Monday, June 25, 2012

DAFTAR BULAN INI LAYAK UNDI PRU SELEPAS OGOS: SPR


PUTRAJAYA: Kira-kira tiga juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih, masih berpeluang mengundi sekiranya mendaftar sebelum 30 Jun ini jika Pilihan Raya Umum diadakan selepas Ogos.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Jun adalah detik paling sesuai untuk mereka mendaftar sebelum senarai pemilih diwartakan pada Ogos depan.

Abdul Aziz berkata, selain pendaftaran baru, Jun juga penting kepada mereka yang sudah mendaftar membuat semakan. Ia bagi membolehkan pemilih mengetahui sekiranya terdapat perubahan lokaliti, tempat mengundi atau sebarang kesilapan dan ketidaktepatan maklumat, jika semakan dibuat selepas Jun mungkin sudah terlewat," katanya.

Ini kerana, hanya pemilih sahaja boleh memohon menukar butir diri masing-masing dalam Daftar Pemilih. SPR tidak dapat membetulkan apa-apa kesilapan yang berlaku tanpa pemilih itu sendiri memaklumkan kepada SPR mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan. -BHarian
DINAR KGT DIDAKWA TIADA CIRI ISLAM
KOTA BHARU 24 Jun - Bekas Pengarah Eksekutif Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. (KGT), Nik Mahani Mohamad mendakwa, mata wang syariah dinar dan dirham yang dikeluarkan oleh syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu tidak mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki Islam.
Nik Mahani mendakwa, sepanjang berada dalam syarikat tersebut sejak tahun 2008 sehingga awal tahun ini, beliau mendapati KGT lebih mementingkan keuntungan berbanding untuk memperkenalkan sistem kewangan yang menghapuskan riba secara keseluruhannya.

Malah, beliau yang pernah membentangkan kertas di satu forum dinar emas peringkat kebangsaan pada tahun 2006 mendakwa, fungsi dan peranan KGT dalam menguruskan jual beli dinar tidak ubah seperti syarikat-syarikat yang mengeluarkan syiling emas konvensional iaitu mementingkan keuntungan.
DIVIDEN 14 PERATUS KOPERASI TENTERA

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 14 peratus bagi tahun kewangan 2011 kepada ahli Koperasi Tentera.

Beliau berkata, dividen tersebut dibuat kerana kejayaan koperasi itu mengumpul aset lebih RM2 bilion pada tahun lepas dengan mencatat keuntungan sebelum cukai RM212 juta berbanding RM159 juta pada tahun 2010.

Zahid yang juga penaung Koperasi Tentera berkata tindakan koperasi itu menceburi industri Ar-Rahnu dengan membuka tiga buah cawangan di Kota Bharu, Kelantan, Kluang, Johor dan Sungai Besi pada penghujung tahun ini merupakan langkah yang tepat bagi menambah aset koperasi.

Sebelum itu dalam ucapannya, Zahid menyeru anggota tentera agar terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkannya sangat menjaga kebajikan anggota tentera selama ini. -MStar Online
PEMANDU TEKSI DAPAT RANGSANGAN TR1MA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad mengumumkan insentif hampir RM35 juta untuk golongan pemandu teksi di negara ini melalui program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA).

Najib berkata di bawah program TR1MA ini, setiap pemandu pertama teksi akan menerima baucar subsidi tayar sebanyak RM520 bagi penggantian empat tayar untuk tempoh dua tahun.

"Subsidi sejumlah RM34.84 juta yang disalurkan oleh 1Malaysia Development Bhd ini akan memanfaatkan seramai 67,000 pemandu teksi di seluruh negara," katanya semasa melancarkan TR1Ma di hadapan 25,000 pemandu teksi di Stadium Bukit Jalil di sini.

Beliau berkata jenis teksi yang layak menerima subsidi ini ialah teksi bajet, teksi eksekutif, kereta sewa dan teksi lapangan terbang.

Selain itu, Najib juga mengumumkan bahawa kerajaan melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menyediakan dana lebih daripada RM1 juta untuk menyediakan Skim Insurans Perlindungan Kemalangan Diri kepada 100,000 pemandu teksi di seluruh negara.

Beliau berkata, ini adalah inisiatif jangka pendek kerajaan untuk meringankan beban golongan pemandu teksi di negara ini.
Perdana Menteri berkata sebagai sebuah kerajaan yang prihatin untuk membantu semua golongan, rintihan yang dihadapi pemandu teksi yang merupakan kumpulan yang besar, juga wajar diberi perhatian.

"Kita ada hasrat dan perancangan untuk perbaiki lagi kebajikan dan tentukan masa depan yang lebih baik lagi kepada pemandu teksi," katanya.

Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa daripada segi perancangan jangka panjang, kerajaan sedang meneliti untuk memperkenalkan satu model baru untuk perkembangan industri teksi di negara ini, bagi memastikan industri itu dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna di samping kebajikan pemandu teksi terus terjaga.

"Dalam masa satu dua tahun ini, kita akan bergerak ke model baru untuk industri teksi. Kita sedang merangka ciri-cirinya," katanya.

Beliau berkata, antara ciri yang diteliti di bawah model baru itu ialah sistem pemberian permit teksi kepada individu.

Katanya, kerajaan juga mengkaji semula untuk melonggarkan pemberian rebet kepada pemandu teksi untuk melupuskan teksi lama mereka supaya bantuan itu dapat memanfaatkan lebih ramai pemandu teksi.

Di bawah Belanjawan 2012, kerajaan telah menawarkan bantuan rebet RM3,000 bagi melupuskan teksi lama melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun, manakala bagi teksi yang berusia 10 tahun ke atas, bantuan rebet RM1,000 akan diberikan.

Dalam itu, Perdana Menteri juga meminta golongan pemandu teksi menyerlahkan lagi amalan-amalan nilai murni kerana mereka sebagai duta kecil negara yang mempunyai peranan penting dalam membantu pembentukan imej dan persepsi pengunjung asing yang datang ke negara ini terhadap Malaysia. -MStar Online