Tuesday, July 24, 2012

CUEPACS SYOR SEMAK SEMULA PEKELILING PERKHIDMATAN LAPUK
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di DalamPerkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan supaya menyemak semula pekeliling perkhidmatan awam yang dilihat tidak relevan dengan keadaan semasa.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, terdapat beberapa pekeliling perkhidmatan awam yang diamalkan sehingga kini tidak melambangkan perkhidmatan awam yang baik dan mendatangkan kesukaran kepada penjawat awam.

"Banyak dasar yang lama dulu dah tak relevan lagi, pekeliling-pekeliling lama dah tak sesuai lagi...perlu dibuat penambahbaikan seperti yang disebut Ketua Setiausaha Negara (Datuk Seri Dr Ali Hamsa) iaitu merakyatkan  perkhidmatan awam.

"Contohnya, kalau penjawat awam ditawar satu jawatan awam dan dia tidak terima dia kena senarai hitam selama setahun. Ini semua tidak menggambarkan perkhidmatan awam. Ini semua perkara yang sedang kita lihat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Lim Guan Eng di sini hari ini.

Omar berkata, pekeliling yang ada sekarang seharusnya selaras dengan dasar semasa kerajaan supaya perkhidmatan awam dapat bergerak seiring dengan perkembangan semasa dan tidak ketinggalan.Beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan hubungan dengan penjawat awam dalam pelaksanaan sesuatu dasar baharu supaya apa yang diputuskan mendapat persetujuan bersama.

"Tetapi jangan buat sesuatu dasar baharu itu, kita tidak ada perbincangan terus nak laksana, kita pun rasa kurang fahamlah. Kita tak setuju cara begitu.

"Sekarang ini konsep kita nak ada perbincangan, hubungan yang baik supaya sesuatu perkara itu tidak dipertikaikan kemudian. Barulah dasar baharu itu berjalan dengan baik," katanya.

Beliau berkata, Cuepacs akan berbincang dengan pihak-pihak tertentu berhubung perkara tersebut supaya sesuatu dasar baharu itu dapat difahami lebih jelas dan dapat disampaikan kepada penjawat awam. - Bernama

KD: Setuju benar. Sesuai dengan dasar Transformasi yang menjadi hala tuju kerajaan.

SELANGOR vs SYABAS: KEGAGALAN SYABAS SUDAH DIJANGKA -MB

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid IbrahimSHAH ALAM - Kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam pengurusan bekalan air Selangor sudah dijangka Kerajaan Negeri sejak dua tahun lalu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berikutan itu, beliau berkata, rancangan penstrukturan semula operasi air dikemukakan kepada Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah itu, namun skim berkenaan telah ditolak.

“Kalau buat (penyusunan semula air) dua tahun lepas, perkara ini (masalah pengurusan air) tidak akan timbul. Dalam rancangan itu, kita sudah beritahu bahawa Syabas, Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak Niaga) akan terkeluar.

“Bagaimanapun, semua syarikat itu akan dapat pampasan menguntungkan mereka. Ia adalah satu cara yang diterangkan dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 ( WSIA),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kerajaan Selangor anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LHPS), di sini, pagi tadi.

Dalam pada itu, Abdul Khalid kekal dengan pendiriannya untuk meneruskan rancangan mengambil alih pengurusan Syabas demi kepentingan rakyat.

“Kita hendak tunjukkan kepada rakyat kenapa kita lakukan perkara itu. Kita tahu beberapa kelemahan dan kesukaran Syabas seperti laporan (audit) yang dibuat Jabatan Audit Negara dan laporan lain yang kita peroleh,” katanya.

Sebelum itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri menolak penswastaan air kerana mendakwa ia tidak adil untuk rakyat memandangkan mereka tidak diberikan pilihan untuk membuat perbandingan harga.

“Dalam perjanjian itu, rakyat dijanjikan untuk dapat bekalan air pada harga munasabah, dengan cara perkhidmatan yang baik dan tidak membebankan mereka.

“Namun, perjanjian itu tidak beri peluang kepada rakyat untuk mengatakan harga air terlalu mahal, sedangkan rakyat sepatutnya mempunyai pilihan buat perbandingan. Apabila saya bandingkan penswastaan sekarang dengan hasrat Kerajaan Negeri (lakukan penyusunan semula operasi air), ia selaras undang-undang dan cara itu lebih baik,” katanya.

