Wednesday, April 3, 2013

PARLIMEN DIBUBAR HARI INI
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah 
berkenan menandatangani warkah yang dipersembahkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan)
 bagi memohon perkenan baginda untuk 
pembubaran Dewan Rakyat di Istana Negara di sini hari ini

PETALING JAYA: Parlimen Malaysia penggal ke-12 dibubar secara rasmi pada Rabu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.

Pembubaran berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi ucapan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen kira-kira pukul 11.30 pagi.

Menurut Najib, pembubaran berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika beliau menghadap baginda awal pagi Rabu.

"Pada pagi ini saya telah pun menghadap Yang Di-Pertuan Agong dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini.

"Sehubungan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, baginda telah pun memperkenankan agar Parlimen ke-12 dibubarkan berkuat-kuasa hari ini," katanya.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Kabinet terkahir di Putrajaya.

Pada sidang media khas itu juga Perdana Menteri meminta semua ketua kerajaan negeri mendapatkan perkenan daripada ketua negeri masing-masing bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

"Saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap ketua-ketua negeri mereka bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak seluruh negara," katanya.

Sementara itu Najib turut menasihatkan semua parti politik yang akan bertanding pada PRU akan datang supaya mengamalkan prinsip demokrasi demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional.

"Semua parti politik yang memilih untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.

"Insaflah dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. 

Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita," katanya.– mStar Online
KENYATAAN PAS MENGENAI NABI KETERLALUAN
 
KUALA LUMPUR: Kenyataan mengaitkan Rasulullah SAW dengan video seks adalah bukti nyata bahawa amalan politik chauvinis dan ekstremis melatari perjuangan politik pembangkang selama ini.

Senario itu jelas menggambarkan bahawa mereka sanggup melakukan apa saja termasuk menghina kesucian agama Islam asalkan mesej dan ucapan mereka dapat disampaikan kepada umum.

Sanggup lakukan apa saja

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin ketika dihubungi BH berkata, pembangkang sejak dulu lagi sanggup melakukan apa saja demi memastikan kehendak mereka tercapai, tanpa mengira implikasi yang terpaksa ditanggung kemudian hari.

Beliau berkata, ketamakan dan kerakusan mereka terhadap pangkat serta kuasa menjadikan kumpulan itu seolah-olah pekak dan tuli apabila sanggup melanggar apa saja batas yang ada.

“Lukisan kartun Rasulullah pun menimbulkan kemarahan semua umat Islam, inikan pula mengaitkan Baginda Rasulullah SAW dengan video seks. Apa lagi yang harus kita namakan tindakan seperti ini selain biadab dan sangat kurang ajar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Ahli Jawatankuasa Dewan PAS Pusat, Prof Md Noor Deris berkata pembangkang nyaris terdesak hingga sanggup menggunakan taktik tidak masuk akal seperti itu untuk kejayaan politik mereka.

“Sama ada pemuda, muslimin mahupun pemimpin syura pembangkang sebenarnya dilanda kebimbangan dan berasa tersepit kerana pengaruh kerajaan melonjak sejak akhir-akhir ini,” katanya. - BHarian
PRU13: GURU SEKOLAH PONDOK AJAK UMAT ISLAM TOLAK PEMBANGKANG

Sokong BN

Mesti tolak pembangkang
Abdullah Al-Najmi (kiri) bersama 
Ketua Penerangan Minda Pondok, Harun Yahya
menunjukkan buku rang undang-undang hudud
yang diluluskan kerajaan Kelantan
KUALA LUMPUR: Sekumpulan guru sekolah pondok semalam meminta umat Islam menolak pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana merosakkan akidah dan agama.

Sebaliknya, mereka mengajak umat Islam terus memberi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana terbukti memelihara aspek berkenaan berbanding pembangkang yang mempraktikkan konsep kesamarataan yang bakal menyebabkan Islam dan orang Melayu diletakkan pada kedudukan paling rendah.

Persatuan Minda Pondok

Penasihat Persatuan Minda Pondok berpangkalan di Kelantan, Tok Guru Abdullah al-Najmi Saamah berkata, UMNO dan BN meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan menghormati prinsip kebebasan agama, sekali gus meletakkan Melayu pada tingkat teratas berikutan sifat Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan.

Katanya, konsep itu diterima MCA, MIC dan parti komponen BN lain, membuktikan mereka menerima konsep Raja Melayu dan Islam sebagai agama rasmi berbanding pembangkang yang melaungkan konsep pluralisme atau kesamarataan yang meletakkan Islam dan Melayu pada landasan sama dengan agama dan kaum lain.

“Tahalul (kerjasama) UMNO dengan orang bukan Islam menepati kitab tafsir seperti Imam Bardawi, al-Syarkawi dan al- Qutubi. Kerjasama politik UMNO dengan parti lain menepati nisbah Imam Syafie, maka kerjasama itu hukumnya diharuskan atau dibolehkan.

