.

Pada 2010, kira-kira 60 peratus daripada penduduk dunia Islam berusia bawah 30 tahun dan menjelang 2030, masyarakat Islam akan merangkumi 26 peratus daripada penduduk dunia yang mana 60 peratus daripada jumlah itu berusia di bawah 30 tahun. -BHarian

TENDER AES DIBUAT SECARA TELUS - KP JPJ

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan menegaskan pemilihan pembekal teknologi Sistem Penguatkuasaa Automatik (AES) dilakukan secara telus dan tidak tergesa-gesa.

Menurutnya keseluruhan proses mengambil masa hampir lapan tahun dan membabitkan banyak pihak sebelum AES dilaksana di 14 lokasi pada 23 September lalu.

Solah yang mengeluarkan kenyataan bagi mengulas dakwaan antaranya pelaksanaan AES dibuat secara tergesa-gesa dan tidak mengikut tender, juga berkata pihaknya dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya telah menghantar pegawai kanan ke beberapa negara yang menggunakan teknologi itu pada 2005.

Antara negara terbabit ialah Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat serta Switzerland dan hasil lawatan dimaklum kepada kerajaan pada Disember 2005, yang kemudiaannya bersetuju melaksanakan AES, katanya.

Kerajaan kemudian menubuhkan satu jawatankuasa pemandu untuk meneliti keperluan pengguna, kaedah perolehan dan pelaksanaan projek dengan dibantu lima jawatankuasa kerja, katanya.

Menurut Solah, hasil laporan lawatan itu juga kerajaan pada 2006 bersetuju mempelawa sembilan syarikat yang menjadi peneraju pelaksanaan sistem AES untuk menyertai tender berkenaan.

Syarikat terbabit ialah Commercial Circle (M) Sdn. Bhd. (ATES Sdn. Bhd.)(dengan robot dari Jerman); Beta Tegap Sdn. Bhd. (dengan Redlex dari Australia); TESS CAPITAL Sdn. Bhd (dengan Poltaich dari Australia); Tricubes Berhad (dengan SAGEM dari Perancis); Precision Hawk Eye (M) Sdn. Bhd. (dengan Sianco Traficco dari Sepanyol), Acropolis Avenue Sdn. Bhd. (dari China); Neza teguh Sdn. Bhd. (dengan Sensys dari Sweden); Tenix Solutions Pte. Ltd. (dengan Tenix dari Australia dan Hyundai Information Technology dari Korea.

Solah berkata daripada jumlah itu hanya Tenix Solutions Pte. Ltd. dan Hyundai Information Technology Co. Ltd tidak mengemukakan cadangan teknikal manakala tujuh mengemukakan cadangan teknikal melalui wakil syarikat tempatan masing-masing.

"Selepas penilaian teknikal, hanya enam daripada tujuh syarikat menyertai ujian 'live demonstration', manakala satu syarikat menarik diri. Ujian itu mengambil masa lebih sebulan di Putrajaya, Shah Alam dan Lebuhraya Guthrie pada Jun hingga Julai 2007.

"Ia melibatkan demonstrasi keupayaan sebenar sistem yang ditawarkan oleh pembekal teknologi dalam mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju, khususnya kadar pengesanan kesalahan dan ketepatan pengesanan," katanya.

Solah berkata sebanyak 43 senario pelanggaran peraturan had laju dan lampu isyarat yang biasanya berlaku di jalan raya telah diuji dengan sebanyak 63,640 imej dikeluarkan hasil ujian berkenaan.

Katanya kriteria terpenting dan kritikal yang dinilai adalah imej yang dirakam mesti berupaya dijadikan bahan bukti di mahkamah.

Daripada penilaian itu, Solah berkata hanya dua pembekal teknologi melepasi kelayakan teknikal oleh Jawatankuasa Teknikal yang dianggotai antaranya Polis Diraja Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Kehakiman, Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Peguam Negara.

Dua syarikat itu ialah Redflex Traffic System Ptd. Ltd. yang diwakili oleh Beta Tegap Sdn. Bhd. dan Robot Visual System yang diwakili oleh ATES Sdn. Bhd.

Solah berkata pada Februari 2008, kerajaan bersetuju dengan Laporan Penilaian Teknikal dan kedua-dua syarikat diminta mengemukakan cadangan kewangan.

"Selepas beberapa siri rundingan antara kerajaan dan syarikat, termasuk persetujuan formula bayaran fi perkhidmatan, kerajaan pada 9 Disember 2011 telah menandatangani perjanjian dengan kedua-dua syarikat.

"Ini bermakna pemilihan dan pelantikan kedua-dua syarikat dibuat melalui proses tender dan tidak dilakukan tergesa-gesa," katanya. – BERNAMA/mStar
PELABURAN DI PULAU PINANG LEMBAP – MUKHRIZ


GEORGE TOWN: Jumlah pelaburan di Pulau Pinang untuk enam bulan pertama tahun ini agak lembap dan menurun berbanding negeri-negeri lain, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Muhkriz Tun Mahathir.

Beliau berkata jumlah pelaburan yang diluluskan sehingga Jun lepas hanya RM1.8 bilion dan angka itu jauh lebih rendah berbanding 2011 iaitu RM9.1 bilion.

"Tahun ini, Pulau Pinang jatuh di tangga ke lapan selepas Selangor, Sabah, Sarawak, Johor, Terengganu, Kuala Lumpur dan Perak, terdapat beberapa faktor menyebabkan perkara itu berlaku," kata beliau kepada pemberita selepas majlis taklimat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di sini, Selasa.

Beliau berkata antara penyebab pelaburan di Pulau Pinang berkurangan ialah industri elektrik dan elektronik yang agak perlahan di peringkat global sekarang ini.

"Bukan MIDA tidak mempromosikan Pulau Pinang kepada pelabur, tetapi kita tidak boleh memaksa mereka (pelabur) untuk pilih (negeri) lagipun kekuatan pelaburan di Pulau Pinang ialah industri elektrik dan elektronik dan bila di peringkat global industri itu sedikit lembap, sudah pasti akan memberi kesan.

"Selain itu, negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Sarawak yang menawarkan pelaburan dalam industri minyak dan gas telah menarik minat mereka (pelabur asing)," katanya.

Muhkriz berkata kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini begitu berbangga kononnya membawa pelaburan yang paling banyak sedangkan usaha membawa masuk pelabur adalah usaha MITI dan MIDA.

"Sebelum ini, Ketua Menteri (Lim Guan Eng) mengumumkan mereka berjaya bawa masuk pelaburan sebanyak RM 10 bilion pada tahun 2010, sedangkan semua itu dibuat oleh kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional(BN) kerana sesuatu pelaburan bukan mengambil masa yang singkat.

"MIDA terpaksa mengambil masa sehingga tiga atau empat tahun untuk menyakin pelabur melabur di negara kita, dan kejayaan itu (yang diumumkan Lim pada 2010)adalah usaha kerajaan BN. Mereka (BN) paling banyak membawa pelaburan semasa itu.

"Kalau betul mereka (kerajaan negeri sekarang) boleh bawa masuk pelabur mengapa sehingga Jun lepas hanya RM1.8 bilion sahaja pelaburan yang diluluskan di negeri ini, tahun 2012 sudah empat tahun mereka memerintah," katanya.

Sementara itu, Muhkriz berkata kestabilan politik penting untuk menarik pelabur dari luar negara untuk melabur di Malaysia termasuk negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

Beliau berkata apa yang dilakukan pembangkang seperti demonstrasi jalanan dan sebagainya telah mencemarkan imej Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai bersih dan selamat. - BERNAMA/mStar