KD: Kasihan pengguna air di Selangor. Sumber air memang banyak dan cukup tetapi pengurusan pula bermasalah.  
SELANGOR vs SYABAS: PR SOKONG HASRAT SELANGOR AMBIL ALIH SYABAS
PR sokong hasrat Selangor ambil alih Syabas
SHAH ALAM - Seramai 100 orang penyokong Pakatan Rakyat (PR) berhimpun secara aman di hadapan pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di sini, semalam sebagai sokongan kepada kerajaan negeri untuk mengambil alih pemegang konsesi air tersebut.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor,  Azmizam Zamanhuri berkata, bantahan ini menggesa Syabas membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih dalam operasi dan pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kami menyokong penuh hasrat Kerajaan Negeri untuk ambil alih Syabas dan yakin dengan kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berupaya memberi perkhidmatan air terawat yang lebih baik dengan harga tidak membebankan rakyat.

Menurutnya, mereka turut membantah cadangan program catuan air oleh Syabas dan sekali gus mendesak Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail melepaskan jawatannya kerana didakwa gagal menjalankan tugas membekalkan air kepada rakyat negeri ini.

Azmizam turut mempertikaikan cubaan membina persepsi negatif rakyat terhadap Kerajaan PR dengan mengumumkan krisis air dengan membelakangkan bidang kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Tindakan tidak profesional Syabas dengan mengetepikan keperluan pengguna, dilihat lebih bersifat mensabotaj kerajaan PR menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi mengikis keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri,” katanya.

Selain itu, kami rakyat Selangor menolak projek Langat 2 kerana dilihat membebankan rakyat dengan kenaikan tarif air sehingga 70 peratus.

“Kos penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor dan pembinaan Loji Langat 2 menelan kos sebanyak RM 8.85 bilion dan ini membebankan rakyat,” katanya ketika perhimpunan aman di sini.

Dalam pada itu, satu memorandum yang menggaris tujuh tuntutan turut diserahkan kepada Pengarah Eksekutif Syabas, Ismail Hashim dalam perhimpunan berlangsung selama kira-kira 45 minit itu.

Memorandum tersebut antara lainnya membantah cadangan Syabas untuk mencatu bekalan air dan menuntut syarikat konsesi itu mensabotaj Kerajaan Negeri berhubung isu bekalan air.

Memorandum berkenaan juga menyatakan bantahan keras ke atas pembinaan Loji Langat 2 dan kegagalan Syabas mengurus kewangannya serta perkhidmatan yang tidak memuaskan.

Perhimpunan aman yang dianjurkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) tersebut turut dihadiri pemimpin parti PR dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

KD: Memang terbaik semangat yang ditunjukkan pennyokong PR ini. Tetapi adakah relevan semangat yang mereka tunjukkan ini?

SELANGOR vs SYABAS: PUSAT TOLAK HASRAT SELANGOR AMBIL ALIH SYABAS


Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor menolak permohonan yang dibuat Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan syarikat konsesi air, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini memandangkan kedua-dua pihak terbabit gagal mematuhi perjanjian konsesi yang telah dimertai.

Menurutnya, pengambilalihan itu tidak boleh dilakukan kerana Kerajaan Negeri tidak mematuhi beberapa perkara dalam perjanjian konsesi, termasuk membenarkan kenaikan tarif air.

“Ini tidak boleh dipertimbangkan kerana ada beberapa perkara yang substantif dan (membabitkan) prosedur yang tidak boleh dipenuhi kerajaan negeri Selangor dan Syabas. Kita akan meminta pandangan muktamad daripada Peguam Negara dan Peguam Negara akan membuat keputusan muktamad,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa di sini, semalam. Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Idris Jala.



KD: Apakah keputusan Kerajaan Pusat menolak permohonan Kerajaan Selangor untuk mengambil alih pengurusan Syabas adalah keputusan wajar atau sebaliknya? Krisis air di Selangor sudah berlarutan agak lama. Ia dilihat seperti dipolitikkan sehingga yang menjadi mangsa adalah pengguna. Justeru, adakah keputusan terbaru ini akan meredakan keadaan? Masih tidak dapat dipastikan.