Tahalul BN sah

“Tahalul BN sah dari segi syariat sedangkan tahalul pembangkang tidak dibolehkan kerana semuanya sama rata. Kalau DAP paling banyak kerusi, DAP yang menjadi pemimpin atau ketua negara,” katanya pada sidang media, di sini.

Turut hadir, Ketua Penerangan persatuan itu, Haron Yahya dan ahli jawatankuasa, Mohd Zainal Abidin Awang, 59.  Ahli persatuan itu adalah mudir dan guru sekolah pondok di Kelantan, Perak, Kedah dan beberapa negeri lain.

Abdullah yang lebih dikenali dalam kalangan masyarakat Kelantan dengan panggilan ‘Tok Guru Haji Lah’ adalah Mudir Madrasah al-Najmiah, Kampung Tebing, Pengkalan Kubor, Kelantan. – BERNAMA/BHarian
SELANGOR SALAH GUNA KUASA HALANG LANGAT 2

Pendirian kerajaan negeri beri kesan buruk ekonomi

SHAH ALAM: Pendirian Kerajaan PKR Selangor tidak meluluskan pembinaan projek loji rawatan air Langat 2 adalah satu penyalahgunaan kuasa yang akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi negeri ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata pendirian itu lambat laun akan menjadikan negeri ini mundur.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak 16 tahun dulu, merancang projek membawa air mentah melalui terowong dari Pahang berharga RM4 bilion yang kini hampir siap dan kerajaan negeri ketika itu bersetuju kawasan di Langat digunakan untuk loji berkenaan.

Nak tunjuk kuasa

“Dalam perjanjian asal, kerajaan negeri bersetuju untuk kita menggunakan tanah di kawasan Langat untuk dijadikan loji Langat 2. Itu saja... kuasa dia (kerajaan negeri) hanya membenarkan kita memulakan projek, tetapi nampaknya dia nak tunjuk kuasa dan dia salah guna kuasa,” katanya.

Noh berkata, kuasa yang sepatutnya diberi untuk pembinaan loji Langat 2 sebaliknya dinafikan dan kesannya hari ini, Selangor berdepan krisis air yang sudah pun mengakibatkan sekurang-kurangnya 440 projek yang berupaya mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan tidak dapat dimulakan.

440 projek terjejas

“Jadi, apa kesannya? Peluang pekerjaan akan tertutup, rumah tak boleh buat, hotel tak boleh buat, kompleks beli-belah tak boleh buat dan Selangor lambat laun akan jadi negeri mundur,” katanya sambil menambah syarikat yang sudah komited untuk melabur di Selangor, masih menunggu kerana tiada jaminan bekalan air yang mencukupi.

Rakyat perlu pandang serius

Sehubungan itu, Noh mahu semua rakyat Selangor memandang perkara itu dengan serius demi memastikan kelangsungan negeri mereka terus maju dan bagi menyelesaikan masalah air, mereka tiada pilihan selain memastikan BN memerintah negeri ini. – BERNAMA/BHarian
PRU13: MASA SESUAI MASYARAKAT CINA  KETEPI POLITIK PUTAR BELIT

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), pentas sesuai untuk masyarakat Cina membulatkan tekad menolak politik putar belit dan harapan palsu yang disebarkan DAP selama ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata tiba masanya masyarakat Cina mengetepikan pembangkang yang lebih gemar menipu dan membuat dakwaan tidak berasas semata-mata meraih sokongan.

“Masyarakat Cina tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan harapan palsu yang dibuat DAP, walaupun hakikatnya DAP sudah banyak berubah terutama apabila mewujudkan pakatan bersama PAS dan PKR.

“Lebih-lebih lagi apabila mulai 2004, DAP menganggap PAS bagaikan ‘taiko’ dan realitinya jika komuniti Cina tidak boleh terima hakikat ini, sewajarnya mereka tidak terus memberi kekuatan kepada DAP kerana satu undi kepada DAP sama seperti memberi kekuatan kepada PAS,” katanya.

Harapan palsu DAP

Soi Lek berkata, harapan palsu yang diuar-uarkan DAP kepada masyarakat Cina tidak akan meletakkan mereka di kedudukan tinggi seperti memegang jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, sekali pun Menteri Besar.

“DAP hanya boleh jadi maharaja di Pulau Pinang, bukan di negeri lain dan MCA akan mengulangi pembohongan DAP kepada masyarakat Cina supaya mereka insaf dan sedar peranan masing-masing pada PRU nanti dan tidak membuat pilihan yang salah,” katanya.

Katanya, sejak Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, pelaburan langsung asing (FDI) di negeri berkenaan menurun sehingga 73 peratus, manakala peluang pekerjaan berkurangan separuh daripada 20,000 tahun lalu.

Beliau berkata, contoh jelas apabila Kedah dan Kelantan terus diterajui PAS, bukan DAP dan hal sama dijangka berlaku di Johor, walaupun ia sebenarnya akan memberi risiko kepada negeri berkenaan terutama dari segi pelaburan dan peluang pekerjaan di Iskandar Malaysia dan Pengerang. -BHarian
PRU13: TINDAKAN GUAN ENG TARIK DIRI BERTANDING SATU JENAKA BESAR

GEORGETOWN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Teng Chang Yeow menyifatkan tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng menarik diri bertanding satu lawan satu dengannya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini sebagai 'jenaka terbesar'.

