Wednesday, April 3, 2013

PRU13: GURU SEKOLAH PONDOK AJAK UMAT ISLAM TOLAK PEMBANGKANG

Sokong BN

Mesti tolak pembangkang
Abdullah Al-Najmi (kiri) bersama 
Ketua Penerangan Minda Pondok, Harun Yahya
menunjukkan buku rang undang-undang hudud
yang diluluskan kerajaan Kelantan
KUALA LUMPUR: Sekumpulan guru sekolah pondok semalam meminta umat Islam menolak pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana merosakkan akidah dan agama.

Sebaliknya, mereka mengajak umat Islam terus memberi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana terbukti memelihara aspek berkenaan berbanding pembangkang yang mempraktikkan konsep kesamarataan yang bakal menyebabkan Islam dan orang Melayu diletakkan pada kedudukan paling rendah.

Persatuan Minda Pondok

Penasihat Persatuan Minda Pondok berpangkalan di Kelantan, Tok Guru Abdullah al-Najmi Saamah berkata, UMNO dan BN meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan menghormati prinsip kebebasan agama, sekali gus meletakkan Melayu pada tingkat teratas berikutan sifat Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan.

Katanya, konsep itu diterima MCA, MIC dan parti komponen BN lain, membuktikan mereka menerima konsep Raja Melayu dan Islam sebagai agama rasmi berbanding pembangkang yang melaungkan konsep pluralisme atau kesamarataan yang meletakkan Islam dan Melayu pada landasan sama dengan agama dan kaum lain.

“Tahalul (kerjasama) UMNO dengan orang bukan Islam menepati kitab tafsir seperti Imam Bardawi, al-Syarkawi dan al- Qutubi. Kerjasama politik UMNO dengan parti lain menepati nisbah Imam Syafie, maka kerjasama itu hukumnya diharuskan atau dibolehkan.

Tahalul BN sah

“Tahalul BN sah dari segi syariat sedangkan tahalul pembangkang tidak dibolehkan kerana semuanya sama rata. Kalau DAP paling banyak kerusi, DAP yang menjadi pemimpin atau ketua negara,” katanya pada sidang media, di sini.

Turut hadir, Ketua Penerangan persatuan itu, Haron Yahya dan ahli jawatankuasa, Mohd Zainal Abidin Awang, 59.  Ahli persatuan itu adalah mudir dan guru sekolah pondok di Kelantan, Perak, Kedah dan beberapa negeri lain.

Abdullah yang lebih dikenali dalam kalangan masyarakat Kelantan dengan panggilan ‘Tok Guru Haji Lah’ adalah Mudir Madrasah al-Najmiah, Kampung Tebing, Pengkalan Kubor, Kelantan. – BERNAMA/BHarian

No comments:

Post a Comment