Wednesday, April 3, 2013

PRU13: TINDAKAN GUAN ENG TARIK DIRI BERTANDING SATU JENAKA BESAR

GEORGETOWN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Teng Chang Yeow menyifatkan tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng menarik diri bertanding satu lawan satu dengannya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini sebagai 'jenaka terbesar'.

Katanya, sikap berdolak-dalik terhadap syarat dikemukakan BN termasuk tindakan Setiausaha Agung DAP itu menarik diri membuktikan bahawa cabaran Guan Eng hanyalah retorik semata-mata.

 “Saya sentiasa bersedia bertarung dengan Guan Eng dan meletakkan syarat bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang komposisi kaum bercampur bagi membuktikan dasar parti mana mewakili semua pihak.

“Bagaimanapun Guan Eng enggan, malah beliau mendakwa kononnya tertipu dengan helah politik saya dan perkara ini dianggap sebagai satu peristiwa paling lucu menjelang PRU-13,” katanya.

Turut hadir Setiausaha BN negeri, Datuk Omar Faudzar dan Ketua Pemuda BN negeri, Oh Tong Keong. Bulan lalu, Chang Yeow, menyatakan kesediaan bertanding satu lawan satu dengan Guan Eng pada PRU-13.

Beliau bagaimanapun menetapkan syarat bertanding di kerusi DUN yang mempunyai komposisi kaum seimbang sebagai tanda memberi komitmen kepada rakyat berbilang bangsa.

Ia susulan cabaran dikemukakan Ketua Menteri untuk bertanding di kerusi DUN Padang Kota, iaitu kawasan yang pernah dimenangi Chang Yeow tiga penggal berturut-turut sebelum kalah kepada Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow pada pilihan raya umum 2008.

Sementara itu, pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Guan Eng mendakwa Chang Yeow memerangkapnya dengan helah politik dan tidak jujur.

Katanya, helah politik oleh Chang Yeow membuktikan hakikat bahawa Setiausaha Agung GERAKAN itu sebenarnya melihat dirinya sebagai wakil UMNO dan bukan wakil rakyat. -BHarian

No comments:

Post a Comment