Katanya, sikap berdolak-dalik terhadap syarat dikemukakan BN termasuk tindakan Setiausaha Agung DAP itu menarik diri membuktikan bahawa cabaran Guan Eng hanyalah retorik semata-mata.

 “Saya sentiasa bersedia bertarung dengan Guan Eng dan meletakkan syarat bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang komposisi kaum bercampur bagi membuktikan dasar parti mana mewakili semua pihak.

“Bagaimanapun Guan Eng enggan, malah beliau mendakwa kononnya tertipu dengan helah politik saya dan perkara ini dianggap sebagai satu peristiwa paling lucu menjelang PRU-13,” katanya.

Turut hadir Setiausaha BN negeri, Datuk Omar Faudzar dan Ketua Pemuda BN negeri, Oh Tong Keong. Bulan lalu, Chang Yeow, menyatakan kesediaan bertanding satu lawan satu dengan Guan Eng pada PRU-13.

Beliau bagaimanapun menetapkan syarat bertanding di kerusi DUN yang mempunyai komposisi kaum seimbang sebagai tanda memberi komitmen kepada rakyat berbilang bangsa.

Ia susulan cabaran dikemukakan Ketua Menteri untuk bertanding di kerusi DUN Padang Kota, iaitu kawasan yang pernah dimenangi Chang Yeow tiga penggal berturut-turut sebelum kalah kepada Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow pada pilihan raya umum 2008.

Sementara itu, pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Guan Eng mendakwa Chang Yeow memerangkapnya dengan helah politik dan tidak jujur.

Katanya, helah politik oleh Chang Yeow membuktikan hakikat bahawa Setiausaha Agung GERAKAN itu sebenarnya melihat dirinya sebagai wakil UMNO dan bukan wakil rakyat. -BHarian

KRONOLOGI:  APA YANG TERJADI SELEPAS PARLIMEN DIBUBARKAN...

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akhirnya menamatkan segala teka-teki dengan mengumumkan pembubaran parlimen penggal ke-12 berkuatkuasa Rabu, 3 April 2013.

Kebetulan pula, 3 April genap beliau menerajui negara sebagai perdana menteri.

Kini apakah yang akan berlaku selepas parlimen dibubarkan?

-Melainkan Sarawak yang telah pun mengadakan pilihan raya negeri tahun lalu dan Dewan Undangan Negeri Sembilan yang telah terbubar dengan sendirinya minggu lalu, kini setiap negeri akan memutuskan bilakah mereka mahu membubarkan dewan undangan negeri masing-masing.

-Najib selaku perdana menteri tidak mempunyai kuasa ke atas pembubaran dewan undangan negeri.

-Sebaliknya kuasa itu terletak di bahu dan tangan menteri-menteri besar dan ketua menteri.

-Sebab itulah di dalam ucapan secara langsungnya mengumumkan pembubaran parlimen, Najib sekadar menasihati kerajaan-kerajaan negeri agar mengadap ketua negeri masing-masing (sultan dan gabenor) bagi mendapatkan perkenan agar pilihan raya dapat dijalankan serentak di seluruh negara.

-Lazimnya, negeri-negeri termasuklah yang diketuai oleh pembangkang akan turut sama membubarkan dewan undangan negeri secara serentak bagi memudahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyusun tarikh penamaan calon dan juga tarikh mengundi.

-Pengumuman mengenai tarikh pembubaran parlimen dan dewan undangan negeri akan membolehkan Yang Dipertua atau speaker parlimen/dewan undangan memaklumkan kepada SPR mengenai pembubaran tersebut secara rasmi.

-Bagi persekutuan, sudah tidak menjadi masalah kerana pengumuman telah dibuat secara langsung ke seluruh negara cuma menunggu surat rasmi daripada pejabat perdana menteri sahaja.

-Manakala bagi negeri-negeri pula, speaker dewan perlu menunggu menteri besar atau ketua menteri mengadap dan mendapat perkenan daripada ketua negeri masing-masing.

-Bagaimanapun, Dewan Negara tidak terlibat atau terjejas ekoran pembubaran parlimen kerana ia terdiri daripada anggota-anggota yang dilantik dan bukan dipilih menerusi proses pilihan raya.

-Selepas menerima pemakluman mengenai pembubaran dewan, SPR kemudiannya akan memanggil mesyuarat penuh yang terdiri daripada anggota-anggota suruhanjaya bagi menentukan perkara-perkara berkaitan dengan pilihan raya dan tarikh penamaan calon.

-SPR mempunyai tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya mulai tarikh pembubaran parlimen dan juga dewan-dewan undangan negeri.

-Apabila SPR telah menetapkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan hari penamaan calon dan juga pemilihan, mereka akan memanggil satu sidang akhbar khas untuk memaklumkannya kepada umum.– mStar Online